Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam himpunan lebih seribu penyertaan dari seluruh dunia untuk pertandingan penulisan antarabangsa The Fableration World Short Story Competition, hanya sepuluh karya dipilih ke peringkat akhir dan dua daripadanya merupakan karya penulis dari Malaysia.
Dua penulis tersebut, Ibnu Din Assingkiri dan Aina Izzah, berjaya menembusi senarai 10 terbaik sebelum kedua-duanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Senarai Pendek.
Pertandingan ini menghimpunkan ribuan penyertaan dari pelbagai latar bahasa dan budaya, melalui saringan panel juri daripada senarai panjang 50 karya kepada 10 terbaik, sebelum dinilai pula oleh komuniti pembaca global.
Ibnu Din Assingkiri melihat pencapaiannya dan Aina Izzah menerusi cerpen “Melati” sebagai cerminan kualiti penulisan tempatan yang setara pada peringkat antarabangsa.
Beliau menyatakan bahawa pemberian “jiwa” dan “nurani” kepada watak kecerdasan buatan dalam cerpennya yang berjudul “The Sinking of the Golden Peninsula” merupakan satu bentuk kritikan sosial yang berlapis.
“Simbolik kepada kemanusiaan manusia yang semakin menipis. Kemusnahan alam, perang dan pemburuan haram membuktikan manusia makin hilang kemanusiaan,” katanya.
Beliau juga berpandangan bahawa penulis tempatan yang ingin melangkah ke peringkat antarabangsa tidak perlu terikat pada tuntutan bahasa yang terlalu tinggi selagi gagasan yang diangkat menyentuh isu global.
“Penulis Malaysia sama kualitinya dengan penulis negara lain. Yang membezakan hanyalah nuansa lokal serta lenggok bahasa,” katanya.
Pertandingan ini menawarkan ganjaran berupa satu Bitcoin yang diabadikan atas nama pemenang dalam lejar digital, diikuti tiga Ethereum untuk tempat kedua dan 10 Solana bagi tempat ketiga.
Sementara itu, tujuh karya dalam senarai pendek menerima hadiah wang tunai sebanyak USD500 setiap satu, manakala 40 karya dalam senarai panjang masing-masing menerima USD50.