Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah meneliti sikap berani pengarang dari India, Arundhati Roy yang menarik dirinya daripada Berlin International Film Festival 2026 sebagai kenyataan intelektual yang wajar direnungi oleh dunia kesusasteraan.
Bahasa mempunyai tanggungjawab dengan cara menamakan kekejaman dengan istilah yang tepat sebagai langkah pertama untuk menentang sikap tidak berperikemanusiaan …
Tindakan Arundhati Roy (penulis novel, The God of Small Things, yang memenangi Hadiah Booker 1997) menarik diri daripada Berlin International Film Festival 2026 baru-baru ini bukan sekadar episod kontroversi budaya antarabangsa, tetapi sebuah peristiwa intelektual yang wajar direnungi oleh dunia kesusasteraan.
Ketika beberapa anggota juri festival menyatakan bahawa seni tidak seharusnya menjadi politik, terutamanya oleh presiden juri festival, Wim Wenders, Roy membalas dengan nada keras tanpa kompromi. Beliau menyifatkan bahawa kenyataan tersebut sebagai “melampau” atau boleh juga membawa maksud “tidak berhati perut” (unconscionable) dan menegaskan bahawa kenyataan menyeru seni agar kekal di luar politik pada saat berlakunya krisis kemanusiaan ialah satu cara menutup perbincangan tentang jenayah terhadap kemanusiaan. Reaksi itu segera melangkaui ruang festival lalu memasuki wacana global tentang tanggungjawab moral seniman dan penulis.
Bagi Roy, persoalannya bukan sama ada seni patut menyokong parti atau ideologi tertentu. Hal yang dipertaruhkan ialah kesediaan untuk menyebut sesuatu yang dianggapnya sebagai genosid dan untuk berdiri di sisi mangsa ketika kekerasan sedang berlaku. Dalam kenyataannya, beliau mengingatkan bahawa jika seniman terkemuka tidak mampu menyuarakan pendirian dalam situasi sebegitu, generasi akan datang akan mengadili mereka. Ungkapan ini mengandungi kesedaran bahawa karya dan sikap seorang penulis tidak terhenti pada hari ini; ia akan dibaca semula, ditafsir semula dan dinilai semula oleh zaman lain. Maka, kepekaan politik bukan soal populariti semasa, tetapi soal jejak moral yang ditinggalkan.
Peristiwa ini membuka kembali perbahasan lama tentang hubungan antara sastera dengan politik. Sejak dahulu, terdapat dua kecenderungan yang sering bertembung. Kecenderungan pertama lebih melihat sastera sebagai wilayah autonomi, ruang imaginasi yang harus bebas daripada desakan ideologi agar tidak terperangkap dalam propaganda. Kecenderungan kedua melihat sastera sebagai sebahagian daripada kehidupan sosial, dan oleh itu mustahil terasing daripada persoalan kuasa, keadilan dan penindasan. Roy berdiri jelas dalam kecenderungan kedua. Namun yang menarik, beliau tidak mengurangkan sastera menjadi alat kempen; beliau menuntut agar seni tidak berpura-pura neutral ketika berhadapan dengan penderitaan manusia yang nyata.
Tradisi sastera dunia sebenarnya sarat contoh sedemikian, daripada George Orwell melalui Nineteen Eighty-Four yang membedah totalitarianisme, seterusnya Ngũgĩ wa Thiong’o yang menulis tentang kolonialisme bahasa dan kuasa dalam novel-novelnya, hingga terkini, karya-karya seperti A Day in the Life of Abed Salama (2024) oleh Nathan Thrall, sebuah novel bukan fiksyen yang sarat dengan nuansa politik, memperincikan kehidupan dalam konflik Palestin-Israel serta tragedi nahas bas sekolah tahun 2012, dan Dream Count (2025) oleh Chimamanda Ngozi Adichie, sebuah novel polifonik yang mengangkat isu serangan seksual, politik tubuh wanita serta pengalaman diaspora.
Di sinilah pentingnya membezakan antara kesedaran politik dengan kepartian politik. Seorang penulis tidak perlu menjadi jurucakap mana-mana blok kuasa untuk bersikap peka terhadap isu politik. Politik, dalam erti paling asas, ialah pengurusan kehidupan bersama-sama: siapa mempunyai akses kepada sumber, siapa dilindungi undang-undang, siapa dipinggirkan, siapa menjadi korban peperangan. Apabila seorang novelis menulis tentang keluarga yang kehilangan tanah akibat pembangunan rakus, atau tentang komuniti minoriti yang hidup dalam ketakutan, karya itu sudah pun memasuki wilayah politik walaupun tanpa slogan. Hal ini dapat dilihat dalam karya Pramoedya Ananta Toer yang menganyam sejarah kolonial dengan nasib individu, atau dalam puisi A. Samad Said yang sering menyelitkan suara rakyat marhaen dalam metafora sederhana.
Tindakan Roy mengingatkan bahawa berdiam diri juga satu pilihan politik. Seruan agar seni “tidak menjadi politik” sering dibingkaikan sebagai usaha memelihara kemurnian estetika. Namun dalam situasi tertentu, hal ini boleh berfungsi sebagai mekanisme pembisuan. Apabila keganasan atau ketidakadilan berlaku secara terbuka dan penulis memilih untuk tidak menyentuhnya atas nama neutraliti, pilihan itu mungkin kelihatan selamat tetapi tetap membawa implikasi etika. Roy melihat neutraliti dalam konteks tersebut sebagai kegagalan moral. Bagi beliau, bahasa mempunyai tanggungjawab dengan cara menamakan kekejaman dengan istilah yang tepat sebagai langkah pertama untuk menentang sikap tidak berperikemanusiaan.
Dunia kesusasteraan secara amnya, termasuk di Malaysia, wajar meneliti sikap ini secara matang. Kepekaan politik tidak bererti setiap karya harus sarat retorik atau menjadi polemik terbuka. Sastera bekerja melalui kehalusan, simbol dan kerumitan watak. Seorang penyair yang peka akan menangkap getaran zaman dalam metafora; seorang dramatis yang tajam akan memerangkap konflik kuasa dalam dialog yang meyakinkan; seorang cerpenis yang jujur akan menulis tentang ketakutan dan harapan manusia biasa yang dihimpit keadaan politik. Kesemua ini memerlukan kesedaran konteks, bukannya “melarikan diri” atau menghindari.
Sudah tentu ada risiko apabila penulis terlibat dalam isu politik. Mereka mungkin diserang, disalah tafsir atau dilabel. Namun sejarah sastera menunjukkan bahawa banyak karya besar lahir daripada keberanian moral. Penulis yang berani menyentuh isu sensitif sering membuka ruang baharu dalam imaginasi kolektif. Mereka tidak semestinya betul dalam semua hal, tetapi keberanian mereka menggerakkan perbincangan yang diperlukan. Roy sendiri bukanlah seorang tokoh yang bebas kontroversi, namun tindakannya di Berlin menunjukkan konsistensi antara tulisan dengan sikapnya sebagai intelektual awam.
Kepekaan politik juga menuntut disiplin intelektual. Hal itu bukan sekadar reaksi emosional terhadap peristiwa semasa, tetapi kesediaan memahami sejarah, undang-undang antarabangsa, struktur ekonomi dan dinamika kuasa yang melatari sesuatu konflik. Tanpa pemahaman ini, sastera berisiko menjadi simplistik atau sentimental. Roy, dengan latar aktivisme dan esei politiknya, memperlihatkan bahawa seorang penulis boleh menggabungkan imaginasi kreatif dengan analisis tajam. Maka inilah tuntutan sebagai seorang penulis yang perlu memperluas bacaan, mendalami konteks dan tidak sekadar bergantung pada tanggapan umum.
Pada akhirnya, persoalan yang ditinggalkan oleh peristiwa di Berlin bukan sekadar sama ada seni harus menjadi politik, tetapi apakah jenis manusia yang ingin dilahirkan oleh sastera. Jika sastera bertujuan menumbuhkan empati, maka ia tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan. Jika sastera mahu menjadi cermin masyarakat, maka ia harus berani memantulkan wajah yang tidak selesa. Dan jika penulis ingin dikenang bukan sahaja sebagai pengarang cerita tetapi sebagai suara nurani zaman, mereka perlu peka terhadap denyut politik yang membentuk kehidupan pembaca mereka.
Tindakan Arundhati Roy mungkin tidak mengubah dasar festival atau menghentikan peperangan. Namun begitu, tindakannya menegaskan satu prinsip: kesusasteraan bukan ruang steril yang terpisah daripada dunia. Sastera ialah medan pertemuan antara bahasa dengan kuasa, antara imaginasi dengan realiti, antara estetika dengan etika. Dalam medan inilah penulis diuji. Sama ada memilih bersuara atau berdiam, setiap tindakan meninggalkan jejak yang tidak terpadam dalam aliran waktu.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.