Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 12:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Lima penulis dari pelbagai rantau dunia diumumkan sebagai pemenang wilayah Hadiah Cerpen Komanwel 2026, anugerah penulisan antarabangsa yang menerima jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarahnya.

Mereka termasuklah Lisa-Anne Julien dari Afrika Selatan (Afrika), Sharon Aruparayil dari India (Asia), John Edward DeMicoli dari Malta (Kanada dan Eropah), Jamir Nazir dari Trinidad dan Tobago (Caribbean), serta Holly Ann Miller dari New Zealand (Pasifik).

Kesemua pemenang dipilih daripada 7,806 penyertaan dari negara anggota Komanwel. Mereka kini akan mara ke peringkat akhir sebelum pemenang keseluruhan diumumkan pada 30 Jun 2026.

Menurut kenyataan Commonwealth Foundation, anugerah itu mengiktiraf cerpen terbaik yang belum diterbitkan, dengan setiap pemenang mewakili lima rantau utama Komanwel.

“Kesemua penulis merupakan finalis buat pertama kali, dengan karya mereka dipilih daripada ribuan penyertaan sebelum pemenang keseluruhan diumumkan,” menurut kenyataan itu.

Karya yang terpilih mengetengahkan pelbagai tema, seperti kuasa, konflik keluarga, penentangan, suara yang tidak didengari, serta hubungan tidak dijangka antara manusia. Cerita-cerita itu turut membawa pembaca ke pelbagai lokasi termasuk India, New Zealand, Malta, Afrika Selatan, dan Trinidad.

Antara kisah yang diketengahkan termasuklah kehidupan pekerja domestik yang memerhati realiti sosial, wanita muda yang menggunakan seni inai untuk memberi suara kepada golongan wanita terpinggir, serta kisah penternak muda yang berdepan cabaran di ladang biri-biri.

Cerita lain pula menyentuh pengalaman migran yang tiba melalui laut di Valletta, Malta, kehidupan di ladang biri-biri di Southern Alps, New Zealand, tragedi yang hampir berlaku di kawasan desa Trinidad, serta isu keganasan rumah tangga di Johannesburg, Afrika Selatan.

Pengerusi panel juri, Louise Doughty berkata, karya yang dipilih menampilkan kekuatan bahasa serta keyakinan penulis dalam menyampaikan cerita.

“Kesemua penulis menunjukkan keyakinan tinggi dari awal penulisan, dengan watak yang meyakinkan, gaya bahasa mantap serta mesej penting untuk disampaikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Editor dan Pengarah Urusan Granta, Luke Neima berkata, kerjasama tersebut membantu memperluas kepelbagaian suara sastera dari seluruh Komanwel.

“Hadiah ini membawa cerita kontemporari dan perspektif baharu kepada pembaca seluruh dunia serta memperluas kepelbagaian sastera berbahasa Inggeris,” katanya.

Hadiah Cerpen Komanwel dianjurkan setiap tahun bagi mengiktiraf karya fiksyen pendek terbaik dari 56 negara anggota, dengan penyertaan diterima dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Melayu, Tamil, Swahili, Perancis, dan Cina.

Berikut ialah senarai karya yang menang pada peringkat wilayah: Afrika (“Me and Ma’am”) oleh Lisa-Anne Julien; Asia (“Mehendi Nights”) oleh Sharon Aruparayil; Kanada dan Eropah (“The Bastion’s Shadow”) oleh John Edward DeMicoli; Caribbean (“The Serpent in the Grove”) oleh Jamir Nazir; dan Pasifik (“Second Skin”) oleh Holly Ann Miller.

Kredit Foto: Museums Victoria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi