Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Isu keupayaan transliterasi manuskrip dan kecenderungan masyarakat hari ini untuk melihat sejarah melalui lensa penjajah menjadi sorotan utama dalam syarahan bertajuk “Everyday Life in the Malay Manuscripts” oleh penyelidik manuskrip Digital Repository of Endangered and Affected Manuscripts in Southeast Asia (DREAMSEA) yang juga pengasas portal The Coretanist, Auf A. Said di Rumah Attap Library & Collective pada Jumaat lalu.
Tegasnya, walaupun dunia Melayu kini dipisahkan oleh sempadan politik moden, usaha mendalami identiti yang merdeka memerlukan masyarakatnya untuk memahami asal usul sendiri.
“Ironinya, jumlah manuskrip yang digunakan oleh penjajah untuk menilai kita adalah sangat sedikit berbanding lambakan naskhah yang boleh ditemui dan ditransliterasikan hari ini, sekiranya usaha tersebut diperkasakan,” katanya dalam sesi perkongsian anjuran Imagine Malaysia dan Malaysia Design Archive (MDA).
Dalam syarahannya, Auf memulakan perbincangan dengan memaparkan imej lakaran purba berupa jadual berisi tulisan tradisional yang ditemui di beberapa kawasan di Sulawesi Selatan dan Sumatera Barat.
“Bagi pandangan sarjana Barat konvensional, objek sebegini sering kali dilabel secara simplistik sebagai manuskrip yang berunsur kepercayaan magis dan tahyul.
“Pandangan ini juga boleh dikatakan pandangan yang sangat masyhur, bukan sahaja dalam kalangan pengkaji orientalis, malah warga tempatan sendiri,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menyanggah stereotaip tersebut dan mengemukakan hujah bahawa lukisan dan jadual tersebut sebenarnya merupakan alat pengurusan masa sehari-hari bagi masyarakat Melayu lama, termasuklah sistem yang membahagikan satu hari kepada tujuh bahagian.
Kekhilafan sarjana Barat ini menjadi titik sokongan hujah beliau tentang pemanipulasian dan salah faham teks oleh kuasa kolonial yang telah membentuk cara masyarakat merakam dan memahami sejarah sendiri.
Beliau turut mengajak khalayak berfikir tentang kemungkinan terdapat banyak lagi “fakta” sejarah lain yang sebenarnya telah dipengaruhi oleh penjajah.
Dalam misi menuntut semula hak sejarah ini, DREAMSEA kini giat menjalankan pemeliharaan manuskrip menerusi kaedah post-custodial (pascajagaan).
Melalui kaedah ini, proses dokumentasi, pembersihan dan pendigitalisasian dilakukan secara langsung di lapangan, namun pemilikan naskhah fizikal tetap dipulangkan semula kepada pemilik asal atau komuniti setempat.
Menurut Auf, proses transliterasi yang bersifat antipenjajah harus menghormati budaya pemilikan identiti dan menolak konsep monopoli hak intelek oleh institusi asing.