Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamlee Wahab memberikan reaksi positif terhadap perbincangan Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah tentang perhubungan antara sastera dengan politik.
Sastera tanpa kesedaran sosial mudah terperangkap dalam estetika yang terasing daripada realiti.
Tulisan Nasirin Abdullah pada 20 Februari lalu menarik perhatian saya, khususnya petikan yang berikut:
Jika sastera bertujuan menumbuhkan empati, maka ia tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan. Jika sastera mahu menjadi cermin masyarakat, maka ia harus berani memantulkan wajah yang tidak selesa. Dan jika penulis ingin dikenang bukan sahaja sebagai pengarang cerita tetapi sebagai suara nurani zaman, mereka perlu peka terhadap denyut politik yang membentuk kehidupan pembaca mereka” … “menegaskan suatu prinsip: kesusasteraan bukan ruang steril yang terpisah daripada dunia. Sastera ialah medan pertemuan antara bahasa dengan kuasa, antara imaginasi dengan realiti, antara estetika dengan etika. Dalam medan inilah penulis diuji. Sama ada memilih bersuara atau berdiam, setiap tindakan meninggalkan jejak yang tidak terpadam dalam aliran waktu.
Politik dan sastera sering diletakkan dalam dua ranah yang berbeza. Politik dikaitkan dengan kuasa, pentadbiran dan strategi pemerintahan. Sastera pula diasosiasikan dengan estetika bahasa, imaginasi dan ekspresi jiwa. Namun begitu, pemisahan ini lebih bersifat konseptual daripada hakikatnya.
Dalam pengalaman sejarah bangsa, termasuk Malaysia, politik dan sastera hadir sebagai dua entiti yang saling lengkap-melengkapi, ibarat “lagu dengan irama”. Lagu tanpa irama kehilangan daya resonansinya. Irama tanpa lagu pula kehilangan makna dan jiwanya. Begitu juga politik tanpa dimensi kemanusiaan dan budaya akan menjadi kering serta mekanikal. Manakala sastera tanpa kesedaran sosial mudah terperangkap dalam estetika yang terasing daripada realiti.
Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, hubungan antara politik dengan sastera bukan sekadar kebetulan sejarah, tetapi merupakan suatu dialektika yang membentuk identiti kebangsaan. Politik menentukan struktur dan dasar; sastera mentafsir, mengkritik dan memaknakan struktur tersebut. Kedua-duanya berperanan dalam membentuk kesedaran kolektif serta ketahanan budaya bangsa.
Secara konseptual, politik merujuk proses pengagihan kuasa, penggubalan dasar dan pembentukan legitimasi dalam sesebuah negara. Namun begitu, politik bukan sekadar prosedur institusi, tetapi merupakan seni mengurus persepsi, bahasa dan simbol. Dalam kerangka Malaysia, politik tidak dapat dipisahkan daripada wacana kebangsaan yang merangkumi bahasa, budaya, agama, dan pendidikan.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, misalnya, bukan sekadar ketetapan linguistik, tetapi manifestasi politik identiti. Begitu juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menegaskan teras budaya Melayu dan Islam sebagai asas pembinaan negara bangsa. Dasar-dasar ini menunjukkan bahawa politik bukan neutral, tetapi membentuk definisi budaya dan arah perkembangan kesusasteraan.
Pada peringkat tempatan, politik beroperasi melalui struktur akar umbi: cawangan, bahagian dan pihak berkuasa tempatan. Di sinilah politik berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, iaitu melalui pembangunan, pendidikan, kebajikan, dan pengagihan sumber. Ketelusan dan integriti politik tempatan menjadi ukuran keabsahan demokrasi. Tanpa kepercayaan masyarakat, struktur yang lebih tinggi akan kehilangan sokongan moralnya.
Menarik untuk diperhatikan bahawa dalam beberapa manual organisasi politik, terdapat bab khusus mengenai program sastera seperti majlis baca puisi atau kempen membaca. Fenomena ini memperlihatkan bahawa wacana politik menyedari potensi sastera sebagai instrumen pembinaan kesedaran dan solidariti sosial. Di sini, sastera tidak lagi dilihat sebagai kegiatan pinggiran, tetapi sebagai strategi pembudayaan.
Wujud sebuah buku berupa manual berjudul 100 Program Politik Akar Umbi (2021) terbitan Biro Penerangan sebuah parti politik di Malaysia. Di belakangnya memaparkan blurb yang cukup menarik: “Kekuatan sesebuah organisasi terletak pada akar umbinya. Oleh itu akar umbi perlu disemai, dipupuk, dibaja dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Susun aturnya perlu dipelihara, roh dan semangatnya perlu disuntik dari semasa ke semasa melalui pelbagai program, aktiviti dan acara. Takat kefahaman perlu ditingkatkan, tahap komitmen perlu dilipat ganda. Semua itu harus dilakukan dengan teratur supaya dari akar umbi itu akan tegak pokok yang teguh, rendang dan subur”.
Menariknya, inilah kali pertama buku seumpama ini turut memuatkan sebuah bab yang terkait dengan aktiviti/program sastera dan dua bab yang terkait dengan derma buku dan kempen membaca. Hal ini merupakan pembuktian jelas bahawa sudah timbul kesedaran dalam kalangan pemimpin politik untuk tidak mengesampingkan perihal aktiviti bersastera dan program menderma dan membaca buku.
Pada Bab 44, Menganjurkan Majlis Baca Puisi, tertera: “Sebagai suatu bentuk karya sastera, puisi memiliki kekuatan dalam penyampaian makna. Di sebalik keindahan maknanya, ada kalanya puisi digunakan untuk menyampaikan pelbagai mesej yang tersurat dan tersirat yang boleh membangkitkan dan menyentuh emosi pembaca dan pendengarnya. Lebih-lebih lagi sekiranya sesebuah puisi itu dideklamasikan di hadapan khalayak, sama ada oleh penyair itu sendiri atau oleh pendeklamasi lain.”
Sekali-sekala, cawangan boleh mengadakan “Majlis Baca Puisi” terbuka dengan mengundang penyair atau pendeklamasi. Majlis ini boleh diadakan di tempat yang sesuai, biasanya di dalam dewan. Baca puisi selalunya berlangsung dalam suasana santai dengan tema tertentu. Hal ini turut membuktikan betapa kekuatan sastera turut menyumbang kepada kemaslahatan rakyat berbilang kaum dari segi bahasa dan budaya yang bertunjangkan seni untuk masyarakat.
Seterusnya pada Bab 91 dan 92, Mengadakan Kempen Derma Buku dan Kempen Membaca: “Bagi sesetengah orang atau keluarga, buku merupakan barangan mewah. Bagi golongan ini, selain buku teks sekolah, buku jarang-jarang kelihatan dalam rumah mereka. Bagi yang lain, mereka hidup dalam persekitaran buku yang berlebih-lebihan. Sekali-sekala cawangan perlu menganjurkan ‘kempen derma buku’, terutamanya buku cerita atau novel kanak-kanak dan remaja, atau buku yang sesuai dengan masyarakat sekeliling seperti buku penjagaan kesihatan dan buku motivasi.”
Dikuti pula dengan Kempen Membaca: “Dari semasa ke semasa, kerajaan melancarkan ‘kempen membaca’ atau ‘gerakan membaca’ di peringkat negara dan disusuli dengan pelancaran di peringkat negeri. Kempen itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mempunyai minat membaca buku dan menjadikan pembacaan sebagai amalan atau gaya hidup mereka. Akhirnya, menjadi sebahagian budaya masyarakat Malaysia. Manakala cawangan-cawangan wajar mengambil daya usaha untuk melancarkan ‘kempen membaca’ secara meluas. Antaranya dengan mengadakan ceramah tentang kepentingan atau kebaikan amalan membaca dalam kalangan masyarakat kita.”

Sastera sebagai Cermin dan Suara Politik
Dalam dekad-dekad mutakhir, sastera Melayu semakin berani mengangkat isu rasuah, ketidakadilan dan krisis legitimasi politik.
Dalam tradisi teori klasik, Aristotle mendefinisikan sastera sebagai mimesis—tiruan kehidupan. Namun dalam teori moden, sastera difahami sebagai wacana yang bukan sahaja mencerminkan realiti, malah membentuk dan mencabarnya. Sejarah kesusasteraan Melayu membuktikan bahawa karya sastera sering menjadi wahana kesedaran politik.
Pada zaman tradisi, pantun dan hikayat berfungsi sebagai alat pendidikan moral dan legitimasi kekuasaan. Zaman penjajahan menyaksikan sastera menjadi medium kebangkitan nasionalisme. Pascamerdeka, gerakan ASAS 50 mengangkat dan mengutamakan slogan “Seni untuk Masyarakat”, menolak slogan “Seni untuk Seni” yang terpisah daripada perjuangan sosial.
Dalam dekad-dekad mutakhir, sastera Melayu semakin berani mengangkat isu rasuah, ketidakadilan dan krisis legitimasi politik. Karya-karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan Usman Awang memperlihatkan bagaimana bahasa puitis mampu menjadi medan kritik sosial. Puisi-puisi reformasi era 1998 pula membuka ruang alternatif kepada media arus perdana untuk menyuarakan kegelisahan rakyat yang jelas menjadi senjata melawan autoritarianisme.

Misalnya A. Samad Said menyuarakan perihal politik dalam puisinya seperti “Janji Demokrasi” (2012). Puisi ini menekankan tuntutan hak demokrasi, kebebasan bersuara dan semangat rakyat untuk mempertahankan kebenaran. Manakala puisinya berjudul “Rumput di Kaki, Awan di Kepala” (2013) menggambarkan solidariti rakyat, perjuangan bersama dan kebanggaan sebagai warga negara yang menuntut demokrasi. Bagi puisi Usman Awang pula lebih bernuansa patriotisme dan nasionalisme yang pekat, lahir sekitar 1960-an. Sajaknya seperti “Pahlawan Kemerdekaan”, “Melayu” dan “Tanah Air” bermula dengan memberi penghormatan kepada pejuang tanah air yang tidak didendang, menekankan bahawa semangat mereka ialah api negara berdaulat. Hal ini diikuti dengan gambaran cinta yang mendalam terhadap tanah air, memvisualisasikan tanah air sebagai pelindung rakyat dan tempat pahlawan bersemadi. Kemudian, Usman menyentuh tentang jati diri, sejarah dan perjuangan bangsa Melayu dalam membentuk identiti negara. Hal inilah yang sering dikaitkan dengan kesedaran nasionalisme.
Novel SHIT (1999) karya Shahnon Ahmad pula merupakan satira politik terhadap kepimpinan negara ketika itu. Beliau kemudian menyambung dengan novel Muntah (2000) dan novel semibiografi Nurul Anak Papaku (2001).
Sastera membuka ruang alternatif kepada media arus perdana untuk menyampaikan kritikan dengan gaya bahasa yang lebih halus tetapi mendalam. Sastera juga menjadi alat bagi mengkritik kuasa, membuka wacana alternatif dan membentuk kesedaran politik masyarakat. Misalnya novel Interlok (1971) oleh Abdullah Hussain yang membahaskan soal hubungan kaum dan politik identiti. Sastera, dalam konteks ini, berfungsi sebagai “suara kedua” demokrasi—bukan suara rasmi institusi, tetapi suara nurani masyarakat.
Bahasa merupakan alat utama politik. Melalui bahasa, ideologi disebarkan dan legitimasi dibina. Retorik politik Melayu secara tradisinya memanfaatkan pantun, bidalan dan kiasan untuk melembutkan pertentangan dan memperhalus mesej. Keindahan bahasa bukan sekadar hiasan retorik, tetapi mencerminkan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara.
Namun demikian, estetika bahasa juga boleh menjadi alat manipulasi. Propaganda, dalam sejarah peradaban, menunjukkan bahawa bahasa mampu membentuk persepsi dan mengawal emosi massa. Oleh itu, kesedaran sastera dalam politik harus disertai dengan etika dan tanggungjawab moral.
Penerbitan antologi puisi politik mutakhir memperlihatkan bahawa sastera semakin responsif terhadap perubahan landskap demokrasi, khususnya pasca Pilihan Raya Umum ke-14. Media sosial mempercepat penyebaran puisi sebagai bentuk komentar politik. Puisi menjadi “universiti terbuka” yang membolehkan rakyat merakamkan pengalaman politik mereka secara kreatif.
Kepelbagaian suara dalam antologi sedemikian memperlihatkan pluraliti sikap—daripada sinis kepada idealis—sekali gus memperkaya wacana demokrasi. Sastera di sini bukan lagi sekadar cerminan, tetapi ruang dialog antara kuasa dengan rakyat.
Bila YB Dipalu Kompang merupakan sebuah contoh, sebuah antologi puisi politik yang
julung-julung kali diselenggarakan dan diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada tahun 2022. Antologi ini boleh dianggap berani kerana menyentuh keadaan realiti dan suara rakyat selepas pilihan raya umum. Suara jujur, berani, malah mengkritik tajam keadaan politik negara boleh ditemui dalam rangkaian sajak yang dikumpulkan, termasuklah sajak “Menulis Sejarah Itu Mudah” oleh Adiwangsa Sukma, “Pemimpin Yang Baik” oleh Chacho Mohamad, “Undilah YB Ini Lagi” oleh Haris Hauzah, “Antara Budaya dan Pilihan Raya, Masihkah Ada Tulus dari Telusnya Mereka” oleh oleh Ijamala MN, dan “Sabda Murka Kebun” oleh Siti Zainon Ismail.
Ahli Politik sebagai Penyair: Antara Nurani dengan Strategi
Malaysia amat bertuah memiliki beberapa susuk ahli Parlimen dan menteri yang amat meminati genre puisi.
Fenomena ahli politik menulis puisi menimbulkan persoalan menarik: adakah puisi menjadi ruang muhasabah peribadi atau instrumen retorik politik? Dalam beberapa kes, puisi yang ditulis oleh tokoh politik memperlihatkan penggulatan antara idealisme dengan realpolitik.
Puisi-puisi yang mengangkat tema integriti, kebebasan mengundi dan kedaulatan Parlimen memperlihatkan ketegangan antara prinsip dengan pragmatisme kuasa. Dari sudut analisis sastera, teks-teks tersebut lebih menonjolkan mesej dan pernyataan sikap daripada eksplorasi metafora yang kompleks. Namun begitu, kekuatan utamanya terletak pada keberanian suara dan kejujuran emosi.
Tradisi ini bukan baharu dalam sejarah Malaysia. Beberapa tokoh politik terdahulu turut menghasilkan karya puisi atau sajak yang bernuansa patriotik dan reflektif. Walau bagaimanapun, karya sedemikian wajar dinilai secara kritis sebagai teks sastera, bukan semata-mata berdasarkan kedudukan politik pengarangnya. Malaysia amat bertuah memiliki beberapa susuk ahli Parlimen dan menteri yang amat meminati genre puisi. Salah seorang ahli Parlimen yang dianggap menonjol, kerap melampiaskan perasaannya dalam puisi yang tersiar dalam akhbar harian dan media sosial miliknya. Ahli Parlimen tersebut ialah YB Hassan Abd Karim (HAK), Ahli Parlimen Pasir Gudang. Di samping membentangkan usul di Parlimen, beliau juga menggarap puisi. Apabila ada isu yang menyentuh hati dan perasaan, sebagai seorang manusia yang turut berjiwa seni, beliau menyampaikan segala perasaannya melalui puisi. Beliau diberikan jolokan sebagai “YB-MP yang berpuisi”. Puisi beliau sesuai dengan ketokohan dan kerjayanya sebagai seorang ahli politik dan juga peguam. Setiap puisinya menyimpan mesej mendalam, bersama-sama hasrat dan amanat yang tersirat terhadap gaya dan corak urus tadbir kepimpinan negara.
Selain beliau, dalam lipatan sejarah perpuisian di Malaysia, terdapat juga beberapa pemimpin negara yang menggunakan medium sastera, khasnya puisi, untuk menyampaikan hasrat dan nasihat, pemikiran dan gejolak perasaan. Mereka masih mempunyai intuisi seni dan percaya bahawa puisi memberikan keseimbangan dalam mencorakkan nuansa permasalahan yang terkait dengan politik dalam negara. Sekadar beberapa nama tokoh politik berikut dipetik kerana sokongan dan dukungan mereka terhadap dunia sastera. Meskipun bukan berada dalam disiplin sastera, ciptaan mereka dianggap sederhana dan menepati ciri-ciri sebuah puisi yang menarik dan terkandung mesej yang tajam dan mendalam:
Hubungan antara politik dengan sastera di Malaysia bukan sekadar hubungan sokongan institusi (misalnya melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka atau persatuan penulis), tetapi suatu hubungan epistemologi. Politik menyediakan struktur; sastera menyediakan makna. Politik menggubal dasar; sastera menilai dampaknya terhadap manusia.
Pertautan ini mengingatkan kita bahawa negara bangsa tidak dibina hanya dengan undang-undang dan angka ekonomi, tetapi juga dengan naratif, simbol dan bahasa. Tanpa sastera, politik kehilangan jiwa; tanpa kesedaran politik, sastera kehilangan konteks sosialnya.
Dalam erti kata itu, politik dan sastera bukan dua wilayah yang terpisah, tetapi dua arus yang mengalir dalam sungai sejarah yang sama—kadangkala bergelora, kadangkala tenang—namun sentiasa membentuk landskap pemikiran bangsa.

_________________________
Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.