Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdam Taufiq Suharto menuruti beberapa arketaip watak pengarang dalam filem Malaysia tahun 1975 – 1999.
Hati Bukan Kristal menarik kerana memperlihatkan dinamik pengarang warta berlainan gender.
Sepertimana bintang filem yang hadir menyerikan sinema, filem tentang pengarang juga wujud dalam sinema kita. Hal ini kerana, pengarang juga ialah bintang untuk peminat dan pengikutnya! Dalam penulisan ini, kita akan memerhati sinema Malaysia pascastudio (1975 – 1999) yang juga dikenali sebagai Era Bumiputera (kerana rumah-rumah produksi dimiliki oleh orang Melayu dan bumiputera). Era ini juga dikenali sebagai Era Persendirian (merujuk transisi daripada dominasi pembikinan filem oleh studio kepada rumah penerbitan mandiri). Maka, begitulah keinginan penulisan ini, untuk menelusuri watak-watak pengarang dan bagaimana “kepengarangan” mereka berfungsi dalam naratif.
Sebelum saya membuat pemerhatian, molek juga kalau kita melakukan trivia terhadap beberapa susuk pengarang “sebenar” yang pernah hadir di layar sinema. Antara yang pernah muncul termasuklah Pyanhabib (Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta ’87, dan Tak Kisahlah Beb!); Adibah Amin (Hati Bukan Kristal, Adik Manja dan Mat Som); Salleh Ben Joned (Bintang Malam); Abdul Ghafar Ibrahim serta T. Alias Taib (Mat Som); Johan Abdullah @ John Noel Bagley (Amok dan Bintang Malam); Aimi Jarr (Detik 12 Malam); Hamzah Hussin (Bayi Tabung); dan Sujiah Salleh serta Abdullah Hassan (Ali Setan).
Antara semua itu, yang mungkin telah melakar bintang di langit sinema kita pastilah gemulah Pyanhabib yang pernah menang Anugerah Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik melalui filem Tsu Feh Sofiah, tetapi juga menolak anugerah tersebut di Festival Filem Malaysia.
Sehubungan itu, esei ini bukan sekadar ingin bernostalgia dengan susuk-susuk penulis sebenar yang menyusup masuk ke sinema, tetapi juga menelusuri watak-watak pengarang fiksyen yang dipakai topengnya oleh sang pelakon. Berdasarkan pengamatan, terdapat beberapa jenis pengarang yang muncul dalam sinema Malaysia, yakni novelis dalam Cinta Kita; wartawan dalam Hati Bukan Kristal, Mat Som, Femina, Scoop, dan Langit Petang; pengarang skrip pentas/dramatis dalam Perempuan Melayu Terakhir; pengarang akademik dalam filem Amok; dan penyair dalam Penyair Malam. Pyanhabib sebagai Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan juga selain melakukan apa-apa sahaja untuk kelangsungan hidup kerana “Kita mesti terus hidup!”, juga seorang penyair dalam filem itu, biarpun dia hanya menulis untuk dirinya. Dialognya sahaja cukup menawan: “Tak boleh, gua buat sajak untuk gua saja. Special!”
Watak pengarang pertama yang akan disentuh ialah watak Haikal (lakonan Eizlan Yusoff) dalam filem Perempuan Melayu Terakhir (arahan Erma Fatima, 1999), seorang penulis pentas/dramatis dalam kembara essentialist Melayunya. Haikal ialah seorang penggiat teater, penulis dan pensyarah teater yang sering mengadakan persembahan teater berbahasa Inggeris selain berkiblatkan teater Barat. Walaupun secara inti patinya kembara Haikal ke Terengganu itu adalah untuk mencari jati diri “Melayu” yang hilang dalam dirinya. Percikannya bermula apabila dia merasakan ada sesuatu yang “hilang” daripada pementasan teaternya. “Something is missing,” ujar Haikal, si “orang putih celup” yang bermonolog kecil dalam hati. Kata Haikal kepada temannya, “Aku nak jadi Shakespeare Melayu”, lalu dibalas santai temannya, “Melayu tak ada Shakespeare, John!” (John ialah nama panggilan Haikal dalam kalangan lingkungannya).
Perjalanannya ke Terengganu telah mempertemukan Haikal dengan “Perempuan Melayu Terakhir” – Mustika (dilakonkan oleh Vanidah Imran), yang kemudiannya dia terjatuh hati, malah dalam kepercayaannya, menemui jati diri “Melayu”nya.
“Perempuan adalah bentang akhir kepada budaya”, kurang lebih begitulah yang Haikal percaya (yang rupa-rupanya kita disedarkan bahawa Haikal berasal dari kawasan kampung di Kedah, dan maknya juga orang Kedah dan bercakap dengan loghat Kedah!). Banyak ribut dan taufan yang Haikal lalui sepanjang di Terengganu, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan tunang Mustika, Ku Leh (dilakonkan oleh Azri Iskandar), yang berada di garis ekstrem dalam beragama, meskipun dahulu mendapat pendidikan tinggi di tanah Inggeris. Pada akhir filem, setelah mengharungi kembara essentialist Melayunya, Haikal akhirnya membikin sebuah pementasan teater Melayu bertajuk Perempuan Melayu Terakhir, yang sebenarnya merupakan suatu imitasi pada kisah Mustika.
Hal yang menarik di sini ialah adegan teater dalam filem ini. Filem ini sendiri dibuka dengan adegan teater Inggeris yang diarahkan oleh Haikal. Kehadiran penonton tidak memberangsangkan, malah yang datang menonton pun menguap beberapa kali. Hal ini kontra dengan kehadiran penonton ke teater Melayu Haikal setelah dia menemui “Melayu”nya dengan auditorium yang dipenuhi oleh penonton dengan gegak gempita dan tepukan gemuruh setamat sahaja teater Perempuan Melayu Terakhir yang menampilkan M. Nasir dan Tiara Jacquelina. Mungkin inilah hal “something missing” yang sebenar dalam teater-teater Haikal sebelumnya?
Kesemua filem Era Persendirian ini menunjukkan bahawa proses mengarang bergerak sekali dengan perkembangan naratif …
Selain itu, dalam sinema pascastudio, kita dapat melihat watak wartawan yang agak banyak dilayarkan, dan antaranya termasuklah Hati Bukan Kristal (arahan Raja Ahmad Alauddin, 1990). Dalam filem ini, kita dilayarkan bagaimana tugas kewartawanan beroperasi, antara yang mengumbar berita-berita sosial dengan mereka yang mewartakan soal-soal perempuan. Nina (lakonan Julia Rais) ialah lepasan STPM yang baru mendaftar kerja sebagai wartawan di perusahaan surat khabar yang diselia oleh Cik Ida (lakonan Adibah Amin). Di sini, kita disuguhkan bagaimana pengarang menjadi ejen kebenaran, mengumbar masalah dan pergelutan masyarakat, walaupun ada selingan-selingan drama asmara di sela-selanya, selari sebagai sebuah karya popular.
Hati Bukan Kristal menarik kerana memperlihatkan dinamik pengarang warta berlainan gender. Nina (lakonan Julia Rais) pengarang pemula yang ingin mengetengahkan isu-isu wanita, manakala Razif (lakonan Redzuan Hashim) wartawan senior yang menyiasat dan mewartakan isu-isu sosial serta berani, termasuklah sanggup melakukan penyamaran demi mendapatkan “maklumat” sebenar. Razif juga sering memandang rendah dan enteng terhadap Nina yang selain merupakan wartawan baharu yang hanya menulis tentang masalah wanita sahaja. Bagi Razif, hal itu hanyalah hal remeh-temeh, berbeza daripada dia yang bekerja keras di lapangan, membongkar dan mengumbar isu-isu yang bukan sahaja penting, tetapi bahaya, selari dengan cita-cita kecilnya yang ingin menjadi perisik ala James Bond.
Razif kemudiannya mula menyiasat kes penyundalan dan wanita simpanan berkelas tinggi. Bagi tujuan itu, dia mendekati Michelle (lakonan Erma Fatima) yang selain merupakan perempuan simpanan seorang politikus, juga seorang “kupu-kupu malam” berprofil tinggi. Dalam proses mengarang kisah Michelle, Razif yang difikirkan Michelle ikhlas berkawan dengannya ternyata hanya mempergunakannya untuk mendapatkan cerita bagi laporan akhbarnya. Setelah melalui perhubungan bersama-sama Michelle lalu mengecewakannya, Razif mulai belajar untuk menjadi tidak terlalu keras dengan wanita, khususnya Nina yang sebelum itu sering dipandang enteng olehnya. Dalam masa yang sama, naratif Nina pula mendekati trope (pola) “menuju kedewasaan” (coming-of-age). Sepanjang proses kerjayanya, dia belajar untuk menjadi seorang wartawan-pengarang, dengan dugaan mencabar ketika tulisan ditolak oleh sang editor yang garang seperti Cik Ida, dan mulai memahami Razif dan senang didekatinya, sehinggalah mulai mengetahui bahawa temannya, Michelle, perempuan simpanan kepada seorang ahli politik. Dalam erti kata Nina keluar daripada kenaifan hidup.

Seterusnya, Cinta Kita (arahan Kamal Ishak, 1995) pula berpusat pada pertembungan dua individu, Arman (lakonan Aman Graseka), seorang novelis yang bekerja sebagai penjaga pantai sambil menyiapkan naskhah terbaharunya, dengan Latifa (lakonan Sofea Jane). Mereka bertemu di rumah peranginan tempat Arman bekerja dan di situlah Latifa hadir, yang juga baru dilanda kekecewaan cinta sehingga memilih identiti baharu sebagai Dino, dalam erti kata lain memilih menjadi tomboi. Latifa juga sedang membaca sebuah novel, Cinta Kita, yang juga merupakan tulisan Arman sendiri yang memang bercerita tentang seorang wanita yang kecundang dalam cinta lalu mengubah diri menjadi tomboi.
Setelah perkenalan dan hubungan terbentuk, kita kemudiannya mengikuti Arman pulang ke kampung halamannya di Pahang, lalu Arman dan Latifah pergi bersama-sama ke “teratak rahsia” Arman menulis, iaitu di sebuah air terjun (kini, air terjun ini digelar sebagai Air Terjun Sofea Jane!). Dalam proses perhubungan mereka berdua ini, sebenarnya juga merupakan proses yang mengembalikan Latifa kepada susuk fitrah seorang perempuan (dalam hal ini, wacana gendernya agak simplistik) dan hal ini turut berlapis dengan perubahan latar keberadaan mereka berdua, yakni jauh ke dalam hutan dan tinggal di kawasan air terjun (simbol kembali ke alami dan fitrah). Arman pula selaku pengarang dipaparkan bertindak sebagai “penyelamat” (saviour complex) dalam mengembalikan Dino kepada Latifah semula. Antara babak kegemaran saya dalam filem ini adalah apabila Arman sedang cuba mengutip balik helaian-helaian novelnya yang sedang dikerjakannya di sungai (secara simboliknya, mengutip semula cinta mereka yang sedang runtuh), lalu perlahan-lahan dipeluk oleh Latifa dari belakang.
Selain itu, mungkin Natalie (lakonan Ramona Rahman) dalam filem Amok (arahan Adman Salleh, 1995) ialah satu watak yang kontra dengan tajuk esei ini, yakni “melihat pengarang bekerja”, kerana hakikatnya, Natalie seperti banyak orang yang mengerjakan tesis, pasti berlengah-lengah (procastinating) dan “terganggu”, maka hal ini seperti pengalaman “melihat pengarang tidak bekerja”. Walaupun jika diikutkan, saya percaya selagi sesuatu tesis itu masih di ranah seni dan kemanusiaan serta mengambil pendekatan itu, mengarang ialah hal utama.
Kalau diikutkan, Natalie sebenarnya sedang mengerjakan tesis Doktor Falsafahnya tentang Melayu dan kemelayuan, tetapi sepanjang filem ini, yang kita temukan ialah Natalie yang terlalu “tenggelam” dengan subjek-subjek kajiannya dan terlalu sibuk dengan “kajian lapangan” bersama lelaki-lelaki Melayu, sehingga tidak punya masa untuk mengarang (saya syak kalau di dunia nyata, Natalie mungkin tak sempat berijazah tepat pada masanya!).
Dalam filem Amok, Natalie mempunyai hubungan dengan Wan Man (lakonan Nasir Bilal Khan) yang mengalami gangguan dan krisis melibatkan saka keturunan daripada arwah ayahnya. Namun begitu, Natalie yang juga orang putihm yang sebenarnya tidaklah benar-benar ingin memahami Melayu itu dengan kanta lokal, sebaliknya masih dengan kanta orientalis, malah hanya mengkaji subjeknya secara suka-suka sehingga Wan Man mengibaratkan Natalie hanya memandang dia dan segalanya tentang Melayu sebagai cenderamata semata-mata. Sebab itulah Natalie ditolak untuk belajar silat oleh seorang guru silat, kerana daripada lagaknya, tidak mungkin dia faham silat (atau tok guru itu dapat menjangka disiplin dan fokusnya yang teruk).
Apabila Wan Man sudah “menurun” dan mengamuk, ternyata Natalie dibunuh, sebilah keris Jawa yang Natalie sendiri bawa (ala cenderamata) telah dihunus oleh Wan Man ke tubuhnya, mencabut nyawanya. Adegan ini mengingatkan kita akan kisah Hang Jebat mengamuk tiga hari tiga malam dan membunuh orang-orang Melaka. Cuma, yang membezakan Wan Man ialah corak pembunuhannya: dia membunuh orang-orang yang “tidak memahami kemelayuan”. Buktinya, dia tidak membunuh watak Pak Leh, orang putih yang menganggap dirinya Melayu dan telah memahami kemelayuan.
Rumusannya, kesemua filem Era Persendirian ini menunjukkan bahawa proses mengarang bergerak sekali dengan perkembangan naratif. Watak-watak penulis ini juga ada peranannya. Misalnya, ejen kebenaran (Hati Bukan Kristal), ejen essentialist (Perempuan Melayu Terakhir), ejen orientalisme (Amok), dan ejen keteraturan dan kompleksiti penyelamat (Cinta Kita), yang sesuai dengan peranan mereka sebagai pengarang. Hal ini seakan-akan memberikan simbolik bahawa tindakan mengarang seolah-olah mengubah takdir menerusi keupayaan mereka menyahstabilkan status quo. Hal ini termasuklah dalam hal Natalie yang tidak kelihatan menulis tesisnya, tetapi tetap menyahstabilkan status quo!
_________________________
Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen. Kini, beliau berjinak-jinak dengan fotografi jalanan.