Oleh Osman Ayob
Diterbitkan pada 17 April 2025, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Osman Ayob menampilkan Ahmad J. Husein, pengarang Kedah yang cukup berbakat namun kini meniti lara di hujung usianya.

Biarpun pengalaman dan pengembaraan hidupnya tidak jauh, cuma berkisar di Bakai, Malau, Kulim, Tawar, dan Baling, tetapi kerana kerincian gambarannya mendalami dan menyelongkar hati budi, riak rasa dan sikap masyarakat sekitarnya, menjadikan cerpen-cerpennya berdiri dengan identiti yang tersendiri.

Hidup seseorang ada pasang surutnya. Ada kalanya berada dalam kebahagiaan, ada kalanya berlaku sebaliknya. Ibarat roda yang berputar, naik dan turun. Demikianlah hidup ini. Inilah yang berlaku kepada penulis veteran negeri Kedah, Ahmad J. Husein.

Ahmad J. Husein

Beliau yang prolifik dalam penulisan cerpen lewat tahun 1970-an sehingga awal tahun 2000-an amat gemar menggarap tema dan persoalan hidup di kampung-kampung yang begitu akrab dengan lingkaran kehidupannya.

Biarpun landskap ceritanya hanya berlaku sekitar Tawar, Bakai, Baling Kulim, dan Malau, tetapi persoalan yang dikemukakannya menarik dan bersahaja. Apatah lagi konflik yang diketengahkan berkait rapat dengan dunia orang kampung yang miskin, namun cukup taasub dengan kesedaran politik yang tinggi hingga terungkap di dalamnya kisah suka duka, lucu dan jengkel dalam belenggu kedunguan sehingga warna kehidupan menjadi kelabu, dibentuk oleh semangat dan cita-cita politik yang dari dulu hingga sekarang tidak mencapai matlamatnya. Yang mendapat manfaat hanyalah beberapa kerat pemimpin yang berjaya menempa nama dan mengaut kesenangan setelah bergelar Yang Berhormat.

Ahmad J. Husein merupakan perakam kehidupan masyarakatnya dalam bentuk cerpen yang tidak boleh diketepikan. Apa-apa yang dipaparkan dalam cerpennya merupakan dokumentasi yang terbit daripada pemerhatiannya yang teliti terhadap kejadian sebenar yang berlaku dalam masyarakatnya. Kejujurannya boleh dipertahankan tanpa sebarang prejudis. Ambil sahaja contoh cerpen “Noktah Sebuah Perjalanan”. Cerpen ini berlatarbelakangkan kawasan Malau, mengisahkan aku (Sarah) yang baru berusia 19 tahun mahu dikahwinkan oleh kedua-dua orang tuanya dengan tuk guru (Ustaz Solihin) Mudir Madrasah Al-Hanafiah. Ustaz Solihin yang selain sudah mempunyai cucu, mempunyai tiga orang isteri, juga seorang tokoh politik yang disegani.

Kedua-dua orang tua Sarah yang terhutang budi kepada Ustaz Solihin yang bukan sahaja membenarkan mereka menumpang di atas tanahnya, namun yang lebih merasuk keinginan kedua-dua orang tuanya ialah kealiman Ustaz Solihin sebagai tok guru, juga pembimbing ke alam akhirat. Sarah yang amat menentang kemahuan orang tuanya membuat keputusan nekad untuk melarikan diri ke Kuala Lumpur pada ketika orang tuanya sibuk membuat kenduri pada malam Jumaat. Malangnya, Sarah yang dibantu Matsin yang membawa beg, mati dilanggar lori ketika melintas jalan.

Tema yang digarap oleh Ahmad J. Husein dalam cerpen-cerpennya bukan sahaja menyentuh tentang ketidakadilan terhadap wanita, tetapi cukup menyerlah tentang kepincangan sosial masyarakat desa yang bukan sahaja dibelenggu oleh kemiskinan tetapi juga diasak dengan sikap hidup konservatif terhadap perjuangan sebuah parti politik yang mempergunakan agama sebagai tunjang untuk mencari pengaruh. Dalam masyarakat desa yang dikatakan kuat pegangan agamanya, elemen ini menjadi penentu dalam meraih sokongan kepada para pemain politik yang sentiasa mencari peluang mendapat sokongan daripada masyarakat yang tebal dengan sentimen keagamaan.

Dari satu segi, inilah kelebihan yang ada pada Ahmad J. Husein yang cukup prihatin dengan pergolakan masyarakat sekelilingnya. Biarpun pengalaman dan pengembaraan hidupnya tidak jauh, cuma berkisar di Bakai, Malau, Kulim, Tawar, dan Baling, tetapi kerana kerincian gambarannya mendalami dan menyelongkar hati budi, riak rasa dan sikap masyarakat sekitarnya, menjadikan cerpen-cerpennya berdiri dengan identiti yang tersendiri.

Menurut Ibnu Din Assingkiri (Dewan Sastera Bil. 1 2018), Ahmad J. Husein bijak memilih pelbagai gaya dan tingkat bahasa yang bersesuaian dengan tujuan dan dedikasinya. Beliau mengeksploitasi gaya ekspresi terbaik dalam penulisan kreatif, iaitu gaya menunjuk (showing) yang mencitra (visualizing) dengan penggunaan alat susastera yang sesuai. Gaya ekspresi linguistiknya juga berubah disebabkan faktor masa. Peningkatan kemahiran menulisnya dimanfaatkan dengan tujuan retorik. Dedikasi dan kematangannya telah menghasilkan beberapa ciri khas (trademark) yang menarik dan unik.

Sepanjang pembabitannya dalam penulisan cerpen, beliau pernah memenangi Hadiah Cerpen Esso-GAPENA II tahun 1981 dengan cerpen berjudul “Subuh di Bukit Jernang”, manakala dalam sayembara yang sama tahun 1985, cerpennya “Kasihkan Rezeki” memenangi Hadiah Sagu Hati. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank tahun 1986 untuk cerpen berjudul “Mek Nak Baca Yasin” dan “Dalam Menanti Izrael”.

Pada tahun 1990, beliau memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam III anjuran Yayasan Pelajaran Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan cerpen berjudul “Sebelum Berangkat”, manakala dalam sayembara yang sama pada tahun 1992, beliau menang dengan cerpen berjudul “Embun Hidayah Berguguran”. Di peringkat negeri pula, cerpen beliau “Seorang Novelis” memenangi Hadiah Peraduan Cerpen Sempena Maulud Nabi anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada tahun 1992.

Ahmad J. Husein atau nama sebenarnya Ahmad bin Husin dilahirkan pada 5 Jun 1953 di Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bakai, kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Baling, Sekolah Menengah Kuala Ketil dan Sekolah Menengah PGAS, Padang Menora, Seberang Perai. Seterusnya, beliau berkesempatan mengikuti Pengajian Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia.

Cerpen pertama beliau ialah “Itulah Takdirnya”, tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada 6 Mei 1978. Selain menulis cerpen, beliau juga menulis sajak, rencana, esei, dan melukis kartun. Karyanya pernah mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Bintang Timur, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, juga akhbar dan majalah di negara Brunei Darussalam.

Antara kumpulan cerpen beliau yang telah diterbitkan termasuk Terbalik (DBP, 1991), Perjalanan Terakhir (International Books Service, 1991), Tiada Rahsia Lagi (DBP, 2014), Ketika Hujan Renyai-renyai (ITBM, 2015), dan Noktah Sebuah Perjalanan (DBP, 2016).

Mengikut rekod, sepanjang pembabitannya dalam penulisan karya kreatif, beliau telah menghasilkan sekitar 100 buah cerpen dan 150 buah puisi. Kumpulan puisi beliau ialah Ogosku yang Pilu (2010).

Karya beliau juga diterbitkan bersama penulis lain dalam antologi Kehadiran yang Dilupakan (1989), Sesudah Senja (1990), Lambaian Nusa (1991), Juliana (1992), Mutiara Timur (1993), Wira Kemerdekaan (1993), Gema Membelah Gema (2000), Inilah Sejarah Esok (2003), Menyisir Tirai Jendela Piama (2008), Jelapang, Jelapang II, Sayembara II, Sayembara IV, Penantian, Hantaran, Mutiara Timur, Di Bawah Langit Senja, Mawar di Pusara, Embun Hidayah, LA Q, dan Syahdu.

Ahmad J. Husein ketika aktif menulis, meneruskan kesinambungan hidupnya dengan bekerja sendiri. Setelah berpisah dengan isterinya, beliau mengalami strok setelah terjatuh di rumahnya. Dalam keuzurannya sekarang, beliau tidak mampu lagi menghasilkan sebarang bentuk penulisan kreatif. Beliau kini terlantar, lumpuh di Pusat Jagaan Bio Ikhsan Juru, Pulau Pinang. Kos penjagaannya di pusat tersebut sekitar RM1400 sebulan, ditanggung oleh anak saudaranya di samping mendapat biaya daripada Pejabat Zakat Pulau Pinang.

Jelas bahawa beliau memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak yang simpati padanya untuk meneruskan sisa-sisa kehidupannya sekarang.

Demikian nasib yang menimpa cerpenis veteran Kedah yang meniti duka di hujung usia.

_________________________

Osman Ayob ialah penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi