Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karya sastera Melayu klasik bukan sekadar mengangkat kisah percintaan dan keindahan bahasa, sebaliknya turut menjadi medium untuk menyampaikan teguran sosial serta pedoman hidup kepada masyarakat.

Perkara tersebut diketengahkan menerusi Siri Diskusi Manuskrip Melayu DBP Bil. 2/2026 yang membincangkan buku Siri Warisan Sastera Klasik: Syair Si Burung Nuri pada 12 Mei 2026 lalu melalui siaran langsung Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.

Melalui diskusi bertajuk “Dinamika Nafsu, Rindu dan Cinta: Satu Tinjauan Alegori terhadap ‘Syair Si Burung Nuri’”, pensyarah kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Dr. Nordiana Ab Jabar menjelaskan bahawa naskhah tersebut menggunakan perlambangan unggas dan bunga bagi menggambarkan sifat serta perilaku manusia dalam kehidupan masyarakat Melayu silam.

Menurut beliau, watak unggas dalam syair itu mewakili kaum lelaki, manakala bunga pula menjadi lambang kepada kaum wanita dalam memperlihatkan dinamika hubungan cinta, nafsu dan emosi manusia.

Watak Burung Nuri digambarkan sangat aktif mengejar cinta, sementara Bunga Cempaka melambangkan wanita yang dipelihara dalam batas adab dan nilai masyarakat Melayu.

“Penggunaan alegori fauna dan flora dalam karya ini memperlihatkan kebijaksanaan akal budi Melayu yang menjadikan alam sebagai medium untuk menyampaikan falsafah hidup dan teguran sosial secara halus,” katanya.

Dalam perbincangan itu juga, Dr. Nordiana menjelaskan bahawa “Syair Si Burung Nuri” bukan sekadar karya percintaan, tetapi sarat dengan kritikan terhadap perilaku manusia yang sanggup mengetepikan batas agama demi memenuhi tuntutan nafsu.

Watak Burung Nuri misalnya digambarkan menggunakan “ilmu makrifat” atau ilmu pengasih untuk menundukkan hati Bunga Cempaka walaupun mengetahui bunga tersebut telah dimiliki orang lain.

“Tindakan tersebut memperlihatkan bagaimana nafsu yang tidak dikawal mampu mengatasi pertimbangan akal dan moral sehingga membawa kepada pelanggaran batas sosial dan agama,” ujarnya.

Selain itu, unsur rindu dalam syair tersebut turut digambarkan sebagai suatu emosi yang mampu merosakkan fizikal dan mental manusia. Watak Burung Nuri misalnya diceritakan menjadi kurus, hilang selera makan dan hampir hilang kewarasan akibat terlalu dibelenggu perasaan rindu.

Dr. Nordiana turut menegaskan bahawa syair tersebut mengandungi teguran terhadap golongan muda yang terlalu mengejar keseronokan dunia sehingga mengabaikan soal dosa dan pahala.

“Ungkapan seperti ‘Orang muda pada sekarang ini, mana yang haram yang diingini’ jelas memperlihatkan sindiran pengarang terhadap keruntuhan moral masyarakat,” katanya.

Beliau merumuskan bahawa “Syair Si Burung Nuri” merupakan karya didaktik yang masih relevan hingga hari ini kerana mengandungi pengajaran tentang pentingnya mengawal nafsu, menjaga adab dalam perhubungan dan menyeimbangkan tuntutan emosi dengan pegangan agama.

Program diskusi yang dipengerusikan oleh pensyarah UMK, Encik Sudirman Kifli itu merupakan anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBP.

Kredit Foto: Tangkap Layar Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi