Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Temerloh – Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) menganjurkan Wacana Intelektual dan Tautan Ukhuwah Sastera bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 penubuhannya di Pentas Terbuka Bazar Lurah Semantan, baru-baru ini.

Dalam wacana tersebut, Presiden DPMP, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd. Mansor Abdullah mengimbau kembali garis masa evolusi serta berkongsi “resipi rahsia” di sebalik kekuatan organisasi DPMP yang lahir seiring dengan tahun kemerdekaan negara.

Sementara itu, YBhg. Prof. Dr. Azhar Hj. Wahid membedah ranah intelektualisme barisan penulis prolifik dari negeri Pahang. Antara tokoh yang disorot termasuklah Keris Mas yang merupakan figura penting ASAS 50, serta Ahmad Kotot, pelopor novel Melayu moden menerusi karya ikonik Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927) yang membawa citra realisme masyarakat Melayu seawal abad ke-20.

Senada dengan itu, Tokoh Media, Encik Khaidir Ahmad menyuburkan memori hadirin menerusi perkongsian eksklusif mengenai kembara perjuangan pena bersama-sama tokoh legenda tanah air merangkap anak jati Pahang, Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad.

Program wacana tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Encik Zainal Mohd Jais. Dalam ucapannya beliau berkata, “ketahanan DPMP menghampiri usia tujuh dekad adalah bukti nyata titisan keringat jiwa pejuang sastera. Sastera bukan sekadar susunan kata yang indah, tetapi cerminan jiwa, akal budi, dan tunjang peradaban sesuatu bangsa.”

Kredit Foto: Facebook Dewan Persuratan Melayu Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi