Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Penulis berusia 41 tahun kelahiran Saint Vincent and the Grenadines yang kini menetap di Montreal, Kanada, Chanel Sutherland diumumkan sebagai pemenang utama Hadiah Cerpen Komanwel 2025, menerusi cerpen “Descend”.
Kemenangan itu membolehkan Sutherland mengetepikan 7,920 penyertaan dari seluruh dunia memenangi hadiah utama bernilai £5,000 (RM30,000).
Yayasan Komanwel dalam kenyataan medianya menyebutkan bahawa “Descend” amat menyayat hati.
Cerpen ini menampilkan sistem perhambaan, mengambil sudut pandang seorang lelaki Afrika yang berhadapan dengan detik-detik tragis apabila kapal yang membawanya ke tanah baharu karam.
Pengerusi panel hakim, Dr. Vilsoni Hereniko memuji karya itu yang mendalam dan penuh makna.
“Descend diceritakan dengan suara yang tenang. Cerpen ini menunjukkan kuasa penceritaan yang tiada tandingan dalam membebaskan semangat manusia dan menyuluh harapan dalam kegelapan,” katanya.
Pengarah Yayasan Komanwel, Dr. Anne T Gallagher turut memuji karya tersebut sebagai “Sebuah naratif luar biasa yang berani dalam bentuknya, teliti dalam butirannya, dan memberi kesan yang mendalam.”
Tambahnya, karya itu mencerminkan tahap mutu dan keaslian yang ingin diraikan oleh Hadiah Cerpen Komanwel.
Sementara itu, Sutherland berkata, beliau mengambil risiko dalam bentuk dan suara naratif “Descend”, kerana percaya bahawa setiap insan yang diperhamba berhak mendapat tempat dalam sejarah dengan penuh maruah.
“Saya tidak mampu menceritakan semua kisah atau mengembalikan nyawa yang telah dirampas, tetapi saya bersyukur kerana cerita ini memberi kesan kepada pembaca,” katanya.
Beliau turut berkongsi bagaimana minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak kecil di Saint Vincent.
“Saya menulis cerita pertama saya dengan mencoret di atas pasir, walaupun saya tahu cerita itu akan hilang dibawa hujan atau tapak kaki.
“Kami tiada kemudahan untuk menjadikan penulisan sebagai hobi, tetapi saya tetap menulis kerana cerita-cerita itu sentiasa hadir dalam fikiran saya,” katanya.
“Daripada seorang budak perempuan kecil yang menulis di atas pasir, kini menerima pengiktirafan antarabangsa ialah sesuatu yang tidak pernah saya impikan.
“Kemenangan ini sangat bermakna, seolah-olah gadis kecil itu sentiasa betul bahawa cerita sebenarnya mempunyai kuasa,” katanya.