Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan Negeri Sabah Keempat, YBhg. Datuk Jasni Matlani, berkongsi evolusi penulisan cerpennya yang bermula sejak tahun 1990 dalam Sesi Pertama Kolokium Sastera: Kajian Genre Cerpen yang berlangsung di Balai Budaya Syed Tun Nasir, pagi tadi.
Menerusi pembentangannya yang bertajuk “Menulis Cerpen, Realiti dan Imaginasi: Realisme Baharu dan Realisme Magis”, beliau mengatakan bahawa beliau mula memberanikan diri menghasilkan cerpen sedekad selepas memulakan langkah dalam dunia sastera menerusi penulisan puisi pada tahun 1980, diikuti dengan esei kritikan sastera pertama pada tahun 1984.
“Saya mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk menghasilkan cerpen pertama.
“Pada waktu itu saya beranggapan cerpen mesti menyalin realiti sepenuhnya. Saya belum memahami peranan imaginasi dalam karya,” katanya.
Beliau turut mengimbau kenangan membesar bersama-sama datuk dan neneknya di kampung selepas diserahkan kepada mereka sejak kecil yang akhirnya menjadi sumber penghasilan cerpen pertamanya, iaitu “Nenek”.
Menurut beliau, pengalaman membaca karya penulis besar tanah air termasuk karya Sasterawan Negara ke-10 Dato’ Dr. Anwar Ridhwan serta penulis luar negara banyak membentuk perkembangan teknik penulisannya.
“Saya tidak statik kepada satu cara lama yang kita amalkan dari dahulu sehingga sekarang.
“Seiring dengan pengalaman saya menulis yang semakin bertambah, saya pun semakin pandai mengadun (realiti) dengan imaginasi.”
Beliau menghuraikan secara ringkas tentang Realisme Baharu yang sering dikaitkan dengan karya-karyanya, sebuah gerakan yang muncul di Perancis pada tahun 1960-an.
Dalam masa yang sama, beliau turut memetik pandangan penulis prolifik, S.M. Zakir yang menyifatkan cerpen sebagai karya seni yang bukan bertujuan menyampaikan realiti secara langsung, tetapi mengajak khalayak menanggapi dan memahami kehidupan melalui sudut pandang artistik.
Berdasarkan pengalaman beliau, terdapat perbezaan dalam makam atau tahap berimaginasi, iaitu antara imaginasi asas dengan imaginasi kreatif yang tinggi.
“Kalau imaginasi tentang saya duduk di sini, tapi saya teringat sekuntum mawar di halaman rumah saya, itu tahap imaginasi yang rendah bagi saya.
“Tetapi kalau saya menulis cerpen seperti ‘Dua Helai Daun’ dan ada watak pokok yang boleh bercakap dengan manusia, itu sangat luar biasa. Sebab sampai satu tahap imaginasi kita, semua benda di sekeliling ini boleh dipersonifikasikan.”
Mengakhiri perkongsian, beliau menegaskan bahawa penulisan cerpen perlu mempunyai tujuan dan tanggungjawab terhadap masyarakat, bangsa, agama, dan negara.
“Saya melihat tulisan itu seperti binatang buas. Jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh mencederakan orang lain dan juga diri penulis sendiri,” katanya.