Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin menyedari bahawa walaupun pantun telah wujud sejak sekian lama, puisi tradisional ini masih lagi sentiasa menjadi pilihan pengacara majlis dan tetamu undangan untuk diselitkan dalam teks mereka. Beliau kagum kerana pantun masih hidup dan terus digunakan dalam pelbagai majlis dan acara.
Dalam hal ini, selain kagum dan menghargai, saya ingin tahu mengapa pantun terus menjadi pilihan ketimbang sajak?
Pantun merupakan salah sebuah puisi tradisional Melayu selain syair, gurindam, nazam, dan seloka. Antara ciri terperincinya termasuklah struktur bentuk, rima dan bunyi, serta bahasa dan kandungan. Namun kadangkala hari ini, akibat keghairahan ingin berpantun, kesemua ciri atau “syarat” tersebut (seolah-olah) tidak dipedulikan.
Berdasarkan pengalaman saya berpuluh tahun menghadiri pelbagai acara, terutamanya dalam bahasa Melayu, pantun dilihat terus menjadi pilihan utama pengacara/tetamu khas untuk menghiasi teks pengacaraan atau ucapan masing-masing. Jarang-jarang kita mendengar hal yang sama untuk sajak, seloka atau syair. Kecenderungan ini turut melanda wakil rakyat, iaitu ahli Parlimen dan ahli Dewan Negeri, selain ahli Dewan Negara (senator).
Memang banyak juga persembahan atau bacaan pantun yang bermutu tinggi, dan memenuhi ciri-ciri/syarat-syarat pantun, terutamanya dalam acara agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, serta Istana Budaya.
Namun begitu, ada juga yang jelas kejanggalan dalam pengucapannya, terutamanya dalam majlis anjuran swasta atau syarikat. Sebagai contoh, tanpa menyebut nama, seorang penerbit filem Melayu terkenal gemar berpantun sebelum mengakhiri ucapannya dalam sidang media, atau malam tayangan perdana. Meskipun beliau bersemangat dan ceria, tetapi ternyata pantunnya “rosak teruk”, hingga saya terfikir siapakah yang menghasilkan pantun tersebut untuknya. Menggelikan hati bercampur menyedihkan.
Namun begitu, minat beliau dan tokoh lain untuk berpantun tetap wajar diberikan pujian, dan janganlah dihalang. Mereka perlu digalakkan dan dibetulkan.
Dalam hal ini, selain kagum dan menghargai, saya ingin tahu mengapa pantun terus menjadi pilihan ketimbang sajak? Jika mengikut logik, saya fikir sajak lebih mudah kerana bentuknya bebas. Walau bagaimanapun, adakah mereka fikir sajak lebih sukar dihasilkan dan dianggap sebagai karya sastera, walaupun pantun juga sedemikian?
Mengapakah pantun sentiasa diselitkan dalam teks ucapan (biasanya sebelum penutup) perdana menteri, menteri, ketua setiausaha negara/kementerian, pengerusi, ketua pengarah, pengarah, dan sebagainya, meskipun ada yang melanggar ciri/syarat sesebuah pantun?
Apakah faktor pantun lebih digemari, walhal ramai yang mengatakan sastera tidak bermanfaat untuk negara, dan tidak relevan dengan kehidupan hari ini? Mengapa mereka tidak menyedari/mengetahui pantun itu karya sastera?
Adakah kerana berasa pantun lebih mudah dicipta – asalkan ada bunyi rimanya, tanpa mempedulikan pembayang dan logika, serta perkataan kedua dalam setiap baris?
Beberapa dekad lalu, ada program berbalas pantun di radio Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dikendalikan oleh Chuari Selamat. Jika ketika itu pun, ramai yang mengkritik program tersebut kerana mencemarkan pantun, apatah lagi sekarang.
Namun demikian, seperti yang disebutkan awal tadi, minat mereka yang bukan dari latar belakang sastera jangan dihalang. Kita boleh menggalakkan, sambil membimbing kepada yang betul.
Meskipun masih boleh disanggah atau dipertikai mutunya, hampir setiap hari saya menulis pantun, selain seloka sebagai pembuka kata dan ucapan salam pada dinding Facebook dan WhatsApp. Dalam pantun-pantun yang ditulis itu, seboleh mungkin saya menampilkan unsur alam pada pembayangnya. Cuma kadang-kadang kerana kurang idea, pembayang pantun saya itu jika tiada unsur alam pun, masih boleh dibantah.
Dalam ciri struktur bentuk, secara umumnya, bilangan baris ialah empat serangkap (pantun empat kerat), tetapi terdapat juga pantun dua kerat, enam kerat dan lapan kerat.
Dalam hal pembayang (sampiran) dan maksudnya, dua baris pertama ialah pembayang dan dua baris akhir pula maksud.
Bagi suku kata, setiap baris terdiri daripada lapan hingga 12 suku kata. Sementara perkataan, biasanya terdiri daripada empat hingga lima patah perkataan dalam sebaris. Namun demikian, ramai yang melakukan perlanggaran apabila menampilkan sehingga 14 atau 16 suku kata.
Dalam hal rima dan bunyi, rima akhir adalah sejajar. Biasanya a, b, a, b untuk empat kerat, dan a, a untuk dua kerat. Ada yang hanya tahu mencipta pantun berima a, a, a, a.
Dalam soal bahasa dan kandungan, bahasa pantun haruslah indah, iaitu menggunakan kiasan, sindiran dan unsur alam (flora/fauna). Isinya pula mengandungi pengajaran, moral, adat, dan falsafah hidup. Sehubungan itu, kesatuan bererti setiap rangkap merupakan satu kesatuan idea yang lengkap.
Contoh pantun empat kerat yang popular ialah: Pulau Pandan jauh ke tengah (a), Gunung Daik bercabang tiga (b); Hancur badan dikandung tanah (a), Budi yang baik dikenang juga (b). Sebuah lagi, Pisang emas dibawa belayar (a), Masak sebiji di atas peti (b); Hutang emas boleh kubayar (a), Hutang budi kubawa mati (b).
Adakah tidak sah atau bukan pantun jika tiada unsur alam semula jadi dalam pembayangnya?
Menurut Allahyarham Pendeta Za’ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu, perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama. Ada pendapat mengatakan yang perkataan pantun berasal daripada bahasa Minangkabau, iaitu panutun, yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.
Dalam hal pembayang pantun yang disebutkan tadi, ada rakan penulis berpendapat bahawa pembayang berkenaan tidak perlu lagi/semestinya diambil daripada unsur alam. Katanya, dia berfikiran sedemikian kerana unsur alam kini tidak lagi matahari, bulan, bintang, laut, sungai, bukit, dan gunung.
Kerana hampir bersetuju dengan pandangan/cadangan rakan tersebut, sesekali saya tidak mengambil unsur alam semula jadi untuk pembayang pantun di media sosial.
Persoalannya, adakah pendapat rakan saya itu boleh diterima, atau sekurang-kurangnya difikirkan/dibincangkan? Adakah tidak sah atau bukan pantun jika tiada unsur alam semula jadi dalam pembayangnya?
Cuba lihat pantun ini: “Terbang burung dari selatan, Dipuput angin sangga bayu; Bukalah surat dari lipatan, Lihatlah pantun bahasa Melayu.” yang pembayangnya ada unsur alam (walaupun tidak menjaga perkataan kedua pada setiap baris).
Bandingkan dengan yang berikut yang tiada unsur alam, iaitu “Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa; Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa.”
Yang manakah lebih enak dan diminati?
Pada 22 Mac lalu, saya menulis serangkap pantun pada dinding Facebook, yang walaupun spontan, tetapi seboleh mungkin saya memasukkan unsur alam pada pembayangnya, dan menjaga perkataan kedua dalam setiap baris, iaitu “Jam tujuh pagi minggu, Belum lagi suria menjelma; Memang patuh masa berlalu, Syawal kini hari kedua.”
Dua hari sebelum itu pada dinding Facebooka, saya menulis pantun yang berbunyi, “Moga berakhir perang membunuh, Alam insani kembali aman; Hari terakhir Ramadan 1447, Hingga destinasi Ramadan 1448.”
Dalam ruang media sosial yang sama pada 15 Mac 2026 pula, saya menulis:
…..Ahad terakhir Ramadan 1447,
……….Mula terbayang wajah desa;
…..Kisah mutakhir ramai mengeluh,
……….Salam dijelang doakan sejahtera.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).