Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBenedict Samling berbicara tentang perkembangan (dan pertembungan) kefahaman antara keberanaran saintifik dengan kebenaran tradisi melalui sejarah pemikiran Barat.
Dengan kata lain, kebenaran saintifik hanya menjelaskan satu dimensi daripada pelbagai cara manusia mentafsir dan memahami dunia.
Pertentangan antara kebenaran saintifik dengan kebenaran tradisi digambarkan sebagai dua kutub epistemologi yang berlawanan. Hal ini dizahirkan dalam pertembungan pemikiran Eropah dan Barat yang cuba membuktikan bahawa kebenaran lahir daripada persoalan dan perdebatan. Para pemikir dari dua benua itu berpandangan kebenaran bukan entiti tunggal dan mutlak, sebaliknya bersandar pada rasionalisme dan empirisisme, seperti yang dinyatakan oleh René Descartes bahawa kebenaran harus melalui proses keraguan radikal, yakni sesuatu yang dapat dipastikan melalui akal yang jelas serta data yang layak dianggap benar.
Kebenaran menurut pemikiran Barat didasari pada tuntutan objektiviti dan pembuktian empirikal. Dalam kerangka ini, sesuatu dianggap benar hanya apabila dapat dipisahkan daripada pengaruh emosi, kepercayaan atau prasangka individu, lalu disahkan melalui kaedah eksperimen dan bukti yang dapat diuji semula. Pendekatan ini lahir ketika Zaman Pencerahan yang menekankan pemerhatian sistematik, verifikasi dan kebolehulangan sebagai asas bagi kesahihan pengetahuan. Dengan kata lain, Barat meletakkan kebenaran sebagai suatu yang berjirim dan wujud dalam keadaan yang neutral, terukur dan boleh disahkan oleh sesiapa sahaja selagi metodologinya sama.
Pandangan Barat itu kemudian membentuk satu kutub kebenaran yang dikategorikan sebagai kebenaran saintifik. Pandangan itu selari dengan penekanan Descartes terhadap dualisme minda dan jasmani. Menurut Descartes, kebenaran harus memisahkan subjek daripada duniawi. Oleh sebab itu, kebenaran saintifik diinterpretasikan sebagai jirim relatif yang dapat diukur dan bukan melalui pengalaman semata-mata.
Immanuel Kant pula memperkukuhkan idea kebenaran saintifik melalui kritikannya terhadap rasionaliti. Menurut Kant, kebenaran di dunia tidak datang secara langsung daripada pengalaman, tetapi melalui hubungan akal dan budi yang membentuk bagaimana manusia menghadapi realiti. Kant menegaskan bahawa manusia tidak dapat mengetahui “objek pada dirinya”, tetapi melalui fenomena yang dibentuk oleh struktur minda. Dalam konteks ini, sains moden ditafsirkan sebagai usaha untuk menstrukturkan realiti mengikut logik universal yang dapat diuji, diulang dan disahkan dengan data. Namun begitu, kerangka Kant ini juga menunjukkan keterhadan sains, iaitu kebenaran saintifik tidak dapat mengungkapkan makna, simbol atau hubungan spiritual yang membentuk pengalaman tradisi. Dengan kata lain, kebenaran saintifik hanya menjelaskan satu dimensi daripada pelbagai cara manusia mentafsir dan memahami dunia.
Edmund Husserl kemudian mengkritik kehilangan makna dalam kebenaran saintifik melalui teori fenomenologi. Menurutnya, sains telah “mematikan dunia kehidupan”, yakni dunia pengalaman harian yang penuh makna antara jasmani dengan alam. Bagi Husserl, kebenaran harus kembali kepada pengalaman asal, iaitu pengetahuan atau kebenaran yang sah harus berakar daripada pengalaman yang nyata, bukan semata-mata teori, tradisi atau dogma.
Pendapat Husserl telah membuka ruang baharu kepada kebenaran tradisi. Hal ini kerana kebenaran tradisi sering terikat kepada pengalaman langsung, seperti bau tanah lembap sebelum hujan, arah angin yang membawa tanda musim baharu, atau tingkah laku haiwan yang menandakan perubahan cuaca. Jika kebenaran sains memerlukan data, kebenaran tradisi bergantung pada pengalaman hidup. Oleh itu, hal ini bukan kebenaran yang saling bercanggah, tetapi kebenaran yang bermula dari apa yang dihayati sebelum diilmiahkan.
Michel Foucault memberikan dimensi lain tentang kebenaran apabila beliau menyatakan bahawa kebenaran bukan hasil penyelidikan bebas, tetapi terikat dengan struktur kuasa. Dalam pandangannya, institusi sains menghasilkan “rejim kebenaran” yang menentukan apa yang dianggap sah dan apa yang harus diketepikan.
Pengetahuan tradisi dilihat sebagai mitos atau kepercayaan tradisional, hanya kerana hal itu tidak mengikut metodologi saintifik. Foucault melihat hubungan antara kebenaran dengan kuasa sebagai sesuatu yang mendasari sejarah moden. Mereka yang mengawal wacana saintifik juga mengawal cara masyarakat memahami dunia. Dalam konteks kolonialisme, hal ini bermaksud kebenaran tradisi ditundukkan oleh naratif saintifik ala Barat. Pengetahuan masyarakat peribumi tentang tumbuhan ubatan, meramal cuaca melalui kedudukan bintang atau pengurusan alam hanya diiktiraf setelah “diberi legitimasi” oleh institusi sains.
Hans-Georg Gadamer melalui hermeneutikanya menawarkan jalan untuk mempertemukan kedua-dua bentuk kebenaran. Gadamer menolak idea bahawa kebenaran hanya boleh dicapai melalui objektiviti. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kebenaran ialah hasil komunikasi antara manusia sama ada melalui teks, budaya atau pengalaman sejarah. Gadamer menekankan konsep wirkungsgeschichte, iaitu pengaruh sejarah yang menunjukkan bahawa kita sentiasa ditentukan oleh tradisi. Maka, kebenaran tradisi bukan sesuatu yang ketinggalan zaman, tetapi merupakan sumber pengetahuan yang sentiasa hidup dan memberikan inspirasi. Dari perspektif ini, kebenaran saintifik dan tradisi tidak perlu dipertembungkan. Kedua-dua bentuk kebenaran ini saling melengkapi dan memerlukan ruang dialog agar dapat saling menghormati. Melalui dialog hermeneutik, sains dapat memahami rasional di sebalik amalan tradisi, manakala tradisi boleh mengisi jurang horizon sains.
Oleh itu, perbezaan antara kebenaran saintifik dengan kebenaran tradisi bukanlah perbezaan antara “ketepatan” dengan “kejituan”, sebaliknya dua cara manusia menyusun dan menghayati realiti. Kebenaran saintifik memberikan kepastian, ukuran, dan kemampuan meramal. Kebenaran tradisi pula memberikan makna, konteks dan hubungan spiritual dengan alam. Jika Descartes menuntut keraguan, Kant menuntut struktur, Husserl menuntut pengalaman, Foucault menuntut kesedaran kuasa, dan Gadamer menuntut dialog, maka manusia masa kini harus mengakui bahawa dunia terlalu luas untuk diungkapkan oleh satu bentuk kebenaran sahaja.
Di sinilah terletak potensi sebenar dengan membina epistemologi yang tidak meminggirkan mana-mana pandangan, tetapi menghimpunkan kebenaran melalui lensa sains dan tradisi, lalu menjadikan dua kebenaran itu sebagai sepasang mata yang melihat dunia dengan lebih lengkap.
_________________________
Benedict Samling berasal dari Sarawak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Beliau menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.