Diterbitkan pada 11 Disember 2025, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) akan menganjurkan Pameran Piring Puisi Melayu buat julung kali di Muzium Etnografi Melayu, bermula 11 Disember 2025 hingga 31 Januari 2026.

Pameran tersebut menampilkan lebih daripada 80 keping piring yang terdiri daripada piring-piring puisi Melayu antik sebagai tumpuan utama, selain piring Eropah berhias motif alam Melayu.

Menurut kenyataan APM, piring puisi yang turut dikenali sebagai pinggan pantun merupakan warisan seni berusia lebih daripada 100 tahun. Piring puisi dihasilkan sekitar tahun 1850-an hingga 1890-an melalui kerjasama perusahaan tembikar Eropah dan jurutulis tempatan. Bagi menarik minat pembeli di pasaran Alam Melayu, syair dan pantun dipilih sebagai hiasan pada permukaan piring berkenaan.

Pameran ini mengetengahkan koleksi peribadi dua pengkaji sejarah, iaitu Encik Abu Muawiyah dan Encik Khairulanwar Rahmat. Bagi memperkayakan lagi pameran, karya baharu hasil pelajar APM yang menyertai Bengkel Menulis Piring Puisi Melayu turut dipamerkan, menonjolkan kesinambungan tradisi tulisan jawi dan seni kaligrafi dalam kalangan generasi muda.

Sempena pameran ini, APM turut menganjurkan Ceramah dan Bengkel Piring Puisi Melayu pada 11 Disember 2025 (Khamis) dari jam 10.00 pagi hingga 3.30 petang di Dewan Semarak, APM, UM.

Penceramah jemputan, Encik Khairulanwar Rahmat, akan berkongsi pandangan mengenai subjek pameran sebagai pemilik dan pengkaji koleksi antik tersebut. Program kemudian disusuli Bengkel Menulis Piring Puisi Melayu yang dikendalikan YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azlin Hamidon dari Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (KALIMA).

Pameran ini dijangka menarik minat peminat tulisan jawi, puisi, pantun, dan kraf seramik. Orang ramai diundang hadir ke Muzium Etnografi Melayu bagi menyaksikan keindahan seni warisan Melayu yang jarang dipertontonkan.

Pendaftaran untuk ceramah dan bengkel boleh dibuat melalui borang pendaftaran ini. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian telefon 03-79677275.

Kredit Foto: Muzium Etnografi Melayu
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi