Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOsman Ayob mengenang pemergian pengarang Kedah yang cukup ampuh menghasilkan cerpen, Ahmad J. Husein.
Demikianlah teraturnya perjalanan akhir seorang insan, seorang penulis yang boleh dianggap low profile, tetapi meninggalkan sejumlah cerpen dan puisi yang mempunyai gaya dan pengolahan yang tersendiri untuk dihayati dan dikaji oleh mereka yang meminati dunia sastera pada masa akan datang.
Perihal keuzuran Ahmad J. Husein sudah lama diketahui umum, khasnya dalam kalangan penulis yang rapat dan meminati karyanya. Ramai yang telah menziarahi beliau ketika terlantar di sebuah pusat jagaan orang tua di Juru, Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, penulis amat terkejut apabila menerima mesej melalui WhatsApp pada pukul 7.42 pagi daripada Ustaz Abu Mansor Ramli, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Pulau Pinang, pada pukul 7.42 pagi yang menyampaikan berita berpulangnya Ahmad J. Husein, bapa saudara beliau di rumah jagaan Juru pada pukul 4.00 pagi 29 Mac 2026.
Bagi memudahkan pengurusan, Ustaz Abu Mansor yang pernah menjadi imam di Masjid Perda, Bukit Mertajam, telah membawa jenazah Ahmad J. Husein ke masjid tersebut untuk dimandikan dan dikafankan pada sekitar pukul 12.00 tengah hari dan solat jenazah diramaikan oleh para jemaah yang datang menunaikan solat Zuhur.
Jenazah kemudian selamat disemadikan di Tanah Perkuburan masjid tersebut setelah usai solat Zuhur.
Demikianlah teraturnya perjalanan akhir seorang insan, seorang penulis yang boleh dianggap low profile, tetapi meninggalkan sejumlah cerpen dan puisi yang mempunyai gaya dan pengolahan yang tersendiri untuk dihayati dan dikaji oleh mereka yang meminati dunia sastera pada masa akan datang.

Ahmad bin Husin atau nama penanya, Ahmad J. Husein dilahirkan pada 5 Jun 1953 di Kampung Surau, Bakai, Kuala Ketil, Kedah. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bakai, manakala pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai, SMK Baling dan SM PGAS, Bukit Mertajam. Beliau pernah mengikuti Pengajian Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan kreatif pada lewat tahun 1970-an. Cerpen pertama beliau tersiar dalam akhbar Berita Minggu, 6 Mei 1978 berjudul “Itulah Takdirnya”. Sepanjang pembabitannya dalam bidang penulisan kreatif, beliau telah menghasilkan 100 buah cerpen dan 150 buah puisi. Beliau juga menulis esei dan pernah melukis kartun. Karyanya pernah mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bintang Timur, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat, dan Dewan Sastera.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menerbitkan tiga buah kumpulan cerpen persendirian beliau, iaitu Terbalik (DBP, 1990), Tiada Rahsia Lagi (DBP, 2014) dan Noktah Sebuah Perjalanan (DBP, 2016). Institut Terjemahan & Buku Malaysia kemudian menerbitkan sebuah lagi kumpulan cerpennya, Ketika Hujan Renyai-renyai (2015). Kumpulan puisi perseorangan beliau, Ogos yang Pilu diterbitkan pada tahun 2010 oleh sebuah syarikat penerbitan di Perak.
Ketika menziarahi beliau tidak lama dulu, penulis amat terharu apabila mendapati buku Terbalik bersama-sama beberapa buku lagi sentiasa berada di dalam sebuah beg di sisinya, seolah-olah itulah harta yang tidak ternilai dalam hidup beliau dan tidak boleh dipisahkan. Beliau yang berpisah dengan isterinya, tinggal menumpang di rumah kakaknya di Kampung Kembal, Kuala Ketil. Beliau mengalami strok setelah terjatuh ketika mengambil wuduk pada suatu subuh di surau kampung tersebut.
Dengan mengangkat tema dan persoalan kepincangan masyarakat di kampung pedalaman, amalan politik sempit, eksploitasi terhadap wanita oleh golongan agama, cerpen-cerpen Ahmad J Husein mempunyai kelainan kerana ungkapan penceritaannya rinci real dengan persekitaran semasa.
Kelebihan yang ada pada karya beliau menarik perhatian panel penilai beberapa sayembara. Beliau memenangi Hadiah Cerpen Esso-GAPENA II pada tahun 1981 dengan cerpen “Subuh di Bukit Jernang”. Cerpen beliau juga memenangi hadiah dalam Sayembara IV melalui Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1986 melalui cerpen “Nek Nak Baca Yasin” dan “Dalam Menanti Izrael”.
Pada tahun 1990, beliau memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam III anjuran Yayasan Pelajaran Islam dengan kerjasama DBP dengan cerpen “Sebelum Berangkat”. Pada tahun 1992 dalam siri sayembara yang sama, cerpen beliau, “Embun Hidayah Berguguran” juga membawa kejayaan.
Pada peringkat negeri pula, pada tahun 1992, beliau pernah memenangi Hadiah Peraduan Cerpen Sempena Maulidul Nabi anjuran Majlis Agama Islam Kedah (MAINK) dengan cerpen “Seorang Novelis”.

Karya-karya beliau juga turut dimuatkan dalam antologi bersama-sama penulis lain. Antaranya termasuklah, Kehadiran yang Dilupakan (1989), Sesudah Senja (1990), Lambaian Nusa (1991), Juliana (1992), Mutiara Timur (1993), Wira Kemerdekaan (1993), Gema Membelah Gema (2000), Inilah Sejarah Esok (2003), Menyisir Tirai Jendela Piama (2008), Jelapang, Jelapang II, Sayembara II, Sayembara IV, Penantian, Hantaran, Di Bawah Langit Senja, Mawar di Pusara, Embun Hidayah, LA Q, dan Syahdu.
Sebagai ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Ahmad J. Husein yang tinggal di Kulim tidak dapat memisahkan dirinya dengan kegiatan sastera di Pulau Pinang. Beliau juga salah seorang pengasas Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai (PENAPAS). Kini, nama itu telah ditukar kepada Persatuan Penulis Pulau Pinang (3PNP).
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan Allah Taala menermpatkannya dalam kalangan mereka yang soleh dan beriman. Amin Ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah.
_________________________
Osman Ayob ialah penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.