Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik mengaku bahawa untuk menikmati sesebuah puisi, hal utama yang penting untuknya ialah rasa. Beliau cuba memberikan pandangan yang berbeza daripada Irfan Fikri.
Semuanya bergantung pada cita rasa.
Slogan iklan kuih Tepung Pelita Paya Jaras berbunyi seperti berikut: “Rasa Sebulan, Rindu Setahun”. Tidak perlu untuk saya faham mengapa kuih jenama tersebut hanya dapat dirasai kala Ramadan menjelma. Saya hanya faham bahawa saya seorang lelaki yang tidak banyak kerenah.
Apabila saya nampak saja Tepung Pelita Paya Jaras melintas di depan mata, saya akan beli terus dua bungkus.
Alangkah elok kalau kita mengambil pendekatan yang lebih kurang begitu dalam membaca puisi? Namun, puisi bukan sejenis kuih tradisional Melayu.
Untuk puisi, saya dahulukan rasa. Hal ini bukanlah bererti saya abaikan terus pencarian maksud dan faham dalam sesebuah puisi. Sejujurnya, karya garda-depan ada kalanya sukar untuk saya benar-benar nikmati kerana terlalu rumit sehingga saya sendiri menggaru kepala. Walau bagaimanapun, tidak kurang banyak juga puisi konvensional yang mudah difahami dan jelas maknanya, namun berlalu sepintas lalu tanpa menjentikkan apa-apa dalam sanubari saya.
Semuanya bergantung pada cita rasa.
Kefahaman dalam puisi—saya percaya—bermula daripada pembacaan pertama. Maksudnya, sewaktu kita mula-mula membaca kalimah pertama. Akan tetapi, hal tersebut tidak berakhir dengan membaca perkataan pada hujung puisi itu begitu sahaja. Untuk kefahaman yang lebih mendalam, dianjurkan untuk para pencinta puisi membaca penulisan “tentang” puisi.
Setakat yang saya temui (dan baca) termasuklah Why Poetry oleh Matthew Zapruder, Finger Excercises for Poets oleh Dorianne Laux, Real Toads, Imaginary Garden oleh Paisley Rekdal, dan Dear Writer oleh Maggie Smith. Keempat-empat buku ini bolahlah dikatakan antara buku tentang puisi yang wajar dibaca oleh pemuisi pemula.
Melalui empat buah buku yang saya kongsikan, para pencinta puisi dapat mendalami apakah yang menjadikan sebuah puisi “lazat”, selain mengetahui apakah yang ditafsirkan sebagai “lazat”.
Kelebihan Tepung Pelita Paya Jaras—selain teknik pemasaran dan buah mulut orang ramai—mengatasi kuih tepung pelita yang lain kerana ciri-cirinya yang menyeluruh. Tidak kira anda membeli dengan mana-mana ejen jualan, produknya tekal. Warna kuih Tepung Pelita Paya Jaras tidak terlalu terang mahupun kusam; teksturnya lembut, tidaklah cair sehingga meleleh kalau tercondong sedikit; manisnya pula tidak melampau mahupun terasa tawar. Maka, inilah mengapa saban tahun saya akan menemui diri saya sanggup meredah kesesakan bazar Ramadan dan saban tahun juga menemui betapa rapuhnya iltizam saya untuk tidak menjejakkan kaki ke sana.
Irfan Fikri menyatakan bahawa “rasa dalam kulinari bersifat seketika … hilang selepas ditelan.” Akan tetapi, apakah yang ditelan bertahun-tahun lalu, menjelma bersama-sama kedatangan anak bulan? Jika pencerita In Search of Lost Time ada kuih baulu Perancis madeleine, Tepung Pelita Paya Jaras mungkin berpeluang menjadi antara makanan yang menjadikan saya “negarawan sejati” (mengikut pandangan Lin Yutang).
Tidak perlulah saya faham jika tauke Tepung Pelita Paya Jaras memilih untuk berniaga sepanjang tahun atau hanya sebulan sahaja. Saya faham yang jenama tersebut sahih sedap. Saya juga faham—sebenarnya, lebih kepada “tahu”—apakah yang saya suka dan tidak suka. “Tak kenal maka tak cinta,” bak kata orang tua.
Bukankah puisi juga begitu? Jika diizinkan untuk tukar sedikit: puisi lebih kepada “tak tahu maka tak suka.”
Seperti huraian saya mengenai Tepung Pelita Paya Jaras, begitulah pengkritik puisi menghuraikan isi perbincangannya dalam judul yang saya petik di atas (sudah pasti, huraian mereka lebih dahsyat daripada cara saya menerangkan minat saya terhadap kuih tepung pelita).
Para pembaca mungkin hanya “kenal” nama-nama yang tersohor dan mungkin terpengaruh dengan “idea” seseorang itu—bukan karyanya. Namun demikian, berapa ramaikah yang “tahu” mengapa ada baris yang menggetarkan tulang sum-sum mereka atau ada ungkapan yang membuatkan mereka berasa seolah-olah kepala mahu tercabut dek bahasa yang digunakan.
Dalam dunia sajak Melayu Malaysia, ada beberapa susuk besar yang saya tahu mengapa saya suka apa yang saya suka: Abdul Ghafar Ibrahim dengan kredo dan konsep TRI-V beliau; Salleh Ben Joned dengan “kebirahan” dan “keberahian” bahasa Melayunya; Latiff Mohidin dan T. Alias Taib dengan kesederhanaan bahasa mereka yang memukaukan; dan Pyanhabib Rahman dengan sajak pendek beliau yang singkat tetapi besar dan luas.
Dari segi cita rasa, nama-nama di atas menepati ciri-ciri sebagaimana Tepung Pelita Paya Jaras menepati ciri-ciri yang saya cari dalam kuih seangkatannya.
Walau bagaimanapun, adakah begitu cetek tanggapan saya terhadap puisi dan kuih? Mungkin. Ada masa kita tahu apa yang “sesuai” dengan kita, ada masanya kita mencari-cari kata paling tepat dan jujur, tetapi hanya menemui kebuntuan serta perasaan yang kita tidak susah hati untuk duduk bersama dalam kebungkaman.
Seribu kemungkinan, kecil dan besar …
Contohnya, seperti puisi “The Red Wheelbarrow” oleh William Carlos Williams. Saya tidak pandai untuk menerangkan mengapa saya suka puisi tersebut, tetapi saya dapat bayangkan saya memberitahu Encik Williams: “Betul … kereta sorong merah dibasahi air hujan di tepi ayam-ayam putih itu penting!” Itu belum saya geladah lagi peti sejuk saya untuk menemui buah plum saya yang Encik Williams sudah makan dulu. Nasib baik dia minta maaf.
Manis dan sejuk, katanya.
Dari segi kefahaman pula, puisi mereka menyedarkan saya betapa kayanya dunia sajak Melayu Malaysia dan betapa dunia itu menawarkan—meminjam ungkapan Salleh Ben Joned—“seribu kemungkinan/kecil dan besar.”
Pengetahuan dan pemahaman ini saya dapati daripada membaca karya pemuisi yang saya minati dari kulit ke kulit. Bayangkan jika terdapat naskhah khusus yang membincangkan hal sejarah, konteks dan kepenyajakan mereka.
Buku esei dan kritikan (bahkan biografi) puisi bukan sahaja membuka ruang untuk kita lebih mendekati dan mengenali tentang puisi dan pemuisinya, malah mampu menjelaskan mengapa kita tertarik pada sesuatu gaya, bentuk dan suara.
Seperti kuih Tepung Pelita Paya Jaras atau mana-mana hidangan yang “dikupas”, apakah yang menjadikannya istimewa? Sebuah puisi, kefahamannya dibawa oleh pengetahuan, penuh kedalaman dan perenungan yang lebih baik daripada apa-apa yang cuba saya tawarkan dalam rencana ini. Hal ini pasti akan membawa kita menemui rasa yang sewajarnya.
Walaupun “faham” dalam puisi bukanlah erti kata yang lazim dipersetujui oleh khalayak umum, tetapi setelah kita “memahami” puisi dengan pendedahan yang melangkaui apa yang sebelum ini tidak kita lihat, maka pengalaman kita untuk “merasai” sesuatu karya saya yakin pasti diperkaya, malah nikmat penghayatannya bertambah dalam.
“Karya yang hanya bergantung pada rasa akan mati di pinggan peradaban.” Ada betulnya. Namun, jangan kita lupa bahawa “rasa” merupakan sesuatu yang azali. Karya yang menolak rasa hidup di peradaban yang bagaimana?
Sekurang-kurangnya, kita (sendiri) “tahu” mengapa kita “suka” pada sesuatu perkara. Sebab kita “rasa” dan ada (pe)rasa(an) dan terbentuk (cita) rasa.
Mungkin, puisi serupa sahaja dengan kuih tradisional Melayu. Puisi (yang bagus – nah, persoalan “apa itu bagus” pula saya simpan untuk ruang dan peluang lain) ialah pengalaman yang dicubai sekali, tetapi membawa kita pulang untuk menjamahnya berkali-kali.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.