Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Sastera dan bahasa perlu diangkat sebagai “raksa” ketamadunan yang berfungsi sebagai indikator, pelindung serta pemugar peradaban, bukan sekadar wacana estetika yang terasing daripada ekosistem pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, YBhg. Datuk Profesor Ts. Dr. Ramzah Dambul menegaskan, sastera dan bahasa ialah jiwa kepada tamadun dan mesti diperkasa melalui sinergi dasar, infrastruktur serta rantaian nilai industri kreatif.
Beliau mengupas perkara tersebut ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Sastera dan Budaya Raksa Ketamadunan: Sinergi dan Ekosistem” dalam program Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.
Menurutnya, istilah raksa merujuk logam yang menjadi petunjuk suhu, manakala dalam konteks sastera, raksa membawa makna indikator tahap ketamadunan sesuatu bangsa.
“Raksa menjadi pengikat keseluruhan tema DASA 2026. Sastera dan bahasa sebagai jiwa tamadun. Raksa juga pelindung, pendukung dan pemugar ketamadunan. Jadi raksa, iaitu sastera dan bahasa sebagai mercu tanda peradaban, mestilah perkasa dan berkuasa,” katanya.
Dr. Ramzah menarik perhatian hadirin bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) setebal 212 halaman hanya menyebut sastera sebanyak tiga kali, sekali gus menggambarkan kedudukan bidang itu yang masih belum menjadi fokus utama dalam kerangka pembangunan negara.
“Masalahnya, sebahagian warga sastera juga tidak mahu berganjak. Kita bercakap tentang sinergi dan ekosistem. Dasar menjadi landasan kepada raksa. Namun tidak banyak pembaharuan legislatif dalam tempoh 15 hingga 20 tahun,” ujarnya.
Beliau menyifatkan cabaran utama ketika ini ialah masalah paradigma yang terperangkap dalam wacana estetika semata-mata tanpa menghubungkannya dengan struktur budaya, ekonomi dan industri.
Dalam pembentangannya, beliau turut menjelaskan bahawa wacana sastera masa kini masih terperangkap dalam paradigma estetika yang sempit apabila perbincangan lebih tertumpu kepada mutu bahasa, keindahan gaya serta pertikaian aliran sastera.
Menurutnya, aspek strategik seperti dasar budaya, infrastruktur industri kreatif, rantaian nilai sastera dan ekonomi bahasa masih kurang diberi perhatian dalam kerangka perbincangan arus perdana.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan sastera tidak dilihat sebagai satu sektor pembangunan yang menyumbang kepada kemajuan negara, sebaliknya hanya dianggap sebagai ruang ekspresi kelompok elit budaya.
Menggunakan kiasan yang mudah difahami, beliau menegaskan keperluan membina asas ekosistem yang kukuh bagi memajukan sastera dan budaya.
“Kita perlukan dapur yang bagus untuk memasak makanan yang baik,” katanya, merujuk kepada keperluan prasarana, dasar dan sokongan institusi yang mantap bagi melahirkan karya serta peradaban berkualiti.
Program DASA 2026 yang berlangsung selama dua hari di UNISEL, Shah Alam merupakan anjuran Persatuan Penulis dan Kebajikan Selangor (KEMUDI) dan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) serta UNISEL.