Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Enam karya fiksyen terjemahan dari pelbagai negara dipilih sebagai finalis Hadiah Booker Antarabangsa 2026, sekali gus mencerminkan kekayaan naratif global yang mengangkat tema sejarah, identiti dan kemanusiaan merentas generasi.
The Booker Prizes, laman web rasmi Hadiah Booker Antarabangsa 2026 menyebut, pemilihan enam judul itu menonjolkan kepelbagaian suara sastera dunia yang merentas benua, budaya dan latar sejarah.
Pengerusi panel juri, Natasha Brown, berkata karya-karya yang dipilih bukan sahaja menggambarkan detik penting sepanjang satu abad, malah mengangkat sisi kemanusiaan yang kuat.
“Walaupun sarat dengan unsur kesedihan, kekerasan dan keterasingan, karya-karya ini tetap memberi kesan yang membangkitkan semangat. Karya-karya ini menyuguhkan harapan, pemahaman serta watak-watak yang akan terus diingati oleh pembaca,” katanya.
Enam karya yang tersenarai ialah The Nights Are Quiet in Tehran oleh Shida Bazyar (terjemahan Ruth Martin, karya asal dalam bahasa Jerman), She Who Remains oleh Rene Karabash (Izidora Angel, karya asal dalam bahasa Bulgaria), The Director oleh Daniel Kehlmann (Ross Benjamin, karya asal dalam bahasa Jerman), On Earth As It Is Beneath oleh Ana Paula Maia (Padma Viswanathan, karya asal dalam bahasa Portugis), The Witch oleh Marie NDiaye (Jordan Stump, karya asal dalam bahasa Perancis), serta Taiwan Travelogue oleh Yáng Shuāng-zǐ (Lin King, karya asal dalam bahasa Mandarin).
Antara judul itu, The Nights Are Quiet in Tehran agak menarik untuk dibaca kerana berkisah mengenai revolusi, pengasingan dan kepulangan. Novel ini mengisahkan kehidupan satu keluarga Iran selama empat dekad, bermula sejak Revolusi Iran tahun 1979.
Agak menarik juga untuk melihat senarai pendek kali ini didominasi oleh penulis dan penterjemah wanita.
Anugerah berprestij itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Man Booker International Prize, diberikan setiap tahun kepada karya yang asalnya ditulis dalam bahasa selain Inggeris, sebelum diterjemahkan dan diterbitkan di United Kingdom atau Ireland.
Pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2026 akan diumumkan pada 19 Mei ini, dengan hadiah berjumlah £50,000 akan dikongsi sama rata antara penulis dengan penterjemah karya yang berjaya.