Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zahari Hamzah mengulas persembahan teater Muzikal Uda dan Dara yang dipentaskan di Playhouse Theater, The Campus Ampang bulan November yang lepas dengan mengguna pakai teori make-believe Kendall Walton.

Dara dan Trisha bukan sekadar kekasih, mereka ialah medan perebutan kuasa sosial.

Dalam sejarah penceritaan manusia, sama ada melalui sastera, teater, filem atau televisyen, naratif cinta antara dua darjat sentiasa muncul sebagai konflik teras yang tidak pernah lapuk. Daripada tragedi feudal di desa Melayu sehingga kisah cinta gelap di sempadan Old West Amerika, struktur dramatik ini terus “dikonsumsi” oleh khalayak kerana cerita sebegini menyentuh persoalan paling asas dalam kehidupan sosial: siapa yang berhak mencinta, dan siapa yang berhak menentukan nilai seseorang.

Artikel ini menghubungkan dua teks dari konteks budaya yang berbeza: Muzika Uda dan Dara karya Usman Awang (DBP, 1972) dan The Abandons (Netflix, 2025) bagi memperlihatkan bagaimana cinta lintas darjat bukan sekadar motif romantik, tetapi mekanisme kritik sosial yang kekal relevan dalam masyarakat moden.

Uda dan Dara: Tragedi Feudal dan Cinta Marhaen

Dalam Uda dan Dara, Usman Awang membina konflik cinta yang berakar pada struktur feudal Melayu tradisional. Uda mewakili golongan marhaen petani miskin yang tertindas oleh sistem “padi kunca”, tanpa modal ekonomi atau kuasa sosial. Dara pula berada dalam lingkungan elit desa, dilindungi oleh adat, harta dan struktur patriarki.

Cinta mereka menjadi “tidak sah” bukan kerana kekurangan keikhlasan, tetapi kerana mencabar hierarki sosial yang sudah mapan. Dalam kerangka ini, cinta tidak pernah bersifat peribadi semata-mata. Cinta sentiasa diawasi, dikawal dan akhirnya dihukum oleh sistem. Tragedi Uda bukan tragedi individu, tetapi tragedi kelas dan Dara pula menjadi tapak pergelutan antara kasih sayang dengan kepatuhan kepada struktur sosial.

Apa yang menjadikan Uda dan Dara kekal relevan ialah keberanian Usman Awang memperlihatkan bahawa cinta tidak mampu membebaskan manusia selagi sistem sosial tidak berubah. Naratif ini menolak romantisisme kosong, sebaliknya menegaskan realiti pahit ketidaksamaan.

The Abandons ialah sebuah siri drama aksi Western Amerika ciptaan Kurt Sutter untuk Netflix, berlatarbelakangkan era 1850-an di wilayah Old West yang bergolak oleh perebutan kuasa, keganasan undang-undang rimba dan konflik antara beberapa kumpulan penjenayah serta peneroka yang mula ditayangkan di Netflix pada 4 Disember 2025.

Struktur dramatik yang sama muncul dalam The Abandons, meskipun dalam latar geografi dan budaya yang berbeza. Elias Teller ialah seorang outlaw, lelaki yang hidup di luar undang-undang, tanpa legitimasi sosial atau perlindungan sistemik. Trisha Van Ness pula mewakili dunia yang lebih “beradab”: diterima masyarakat, memiliki status dan berada dalam kerangka moral Old West. Hubungan mereka mencerminkan cinta lintas darjat dalam bentuk moden dan gelap. Elias bukan sahaja miskin atau terpinggir, tetapi dilabel berbahaya dan tidak bermoral oleh masyarakat. Trisha, seperti Dara, terperangkap dalam jangkaan sosial dan patriarki yang menentukan siapa yang layak dicintai.

Dalam kedua-dua naratif, sistem kuasa menjadi antagonis sebenar. Jika dalam Uda dan Dara, sistem feudal dan adat menjadi alat penindasan. Dalam The Abandons, sistem kuasa muncul sebagai undang-undang rimba, keganasan terinstitusi dan logik kelangsungan kapitalistik di wilayah sempadan. Cinta gagal bukan kerana kelemahan emosi, tetapi kerana struktur sosial terlalu kuat untuk ditembusi oleh kehendak individu.

Satu persamaan penting antara kedua-dua teks ialah kedudukan watak perempuan. Dara dan Trisha bukan sekadar kekasih, mereka ialah medan perebutan kuasa sosial. Pilihan mereka untuk mencintai lelaki “tidak layak” menurut norma menjadi tindakan radikal penolakan senyap terhadap sistem patriarki dan kelas.

Namun begitu, agensi mereka tetap terbatas. Dara akhirnya menjadi korban sistem feudal, manakala Trisha sentiasa berada dalam risiko kehilangan status, keselamatan dan identiti. Di sinilah naratif cinta lintas darjat menyingkap realiti pahit: perempuan sering memikul beban terbesar apabila cinta mencabar struktur sosial.

Mengapa Naratif Cinta Antara Dua Darjat Masih Dikonsumsi Hari Ini?

Dalam konteks dunia kontemporari yang sering ditanggapi sebagai lebih demokratik dan terbuka, naratif cinta antara dua darjat tetap mengekalkan daya tarik yang signifikan dalam budaya popular dan seni persembahan. Hal ini berlaku kerana struktur ketidaksamaan sosial tidak pernah benar-benar lenyap, sebaliknya mengalami transformasi bentuk dan mekanisme. Jika dalam masyarakat tradisional perbezaan darjat ditentukan secara jelas melalui sistem feudal atau kelas keturunan, dalam masyarakat moden, hal ini beralih kepada jurang ekonomi, akses pendidikan, pemilikan kuasa politik, legitimasi moral, serta penerimaan sosial yang lebih kompleks dan terselindung.

Johan As’ari sebagai Uda memikul beban simbolik yang signifikan sebagai representasi golongan marhaen yang tertindas.

Kisah seperti Uda dan Dara dan The Abandons terus dikonsumsi oleh khalayak kerana naratif tersebut berfungsi sebagai cermin reflektif terhadap realiti semasa, apabila cinta masih berhadapan dengan tembok kelas yang tidak mudah ditembusi, mobiliti sosial kekal tidak seimbang, dan sistem sosial—sama ada dalam bentuk adat, undang-undang atau norma moral—masih memainkan peranan menentukan siapa yang dianggap layak untuk menikmati kebahagiaan. Dalam kedua-dua konteks budaya ini, hubungan romantik tidak pernah berdiri sebagai pengalaman peribadi semata-mata, tetapi sentiasa terikat dengan penilaian sosial dan struktur kuasa yang lebih besar.

Lebih penting, naratif cinta lintas darjat berfungsi sebagai ruang katarsis dan refleksi kolektif. Melalui pengalaman estetik, sama ada di pentas teater atau skrin televisyen, penonton dibenarkan merasai ketidakadilan, simpati dan kemarahan terhadap sistem sosial tanpa perlu mengalaminya secara langsung. Dengan itu, naratif ini bukan sahaja memenuhi keperluan emosi khalayak, tetapi juga mengaktifkan kesedaran kritikal terhadap ketidaksamaan yang terus membentuk kehidupan manusia moden.

Cinta antara Uda-Dara dengan Elias-Trisha membuktikan bahawa cinta antara dua darjat bukan sekadar tema romantik, tetapi bahasa universal untuk membicarakan ketidaksamaan sosial. Hal ini menjadi alat naratif yang efektif kerana memanusiakan konflik struktur—menjadikan sistem yang abstrak terasa dekat, menyakitkan dan nyata.

Selagi masyarakat beroperasi atas hierarki kuasa dan kelas, selagi itulah naratif cinta lintas darjat akan terus dikonsumsi, dipentaskan dan ditafsir semula.

Dalam konteks ini, The Abandons boleh dibaca sebagai western gelap kepada tragedi sosial yang telah lama dirumuskan oleh Usman Awang: bahawa cinta, walaupun tulus, sering kali menjadi korban pertama dalam dunia yang tidak adil. Di situlah kekuatan naratif ini yang tidak pernah selesai, kerana masyarakat itu sendiri belum selesai dengan persoalan darjat dan kemanusiaan.

Pementasan teater Muzikal Uda dan Dara (2025) yang diarahkan oleh Nik Muhamad Faiszulikwan Mohammad dan Dr. Marlenny Deenerwan perlu dibaca bukan sekadar sebagai adaptasi Karya Agung Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, tetapi sebagai usaha estetik untuk membina semula kepercayaan penonton terhadap tragedi cinta lintas darjat dalam konteks masyarakat kontemporari. Dengan menggunakan teori make-believe Kendall Walton, pementasan ini dapat difahami sebagai satu sistem permainan imaginatif yang menuntut kerjasama aktif antara pentas dengan penonton: muzik, tubuh pelakon, bahasa puitis, kostum, ruang, dan cahaya berfungsi sebagai props (alatan) yang mengarahkan khalayak untuk “percaya” bahawa dunia feudal Melayu dengan segala ketidakadilannya masih mempunyai gema dalam realiti hari ini.

Keberkesanan pementasan ini, tidak terletak semata-mata pada kesetiaan terhadap naratif Usman Awang, tetapi pada sejauh mana konsistensi estetik dan disiplin dramatik mampu mengekalkan ilusi tersebut. Apabila unsur-unsur ini selaras, Uda dan Dara berjaya menghidupkan semula tragedi sosial sebagai pengalaman emosional yang relevan, membolehkan penonton moden merasai semula tekanan struktur kelas yang masih wujud dalam bentuk berbeza. Namun begitu, apabila terdapat ketidaksejajaran dalam representasi sama ada pada tahap lakonan, “nada” atau simbol sosial, make-believe itu akan menjadi rapuh dan kuasa kritik karya turut terjejas.

Amerul Affendi sebagai Utih dengan lakonan yang terkawal, tepat dan berdisiplin tanpa gestur berlebihan atau mimik yang menyimpang daripada tuntutan dramatik.

Muzikal Uda dan Dara (2025) yang dipentaskan oleh Istana Budaya dengan kerjasama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 20-23 November 2025 dapat ditafsirkan bahawa relevansi karya agung tidak dijamin oleh status kanoniknya atau berdasarkan versi yang autoritatif, tetapi bergantung pada keupayaannya untuk diyakini semula melalui bahasa pentas yang konsisten dan meyakinkan. Dalam teater, untuk membuat penonton “percaya” bukan sekadar soal estetika, tetapi satu tindakan politik dan kemanusiaan untuk mengajak khalayak menilai semula dunia yang tidak adil melalui cermin fiksyen yang dibina dengan penuh disiplin. Selagi struktur ketidaksamaan itu masih bernaung dalam masyarakat, selagi itulah Uda dan Dara akan terus menuntut untuk dibaca, dihidupkan dan dipentaskan semula.

Make-Believe di Pentas Melayu: Teori Kendall Walton sebagai Lensa Membaca Muzikal Uda dan Dara (2025)

Analisis berasaskan teori Walton tidak menilai kesetiaan terhadap teks semata-mata, tetapi meneliti sejauh mana keseluruhan sistem pementasan berjaya mengekalkan keutuhan dunia fiksyennya …

Bayangkan anda duduk di dalam gelap sebuah dewan teater. Lampu meredup, dan alunan gong Melayu, perkusi serta serunai mengiringi adegan silat pembukaan. Detik itu mencipta getaran emosi antara harapan dengan nostalgia dalam satu keheningan yang hampir ritualistik. Lampu pentas mula dibuka, dan dunia lama muncul kembali: hamparan sawah, rumah usang, sungai kampung, serta konflik kelas dan kasih sayang yang seakan-akan abadi. Pada saat ini, penonton tidak lagi sekadar melihat, tetapi diundang untuk “mempercayai” bahawa dunia tersebut benar-benar wujud, meskipun hanya buat sementara waktu.

Inilah inti pengalaman pementasan Muzikal Uda dan Dara yang dipentaskan di Playhouse Theatre, The Campus Ampang. Muzikal ini merupakan sebuah usaha menghidupkan semula naskhah agung kesusasteraan Melayu dalam bentuk yang disesuaikan dengan sensibiliti penonton kontemporari. Bagi menilai keberkesanan usaha ini, artikel ini menggunakan satu kerangka estetik yang signifikan, iaitu teori make-believe oleh Kendall Walton sebagai lensa analisis terhadap bagaimana unsur lakonan, muzik, koreografi, dan pengarahan berfungsi atau gagal berfungsi dalam membina dunia fiksyen yang meyakinkan.

Asal Usul dan Signifikan Karya

Kisah Uda dan Dara berakar daripada puisi ikonik Usman Awang, “Gadis di Kuburan” (1956), yang kemudiannya berkembang menjadi cerpen, adaptasi televisyen pada era 1970-an, dan akhirnya menjadi teks drama pentas yang berpengaruh. Naratif ini merakamkan tragedi cinta yang terhalang oleh perbezaan darjat serta ketidakadilan struktur sosial, khususnya sistem ekonomi feudal seperti “padi kunca”, yang menindas golongan marhaen desa.

Walaupun konteks sejarah dan sosial masyarakat Melayu telah berubah, tema ketidaksamaan kelas, eksploitasi ekonomi dan idealisme kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Usman Awang kekal relevan. Oleh itu, produksi Muzikal Uda dan Dara (2025) bukan sekadar projek nostalgia, tetapi satu usaha sedar untuk mengaktifkan kembali warisan sastera Melayu dalam bentuk teater muzikal, sambil mengekalkan bahasa puitis dan agenda sosialnya.

Kerangka Make-Believe Kendall Walton: Definisi dan Aplikasi

Dalam karya seminalnya Mimesis as Make-Believe, Kendall Walton mengemukakan bahawa karya seni representasi berfungsi sebagai props dalam satu permainan imaginatif yang dikongsi antara pencipta dengan penonton. Objek, bunyi, tubuh pelakon, dialog, kostum, dan muzik bukan sekadar elemen estetik, tetapi berperanan sebagai pencetus imaginasi yang mengarahkan penonton untuk “bermain percaya” bahawa dunia fiksyen itu nyata.

Dalam konteks teater, make-believe hanya berfungsi dengan berkesan apabila setiap prop visual, auditif dan kinestetik selaras dengan logik dunia yang dibina. Sebarang ketidakkonsistenan, sama ada pada tahap lakonan, kostum atau simbol sosial, berpotensi untuk meretakkan ilusi tersebut dan menarik penonton keluar daripada pengalaman emosional yang diharapkan. Oleh itu, analisis berasaskan teori Walton tidak menilai kesetiaan terhadap teks semata-mata, tetapi meneliti sejauh mana keseluruhan sistem pementasan berjaya mengekalkan keutuhan dunia fiksyennya.

Pergolakan Make-Believe dalam Lakonan dan Representasi Sosial Uda: Antara Naratif Kemiskinan dengan Kekaburan Estetik

Sebagai watak teras, Uda memikul beban simbolik yang besar sebagai representasi golongan marhaen. Johan As’ari menampilkan usaha yang serius, namun dari sudut pengalaman penonton, make-believe terhadap kemiskinan watak ini tidak sentiasa meyakinkan. Gerak silat yang berhati-hati dan vokal nyanyian yang masih mencari kestabilan telah melemahkan ilusi seorang pemuda desa yang gagah, bersemangat dan menjadi pujaan hati Si Dara.

Lebih signifikan, terdapat kekaburan estetik pada tahap prop visual yang menimbulkan keraguan konseptual. Sebagai penonton, saya berasa terkeliru apabila melihat kostum Uda ketika beliau meninggalkan kampung untuk mencari emas ringgit di kota dengan sehelai kemeja biru firus yang digosok rapi, kemas dan bersih. Dalam kerangka make-believe Walton, kostum ini berfungsi sebagai prop yang membawa makna sosial. Namun, dalam konteks naratif kemiskinan ekstrem yang digambarkan, pilihan kostum ini mencetuskan ketegangan logik: bagaimanakah seorang pemuda miskin, yang digambarkan serba kekurangan bersama-sama ibunya, masih memiliki akses kepada pakaian yang digosok kemas secara implisit yang memerlukan peralatan seperti seterika?

Pertanyaan ini bukan bersifat remeh, tetapi kritikal dalam analisis make-believe. Ketidaksejajaran antara naratif kemiskinan dengan representasi visual telah melemahkan kepercayaan penonton terhadap realiti sosial watak, sekali gus menjejaskan empati terhadap penderitaan Uda dan ibunya.

Konteks naratif kemiskinan esktrem pilihan kostum Uda mencetuskan persoalan logik.

Dara dan Watak Sokongan: Penstabil dan Pengganggu Dunia Make-Believe

Zera Hariz sebagai Dara muncul sebagai paksi emosi yang paling konsisten dalam pementasan Muzikal Uda dan Dara. Kawalan vokal nyanyiannya yang stabil, gestur tubuh yang terukur serta ekspresi dalaman yang meyakinkan membolehkan watak Dara berfungsi sebagai penambat emosi penonton terhadap dunia fiksyen yang dibina. Namun begitu, keupayaan nyanyian Zera Hariz yang jelas berpotensi besar tidak dimanfaatkan secara optimum. Kegagalan ini menjadikan pementasan tersebut kehilangan peluang untuk mencipta momen muzikal yang benar-benar merobek emosi. Hal ini merupakan satu kehilangan yang signifikan bagi sebuah karya yang mengangkat tragedi cinta sebagai teras dramatik.

Watak sokongan seperti Ibu Uda (Farah Ahmad), Alang Bakhil (Jay Iswazir), Azman Hassan (Pak Long), Sara Sulaiman (Mak Long), Zizie Manja (Malim), dan komuniti kampung berfungsi dengan berkesan sebagai penstabil make-believe. Kehadiran mereka menghidupkan penderitaan kolektif masyarakat desa dan mengukuhkan logik sosial dunia feudal yang menindas, sekali gus membolehkan konflik kelas dirasai sebagai pengalaman bersama, bukan sekadar tragedi individu.

Dalam konteks ini, penampilan Amerul Affendi sebagai Utih merupakan antara kekuatan paling menonjol dalam pementasan ini. Setiap aksi dan dialognya ditampilkan dengan lakonan yang cemerlang dengan tiada gestur berlebihan, tiada mimik yang tersasar daripada situasi dramatik. Berbeza daripada Johan As’ari yang sering tergelincir ke arah ekspresi yang tidak seimbang, lakonan Amerul memberi ruang kepada penonton untuk benar-benar percaya terhadap tekanan emosi dan konflik dalaman yang dipikulnya bersama-sama penduduk kampung. Amerul dapat diklasifikasikan sebagai pelakon yang berdisiplin secara estetik, bijak mengawal intensiti, dan mampu melontarkan dialog-dialog yang sarat dengan suara hati dan idealisme kemanusiaan Usman Awang.

Hal ini berbeza daripada Shima Leman yang memperlihatkan kelemahan tafsiran terhadap watak Ibu Dara dengan pendekatan slapstik dan gestur berlebihan. Hal ini mencipta gangguan dramatik yang signifikan terhadap sistem make-believe. Dalam kerangka Kendall Walton, elemen lakonan, dialog dan tubuh pelakon berfungsi sebagai props yang mengarahkan imaginasi penonton tentang “apa yang benar” dalam dunia fiksyen tersebut. Slapstik yang tidak dikawal menjadi bercanggah dengan peraturan dunia yang telah ditetapkan. Kesan langsungnya ialah peralihan “nada” yang mendadak dan tidak organik. Penonton yang sebelum ini telah “percaya” bahawa dunia Uda dan Dara ialah ruang ketidakadilan sosial yang keras dan tidak berperikemanusiaan, tiba-tiba dipaksa menilai semula dunia tersebut sebagai sesuatu yang ringan, ironik atau bahkan lucu. Peralihan ini bukan sahaja memecahkan emosi yang sedang dibina, tetapi turut melemahkan logik sosial konflik: bangsawan yang sepatutnya berfungsi sebagai simbol kuasa dan penindasan bertukar menjadi figura karikatur yang tidak lagi menakutkan atau menekan.

Shima Leman memperlihatkan kelemahan tafsiran terhadap watak Ibu Dara dengan pendekatan slapstik dan gestur berlebihan.

Dalam tragedi sosial, kekerasan struktur dan penghinaan kelas perlu dirasai sebagai sesuatu yang tidak adil dan menyakitkan. Adegan meminang ibu Uda merupakan contoh paling jelas kerosakan “nada” ini. Secara dramaturgi, adegan tersebut seharusnya menjadi kemuncak simbolik pada ketidakadilan feudal. Ruang di mana maruah manusia miskin dipijak secara terbuka oleh struktur kuasa. Namun, apabila adegan ini diselitkan dengan aksi slapstik dan humor fizikal yang berlebihan, tekanan dramatik tersebut runtuh. Penonton tidak lagi diajak untuk merasai penghinaan dan keperitan sosial, tetapi dialihkan kepada reaksi spontan yang cetek, yang memutuskan kesinambungan emosi tragedi yang akhirnya hilang impak apabila dilencongkan kepada humor slapstik yang tidak dikawal dengan kemas oleh pengarah.

Dalam Muzikal Uda dan Dara, “nada” tragedi sosial dibina secara berlapis melalui teks Usman Awang yang sarat kritik kelas, muzik bernada muram dan melankolik, koreografi yang menekankan keterhimpitan tubuh marhaen, serta lakonan watak-watak desa yang mengekalkan keseriusan emosi dan tekanan struktural. Uda dan Dara berpaksi pada cinta lintas kelas dan penindasan sosial. Nadi naratif dan disiplin “nada” ialah syarat utama bagi mengekalkan kepercayaan penonton. Tanpa disiplin tersebut, make-believe runtuh, dan tragedi sosial kehilangan daya gigitannya.

Muzik, Koreografi dan Pengarahan sebagai Sistem Prop

Pementasan ini akhirnya membuktikan bahawa adaptasi teks klasik bukan sekadar soal kesetiaan naratif, tetapi menuntut kepekaan estetik yang mendalam terhadap setiap elemen kecil yang membentuk kepercayaan penonton.

Dalam kerangka teori make-believe Kendall Walton, muzik, koreografi dan pengarahan bukan sekadar elemen sokongan estetik, tetapi berfungsi sebagai props sensori yang mengarahkan imaginasi penonton untuk menerima dunia fiksyen yang dibina di atas pentas. Dalam Muzikal Uda dan Dara, komponen-komponen ini memainkan peranan penting dalam menggantikan dialog sebagai medium utama penghasilan makna, khususnya dalam menzahirkan konflik emosi, ketegangan kelas dan penderitaan kolektif masyarakat desa.

Gubahan muzik oleh Nik Nizam Jaafar berfungsi sebagai struktur emosi yang memandu pengalaman afektif penonton. Melodi dan progresi harmoni bukan sahaja mengiringi naratif, tetapi membentuk keadaan emosi yang membolehkan penonton “merasai” ketidakadilan sosial sebelum dirasionalisasikan secara dramatik. Dalam konteks make-believe, muzik ini bertindak sebagai isyarat normatif yang memberitahu penonton bagaimana mereka seharusnya bertindak balas secara emosi terhadap situasi dramatik yang dipersembahkan. Namun, pada beberapa bahagian, kekuatan muzik ini tidak dimaksimumkan untuk membina klimaks emosi yang berpanjangan, menjadikan sesetengah transisi dramatik terasa tergesa-gesa dan kurang meninggalkan kesan mendalam.

Koreografi oleh Sharifah Raha Syed Mustaffa pula berperanan sebagai bahasa tubuh kolektif yang menterjemahkan struktur sosial ke dalam gerak fizikal. Pola pergerakan berkumpulan, jarak tubuh dan hierarki posisi di atas pentas secara implisit menandakan hubungan kuasa antara kelas, sekali gus memperkukuh logik sosial dunia feudal yang diimaginasikan. Dalam kerangka Walton, koreografi ini menjadi prop visual yang membolehkan penonton “percaya” terhadap ketidaksamarataan darjat tanpa memerlukan penjelasan verbal. Namun begitu, keberkesanan koreografi ini sangat bergantung pada konsistensi “nada” dramatik; apabila gerak tubuh diselitkan dengan gaya yang terlalu dekoratif atau simbolik tanpa justifikasi dramatik yang jelas, ilusi tragedi sosial menjadi kurang tegang.

Watak sokongan dan komuniti kampung berfungsi dengan berkesan sebagai penstabil make-believe. Kehadiran mereka menghidupkan penderitaan kolektif masyarakat desa dan mengukuhkan logik sosial dunia feudal yang menindas,

Pengarahan artistik oleh Irwan Ismadi melengkapkan sistem prop ini melalui reka bentuk ruang, komposisi visual dan estetika pentas yang menyokong logik dunia cerita. Set, kostum dan pencahayaan berfungsi sebagai penanda sosial yang jelas membezakan kelas, ruang kuasa dan ruang marginal. Dalam konteks make-believe, elemen-elemen ini bertindak sebagai bukti visual yang mengesahkan realiti fiksyen yang diminta untuk dipercayai oleh penonton.

Pementasan Muzikal Uda dan Dara pernah dipentaskan oleh Istana Budaya pada tahun 2010, yang kini dipentaskan kembali menerusi peruntukan B11 Ikhtiar 57 – Bahasa dan Karya Kreatif di bawah Program Memartabatkan Bahasa dan Karya Agung Insentif Belanjawan 2025. Muzikal Uda dan Dara kali ini di bawah pengarahan Nik Muhamad Faiszulikwan Mohammad dan Dr. Marlenny Deenerwan, memperlihatkan usaha yang jelas untuk menyepadukan keseluruhan sistem prop ini secara lebih berdisiplin. Kawalan tempo, pengurusan ruang dramatik dan transisi adegan diolah bagi memastikan pengalaman make-believe tidak terputus. Keputusan pengarahan ini menampakkan kesedaran bahawa dalam teater muzikal, keutuhan ilusi dramatik tidak hanya bergantung pada kekuatan individu elemen, tetapi pada keselarasan sistemik antara muzik, gerak, visual dengan lakonan.

Secara keseluruhan, muzik, koreografi dan pengarahan dalam Muzikal Uda dan Dara berfungsi sebagai enjin imaginatif yang menggerakkan kepercayaan penonton terhadap tragedi cinta lintas darjat. Apabila sistem prop ini beroperasi secara harmoni, pementasan berjaya mengekalkan tekanan emosi dan kritik sosial yang relevan. Namun, apabila terdapat ketidakseimbangan atau kelonggaran disiplin estetik, pengalaman make-believe menjadi rapuh sekali gus mengingatkan bahawa dalam tragedi sosial, setiap keputusan artistik juga menjadi keputusan ideologis.

Melalui lensa teori make-believe Kendall Walton, Muzika Uda dan Dara kali ini dapat dibaca sebagai sebuah pementasan yang berjaya dalam banyak aspek, namun turut memperlihatkan kelemahan penting pada tahap konsistensi representasi. Dunia fiksyen kampung, konflik kelas dan emosi kolektif berjaya dihidupkan, tetapi ketidaktepatan terhadap beberapa prop utama, khususnya dalam visualisasi kemiskinan watak Uda telah mencetuskan keretakan ilusi dramatik. Pementasan ini akhirnya membuktikan bahawa adaptasi teks klasik bukan sekadar soal kesetiaan naratif, tetapi menuntut kepekaan estetik yang mendalam terhadap setiap elemen kecil yang membentuk kepercayaan penonton. Dalam teater, untuk membolehkan penonton “percaya”, dunia fiksyen mesti diyakini secara menyeluruh hingga ke butiran yang paling halus.

_________________________

Zahari Hamzah ialah pengkritik dan pemerhati seni persembahan serta seni visual Malaysia yang aktif menulis mengenai pementasan teater dan kegiatan galeri seni. Beliau juga berpengalaman sebagai penulis dan pengarah beberapa produksi muzikal dan dramatari di Dewan Filharmonik PETRONAS, antaranya termasuk Muzikal Pak Pandir, Demang Lebar Daun, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman, dan Puteri Intan Baiduri. Selain itu, beliau pernah terlibat sebagai pelakon dan tenaga produksi dalam teater tradisional makyung dan mek mulung. Beliau merupakan graduan Sarjana Pengajian Seni dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kredit Foto: Zahari Hamzah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi