Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, YBrs. Encik Omar Mokhtar A Manap menyifatkan Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Atma Berdaulat dan 100 Judul Buku Terbitan GAPENA dan Badan Gabungan sebagai malam meraikan ilmu dan memberikan pengiktirafan kepada individu yang memilih untuk membina bangsa dengan menghasilkan karya sastera.

Beliau yang hadir mewakili Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi merasmikan majlis tersebut di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam, menyentuh cabaran yang timbul dalam hubungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan penulis dan penerbit.
“Orang yang buat buku ini kadang-kadang marah dengan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan di KDN sebab inilah bahagian yang beri kelulusan penerbitan.
“Kami terbuka untuk menerima sebarang pandangan, kritikan, teguran kerana sesuatu karya itu dilihat dari pelbagai sudut.
“Jadi, ada pertembungan pandangan di situ yang yang perlu diraikan dan diketengahkan sebagai satu hasil untuk kita menilai perbezaan itu dengan satu jalur yang lebih baik,” jelasnya.
Menerusi ucapannya juga, beliau berkongsi pandangan tentang bagaimana hasil sebuah puisi mampu menyedarkan masyarakat tentang erti cinta akan negara dengan lebih berkesan daripada ceramah yang panjang lebar.
“Kerajaan selalu bentangkan data ekonomi seperti pelaburan naik, tetapi angka-angka ini tidak memberikan kesan kepada emosi dan jiwa rakyat biasa. Di sinilah pentingnya sastera. Sastera bercakap terus ke hati nurani kita,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kerajaan kepada orang muda untuk terus melibatkan diri dalam dunia penulisan dan kebudayaan demi masa depan negara.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan dalam ucapan alu-aluannya mengumumkan penganjuran Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu oleh GAPENA pada bulan Julai nanti bagi mengumpulkan intelektual, penulis muda dan tokoh sastera dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.
“Pertemuan dan interaksi-interaksi ini juga akan memberikan semangat baharu kepada pengkarya dan masyarakat untuk memahami bagaimana proses kreativiti dan proses keintelektualan yang berlaku di Asia Tenggara.”
Majlis pelancaran buku ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, YBrs. Encik Khair Ngadiron; Pengarah Perbadanan Kota Buku, YBrs. Puan Adibah Omar; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan.