Diterbitkan pada 2 April 2026, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Novelis terkemuka Arundhati Roy menarik minat khalayak pembaca fiksyen apabila berada dalam senarai pendek Women’s Prize for Nonfiction 2026, anugerah berprestij bernilai £30,000

Karyanya, Mother Mary Comes to Me bakal berentap dengan lima lagi judul, iaitu The Finest Hotel in Kabul: A People’s History of Afghanistan (Lyse Doucet); Art Cure: The Science of How the Arts Transform Our Health (Daisy Fancourt); Artists, Siblings, Visionaries: The Lives and Loves of Gwen and Augustus John (Judith Mackrell); Hotel Exile: Paris in the Shadow of War (Jane Rogoyska), dan Nation of Strangers: Rebuilding Home in the 21st Century (Ece Temelkuran), seperti yang diumumkan Women’s Prize Trust menerusi laman web rasminya.

Menurut laman web itu, senarai pendek berkenaan terpilih daripada 16 tajuk judul senarai panjang yang diumumkan sebelum ini, merangkumi pelbagai tema seperti memoir, sejarah, seni, sains, politik, dan biografi.

Ketua Juri, Thangam Debbonaire berkata, keenam-enam karya yang disenaraikan menonjol kerana membawa perspektif individu dalam konteks isu global dari Asia, Eropah dan Timur Tengah.

“Senarai pendek itu menekankan kepentingan suara wanita dalam penulisan bukan fiksyen, terutamanya ketika industri buku di United Kingdom menunjukkan penurunan jualan buku bukan fiksyen,” katanya.

Untuk rekod, anugerah itu dikendalikan oleh Women’s Prize Trust, sebuah badan amal bebas yang berpusat di United Kingdom. Selain kategori bukan fiksyen, pihak penganjur turut menyediakan penghargaan kepada penulis fiksyen seperti yang diumumkan pada 4 Mac lalu, manakala senarai pendeknya akan diumumkan pada 22 April 2026.

Women’s Prize for Fiction merupakan salah satu anugerah sastera paling berprestij dan berpengaruh di dunia, yang memberikan penekanan kepada suara wanita serta membina komuniti pembaca global.

Pemenang untuk kategori fiksyen dan bukan fiksyen akan diumumkan pada 11 Jun depan di Bedford Square Gardens, London.

Kredit Foto: Arundhati Roy/Facebook
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan