Oleh Jack Malik
23 Disember 2024, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik berbicara tentang beberapa puisi blues Pyanhabib.

Melalui blues, bentuk melawan perasaan …

Berhadapan takdir dan nasib, manusia hanya ada dua pilihan: “Bersyukur atas jiwa yang tidak tertawan … (menjadi) nakhoda kepada jiwa (tersebut)”, seperti puisi “Invictus” karya William Ernest Henley, atau “hancur dan lebur … sedihkan”, suatu keadaan diri seperti yang tertera dalam sajak “Keluh Kesah” karya Pungguk.

Sama ada kita “tidak menggelupur mahupun meneriak” sekalipun, atau tetap jua “meratap berbagai bunyi”, takdir dan nasib kekal menjadi sebahagian dalam kehidupan yang telah diwariskan kepada kita melalui ketentuan azali Ilahi. Apatah lagi tiada sesiapa tahu, apakah yang akan berlaku pada hari muka, yang merenung tanpa memihak, tanpa peduli. Inilah suratan semua.

Antara pukulan demi pukulan yang melanda, manusia tidak pernah miskin menukarkan sengsara menjadi pengubat lara. Mereka tetap membikin penawar demi mengembalikan semangat; menggubah derita kepada lagu yang membungakan perasaan; menimba seksa daripada sumur sukma untuk menyirami ladang-ladang diri yang sekadar ingin menumbuhkan pohon kefahaman suatu kejadian yang menimpa kedua-dua tanah nyata dan “tanah” maya yang tersemat di setiap benak dada makhluk-makhluk bernyawa.

Akan tetapi, sengsara dan lara masih ada. Derita juga masih berlagu.

Hidup menjanjikan—bahkan, sebenarnya dijanjikan—penderitaan. Maka, itulah yang difahami oleh mereka yang merasakan sesuatu yang dipanggil oleh orang Amerika Afrika sebagai Blues.

Aku Dilanda Blues

Menurut Kevin Young, penyelenggara antologi puisi Blues Poems (2003), blues merupakan suatu:

… perasaan dan keadaan akal yang sukar diterjemahkan—malah ada yang berkata ia tidak benar-benar wujud—sehinggalah kita menemukan panggilan untuknya. Catharsis, angst, schadenfreude, duende, ennui: semua ini merupakan perasaan yang kita kenali dalam bahasa Inggeris, tetapi masih mengekalkan nyanyian negara dan budaya asal usulnya. Demikian, blues juga boleh sekalikan dalam senarai di atas. Boleh juga dikatakan blues merangkumi semua perasaan yang disebut tadi hanya dalam satu patah perkataan … Melalui blues, bentuk melawan perasaan …. Blues ialah detik-detik pembalikan, menemui cinta yang terlepas daripada genggaman kita, membayangkan diri mati di lembah hiba dan sebaik sahaja kereta api menghampiri landasan, cepat-cepat menarik kepala daripada digilis. Blues memiliki sepucuk pistol tetapi tidak ada pelurunya. Bak kata pepatah, blues tidak lain tidak bukan seorang lelaki atau perempuan sial yang berasa bertuah. Boleh juga diterbalikkan, blues tidak lain tidak bukan, seorang lelaki atau perempuan yang bertuah namun berasa sial.

Seperti yang sering diperkatakan oleh Langston Hughes, blues ialah “ketawa untuk tidak menangis”.

Bagi penulis dan peminat sastera tanah air, “kelewahan” merupakan antara kelemahan yang lazim ditemui dalam sesebuah karya—baik prosa mahupun puisi. Akan tetapi dalam dunia kreatif, tidak ada undang-undang ketat yang menyempitkan sebuah penciptaan. Fahd Razy dalam hantaran Facebooknya menulis tentang “Puisi yang Sempurna”. Beliau mengatakan bahawa barangkali “terdapat kekuatan-kekuatan lain dalam puisi tersebut yang menjadikan lewah itu sesuatu kekuatan pula.”

Bentuk blues yang kelihatan “lewah” oleh pengulangan baris tertentu akan kelihatan seperti kelemahan—jika pembaca tidak mengerti bahawa hal ini merupakan sejenis teknik.

Bentuk blues bertujuan untuk melawan perasaan. Bentuknya sebuah tembok yang menghalang debur ombak daripada memecah benteng rasa. Bentuknya juga sebuah empangan yang dibuka untuk melimpahkan segala kejujuran mencurah keluar.

Beberapa Pilihan Sajak Blues Pyanhabib

Teknik pengulangan bukan sahaja mencipta gema, tetapi juga penekanan dan rentak …

Dalam Balada Pyanhabib, terdapat empat puisinya yang secara langsung ditulis dalam genre blues; “Blues I”, “Blues II”, “Blues III”, dan “Midnight Blues”. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa puisinya yang lain mengikut teknik genre ini, termasuk “Payung”, “Lapar”, “12:14 Waktu Pejabat”, dan “Ruang”.

Puisi “Blues I” (hlm. 63) bermula dengan baris “saat-saat kuhempaskan duka/rindu menggeletar”. Kalimat ini diulang semula pada baris kesepuluh. Selain itu, imej “perempuan” juga menjadi sauh bagi sajak bluesnya. Beberapa perkataan seperti ‘padang’, ‘tubuhmu’ dan ‘bening’ diulang.

Adakah kelewahan ini benar-benar melemahkan puisi beliau?

Teknik pengulangan biasanya dilakukan demi mencapai objektif tertentu. Teknik ini bukan sahaja mencipta gema, tetapi juga penekanan dan rentak. Pengulangan ialah lagu. Bukankah puisi tradisional sudah mengajar kita tentang perkara ini?

Air dalam bertambah dalam,
……………Hujan di hulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
……………Dendam dahulu belum sembuh.

Demikian, selain penekanan pada “dalam bertambah dalam” dan “dendam bertambah dendam/Dendam dahulu …”, alunan lagu terhasil daripada aliterasi huruf ‘d’ daripada ‘dalam’ dan ‘dendam’. Lihat pula puisi “Lapar” (hlm. 72) yang menciptakan kesan yang hampir sama:

……….laparku menari-nari
……….laparku menyanyi-nyanyi
……….tulangku di unggun garam
……….tulangku pesona dendam

Lihat bagaimana asonansi huruf vokal daripada ‘menari’ dan ‘menyanyi’ bukan sahaja memberikan gambaran bahawa penderitaan si penyair seolah-olah saling berganding bahu dalam “berpesta”, mengumumkan keadaannya. Pengulangan ‘lapar’ dan ‘tulang’, sekali dengan rima ‘garam’ dan ‘dendam’ serta suku kata (lapan) yang sekata untuk empat baris ini menciptakan rentak dan lagunya.

Sekarang, lihat pula puisi “Midnight Blues” (hlm. 125). Puisi ini ditulis dalam bentuk prosaik dan mengikuti sebuah naratif di sebuah keramaian. Pengulangan pada perenggan dua dan tiga bermula dengan “ketika itulah …”, manakala pengulangan utama berlaku pada perenggan kedua terakhir. Pyanhabib memberikan “setitis airmata” beliau kepada beberapa subjek: seekor kucing terluka, burung-burung gereja, seorang geisha, seorang gadis yang tersalib, dan akhirnya “di sisi masjid setitis air mata” beliau dititiskan. Pada puisi ini, titisan air mata yang diberikan oleh Pyanhabib bukanlah lewah semata-mata tetapi suatu rakaman detik peribadi dan keperincian yang wajib. Ralph Ellison berkata, “Blues merupakan dorongan untuk mengekalkan butiran dan babak pengalaman ganas dalam perit jaga seseorang … Sebagai bentuk, Blues ialah sorotan sirah kecelakaan peribadi yang diluahkan secara lirik.”

Pengulangan bukan semata-mata lagu, tetapi keperincian. Mengungkapkan sengsara dan lara yang pernah ada. Derita yang dahulu berlagu.

Dalam puisi blues, ternyatalah, lewah bukan lemah. Sebaliknya, bukti bahawa kita memilih untuk bersuara sehinggalah ada yang akan mendengarkan rayuan kita. Biarpun hanya sepi yang mendengarnya. Paling utama, kita sudah bersuara.

Kita Mesti Terus Hidup

Berhadapan takdir dan nasib, kita mesti terus hidup.

Berhadapan takdir dan nasib, Pyanhabib memilih untuk bersuara. “[Hey]/pernahkah engkau … mundar-mandir/di lorong usang hanyir/pernahkah engkau/hey/pernahkah engkau… tersungkur-mundur/di warung-warung gelas anggur/pernahkah engkau… di manakah suara itu/ke manakah menghilang”. Melalui keterbatasan suara itu, Pyanhabib juga menyanyikan bluesnya tentang “sesuatu/… sesuatu yang menggoda/…sesuatu yang menggoda malam ini … tentang mimpi/mimpi”; tentang “senja/adalah duri/mencengkam …/jantung/merentap …/bayang/tersungkur …/gumpalan-gumpalan/ingatan…/kepedihan”. Melalui baladanya dan bluesnya, Pyanhabib menceritakan semua yang ada dalam hidupnya.

Tetapi kini Pyanhabib sudah tiada. Pyanhabib sudah tiada.

Kini, kita cuma ada sajaknya, ingatan tentangnya dan blues masing-masing. Sekarang kita cuma ada blues yang Pyanhabib tinggalkan dan blues yang diwasiatkan oleh takdir dan nasib tersendiri.

Berhadapan takdir dan nasib, kita mesti terus hidup.

Beli Pyanhabib yang Kami Sayangi di sini.

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Kredit Foto: Pyanhabib Rahman
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.