Diterbitkan pada 25 April 2026, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Dua orang karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Puan Azura Mohd Halid, Perancang Bahasa dari DBP Wilayah Selatan dan Puan Hasni Jamali, Penolong Perancang Bahasa dari DBP Kuala Lumpur mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Johor (ASJ) ke-14 bersempena dengan majlis penyampaian anugerah tersebut pada 23 April 2026.

Kedua-dua karyawan DBP tersebut masing-masing mengungguli kategori eceran, iaitu rencana dan skrip drama radio.

Rencana “Kemajuan Holistik Johor Lahir daripada Pemikir Hebat” karya Azura Mohd Halid menelusuri sejarah kegemilangan Kerajaan Negeri Johor yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka selepas kejatuhan Portugis.

Berdasarkan laporan penjurian, penulis berjaya mengangkat peranan tokoh pemikir seperti Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Ibrahim Munsyi dalam usaha memacu kemajuan pendidikan di Johor.

Kekuatan rencana tersebut terserlah melalui keupayaan penulis menghubungkan keseimbangan antara agama dengan sahsiah masyarakat sehingga membawa kepada penubuhan sekolah agama kerajaan negeri yang berteraskan acuan Turki.

Selain itu, penyampaian penceritaan secara kronologi serta penekanan terhadap impak pemikiran tokoh terdahulu menjadikan karya tersebut signifikan dalam menggambarkan pembangunan holistik Johor dari sudut sosial, ekonomi dan politik.

Puan Azura Mohd Halid dinobatkan sebagai penerima ASJ 2026 bagi kategori Rencana bertajuk “Kemajuan Holistik Johor Lahir daripada Pemikir Hebat”.

Sementara itu, kategori skrip drama radio yang bertajuk “Seri Cahaya Nilam” karya Hasni Jamali mengangkat kisah masyarakat berbilang budaya dan agama yang penuh cabaran, dengan isu perpaduan kaum yang digarap secara bijaksana dan berhemah.

Menurut panel juri, penulis berjaya mengolah plot penceritaan dengan dialog yang hidup serta penggunaan bahasa yang berkesan, sekali gus menjadikan karya tersebut menarik dan berdaya saing.

Puan Hasni Jamali dianugerahkan sebagai penerima ASJ 2026 bagi kategori Drama Radio yang bertajuk Seri Cahaya Nilam.

ASJ merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Negeri Johor yang dianjurkan secara dwitahunan oleh Yayasan Warisan Johor yang bertujuan untuk menghargai sumbangan penulis kelahiran Johor, di samping menyemarakkan perkembangan sastera tempatan.

Sejak penganjuran pertama pada tahun 1996, ASJ telah melahirkan banyak penulis berbakat yang menghasilkan karya berkualiti tinggi, malah turut menjadi penanda aras terhadap mutu penulisan dan perkembangan dunia kesusasteraan di selatan tanah air.

Selain itu, penganjuran ASJ juga berperanan untuk memupuk minat masyarakat, khususnya anak jati Johor dalam bidang persuratan Melayu.

Inisiatif ini sekali gus mengubah persepsi bahawa sastera tidak sekadar bidang eksklusif, sebaliknya menjadikannya lebih inklusif dan relevan untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Anugerah berprestij ini bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan, tetapi berfungsi sebagai pemangkin kepada perkembangan sastera pada  peringkat negeri dan nasional.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi