Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Yayasan Komanwel mengumumkan lima pemenang wilayah bagi Hadiah Cerpen Komanwel 2025 yang menyaksikan pengarang Bangladesh, Faria Basher menjuarai kategori Asia.
Empat lagi wilayah dimenangi oleh Joshua Lubwama dari Uganda (Afrika), Chanel M. Sutherland dari Kanada/Saint Vincent dan Grenadines (Kanada dan Eropah), Subraj Singh dari Guyana (Caribbean), dan Kathleen Ridgwell dari Australia (Pasifik).

Yayasan Komanwel dalam kenyataan medianya berkata, Basher mencatat sejarah sebagai penulis keturunan Bangladesh pertama yang memenangi kategori berkenaan.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Edinburgh dan Ijazah Sarjana dari Universiti New York, Basher tampil dengan naskhah “An Eye and a Leg” yang bercerita mengenai sisi gelap dan lucu wanita Asia Selatan yang berusia, dengan sisi gelap.
Pengerusi Panel Hakim, Vilsoni Hereniko, dalam kenyataan sama menyebutkan bahawa karya yang dinilai banyak bercerita tentang sifat manusia dan menunjukkan penguasaan sebenar dalam bentuk cerpen.
“Setiap kisah menunjukkan bahawa geografi penting dalam penceritaan.
“Semuanya merupakan karya fiksyen yang tidak dapat dipisahkan daripada budaya dan sejarah tempatan yang melahirkannya,” katanya.
Hadiah Cerpen Komanwel diberikan setiap tahun untuk karya fiksyen pendek yang terbaik dan belum diterbitkan dari mana-mana 56 negara anggota Komanwel.
Penyertaan diterima dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Bengali, Cina, Kreol, Perancis, Greek, Melayu, Malta, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil, dan Turkiye.
Pemenang keseluruhan Hadiah Cerpen Komanwel akan diumumkan pada 25 Jun 2025.