Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNimoiz T.Y menceritakan pengalamannya mengenali dan bersahabat dengan Roslan Jomel, penerima SEA Write Award (Malaysia) 2024.
Sebenarnya, bukan senang hendak mendengar Roslan Jomel bercakap di khalayak ramai …
Sekalung tahniah diucapkan kepada Roslan Jomel yang baru sahaja dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award 2024.
Semasa forum perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) di Port Dickson baru-baru ini, saya ada menyebut bahawa tidak mustahil Roslan Jomel akan menerima Anugerah SEA Write yang seterusnya.
Rupa-rupanya, jangkaan saya betul.
Akhirnya, pagi semalam nama beliau diumumkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerima tahun 2024, manakala Hafizah Iszahanid pula dipilih untuk tahun 2025. Difahamkan, DBP menerima 23 pencalonan. Dan sememangnya, kedua-dua pengarang ini layak menerimanya.
Rasanya, inilah kali pertama saya menyaksikan Roslan Jomel sebak dan menitiskan air mata dalam sidang media khas di laman Facebook DBP. Di sebalik karyanya yang kuat, tergambar sifat kelembutan hati. Sudah pasti, siapa yang tidak sebak. Hal ini merupakan antara pengiktirafan tertinggi selepas Anugerah Sastera Negara.
Sebenarnya, bukan senang hendak mendengar Roslan Jomel bercakap di khalayak ramai.
Seperti kata Dr. Hazami Jahari, bukan senang hendak mendengar Roslan Jomel berbicara. Biasanya karya beliaulah yang akan berbicara.
Menerawang jauh ke belakang, saya mengenali Roslan Jomel ketika sama-sama aktif menulis di ESastera suatu ketika dahulu. Ketika itu, zaman Blogspot menguasai dunia penulisan tanah air.
Hampir semua penulis mempunyai blog sendiri.

Ketika di ESastera, Roslan Jomel pernah menerbitkan antologi cerpen tiga penulis ESastera yang berjudul Cerita Gelisah (Esastera Enterprise, 2008) bersama-sama dengan Kalamutiara dan Naimisa.
Dalam pertemuan itu, saya sendiri sudah lupa tahun bila, tapi rasanya lebih 15 tahun yang lepas. Kalau tidak silap, saya terserempak dengan beliau berdekatan Rumah Puspanita, depan sikit dengan DBP.
Jika ditelusuri kembali kenangan lalu, pertemuan pertama saya dan Roslan Jomel berlaku sekitar penghujung tahun 2007 atau 2008 begitu. Selepas itu, beberapa kali kami “terjumpa” lagi di sekitar Kuala Lumpur. Biasanya beliau akan berjalan dengan isteri.
Antaranya, pertemuan di Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman menjadikan detik itu suatu catatan kecil dalam perjalanan dunia kepengarangan masing-masing. Rasanya mungkin tahun 2010, 2011 atau 2012.
Biasanya, Roslan Jomel akan mengenakan fesyen yang hampir sama. Berseluar jean, berbaju petak bundle dan memakai cermin mata berbingkai hitam tebal.
Tidak pasti sama ada beliau rabun jauh atau sekadar gaya warga metropolitan, namun dalam sidang media semalam, nampaknya beliau membuka cermin mata membaca teks. Itu pun beliau berpakaian kasual semasa berucap dengan gaya tersendiri. Mana ada pakai gaya pejabat.
Bercakap tentang susuk tubuh ini, antara peristiwa yang paling mengesankan termasuklah ketika saya membawa Roslan Jomel meronda di Johor Bahru dengan motosikal Yamaha Legenda biru pada tahun 2010. Ketika itu, saya sedang sambung belajar di UTM, Skudai.
Perjalanan meneroka Johor Bahru itu menjadi inspirasi pada sebuah sajak beliau berjudul “Hanya Pasir Memasuki Hati” (Untuk Nimoiz T.Y). Ditulis pada 17 Mac 2010 dan akhirnya tersiar dalam Dewan Sastera yang kemudian dimuatkan pula dalam kumpulan sajak Empigit (DBP, 2022).
Oh ya, Empigit merupakan kumpulan sajak sulung Roslan Jomel yang jarang-jarang diperkatakan orang. Atau mungkin penerbitan buku ini tidak disedari.
Sama sepertimana jarang-jarang orang membicarakan sajak Roslan Jomel kerana kekuatan Roslan Jomel adalah dalam genre cerpen, bukan sajak. Walaupun ada juga sajak beliau mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Namun selain cerpen, kekuatan Roslan Jomel juga adalah dalam esei dan kritikan. Buku terbaharu beliau ialah kumpulan esei Oksigen yang diterbitkan di bawah label Buku PENA-Malaysia MADANI bersama-sama 123 buku lain.
Maka jelaslah, dalam dunia cerpen Malaysia, nama Roslan Jomel muncul sebagai antara cerpenis yang paling konsisten dan berpengaruh. Bukan sebuah dua kumpulan cerpen yang beliau telah terbitkan.
Nama beliau sebaris dengan cerpenis lain yang sengaja saya tidak mahu sebutkan dalam catatan ini.
Walaupun kadangkala digelar penganut realisme magis, karya Roslan sebenarnya lebih daripada itu …
Antara kumpulan cerpen terawal Roslan Jomel ialah Namaku Epal Kuning (DBP, 2010). Tebal buku ini. Hanya orang yang rajin sahaja boleh membaca sampai habis.
Roslan Jomel rajin menulis dalam blog. Dalam blog, Roslan sendiri mengakui kumpulan cerpen ini diterbitkan setelah melalui perjalanan manuskrip yang panjang. Beliau menunggu tiga tahun sehingga akhirnya terbit juga. Tapi pada saya tiga tahun itu tidaklah lama sangat. Bukan senang hendak terbit buku dengan DBP.
Saya ada terbaca, kumpulan cerpen ini pada asalnya diberi tajuk Cerita tentang Penulis Cerita. Barangkali sambungan pada antologi cerpen Cerita Gelisah yang pernah diterbitkan.
Judul asal ini jelas memperlihatkan kecenderungan Roslan Jomel meneliti dunia penulisan dari dalam. Namun barangkali editor DBP merasakan judul ini kurang menarik lalu diganti dengan Nama Saya Epal Kuning dan kemudiannya menjadi judul akhir, iaitu Namaku Epal Kuning.
Ramai peneliti dan pembaca sastera beranggapan bahawa buku ini bukan sekadar kumpulan cerpen, tetapi sebuah eksperimen terhadap identiti, suara dan hubungan antara penulis dengan dunia fiksyen.
Watak dalam kebanyakan kumpulan ini bukan watak dominan biasa sepertimana cerpenis lain. Kadang-kadang, Roslan Jomel masuk ke dalam watak itu.
Siapa yang belum ada buku ini, mungkin boleh mencarinya di pasaran buku langka kalau ada. Tapi rasanya mungkin sukar. Semoga DBP akan menerbitkan semula buku ini di bawah label “Penerima S.E.A. Write Award”.
Selepas Namaku Epal Kuning, Roslan Jomel tidak berdiam diri. Beliau terus menulis dan menulis dengan rajin dan bersungguh-sungguh.
Sehinggalah terhasilnya empat lagi kumpulan cerpen di bawah label Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), iaitu Selamat Datang ke Malaywood (2012), Serangga di Dalam Kepala (2013), Di Dalam Mulutnya Ada Kota (2014), dan Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan (2017).
Begitu kuatnya stamina Roslan Jomel. Terbit, terbit dan terbit lagi. Seolah-olah berlari 100 kilometer tanpa henti.
Setiap cerpen dalam kumpulan-kumpulan ini menampilkan gaya unik Roslan Jomel. Yang ini saya tidak mahu ulas. Pembaca kena cari dan baca sendiri.
Ketika dunia dilanda COVID-19, Roslan Jomel kembali pula dengan kumpulan cerpen Posmen dalam Televisyen (DBP, 2021). Selang dua tahun selepas itu, Roslan Jomel muncul lagi dengan kumpulan cerpen Pujangga Kontemporari (Nusa Centre, 2023).
Nah.
Daripada deretan kumpulan cerpen ini, Selamat Datang ke Malaywood dan Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan menerima pengiktirafan tertinggi melalui Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 2012 dan 2017/2018.
Kumpulan cerpen Serangga di Dalam Kepala pula pernah menang sagu hati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH.
Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan biasa, tetapi menandakan bahawa Roslan berjaya menemui jalur unik dalam cerpen kontemporari yang jarang-jarang disentuh oleh pengarang lain.
Beberapa karya beliau juga menang hadiah sastera peringkat negeri Sarawak.
Jelas, walaupun kadangkala digelar penganut realisme magis, karya Roslan sebenarnya lebih daripada itu.
Dalam kebanyakan cerpen, ada sesuatu yang gelisah dalam gaya penulisan Roslan Jomel.
Roslan Jomel bukan sekadar seorang pencerita yang gemar menyelongkar ruang-ruang kecil kehidupan. Malah, berani meneroka sudut yang jarang-jarang diperhatikan lantas mengolahnya menjadi dunia naratif yang berlapis-lapis.
Pada saya, inilah kelebihan utama Roslan Jomel. Sesuatu yang kecil akan menjadi besar. Berbanding orang lain yang menulis sesuatu yang besar, tetapi kadangkala penerokaannya kecil.
Dalam kebanyakan cerpen, ada sesuatu yang gelisah dalam gaya penulisan Roslan Jomel. Seolah-olah sentiasa mengejar pertanyaan yang tidak pernah selesai. Malah, ada juga cerpen yang tergantung dan memerlukan taakulan pembaca sendiri. Ketelitian memilih bahan cerita digabungkan dengan keupayaan bercerita yang hampir organik, menjadikan cerpen-cerpennya sukar untuk dilupakan.
Benarlah seperti kata Zainal Rashid Ahmad dalam Astro Awani, “Kalau anda penggila cerita pendek, Roslan Jomel adalah ‘raja baru’ dalam cerpen kontemporari Malaysia”.
Roslan Jomel bukan sekadar penulis yang mencipta plot dan watak pelik. Beliau seorang pemerhati kehidupan yang serius. Dengan pengalaman, ketekalan dan bakat yang diberi, saya percaya Roslan akan terus bergerak ke hadapan.
Tidak mustahil suatu hari nanti, Roslan Jomel akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pula. Tapi tunggulah beliau ke Bangkok dahulu terima watikah.
Sekali lagi, tahniah Roslan Jomel. Yang penting teruslah menulis dan jangan berhenti. Semoga dengan penulisan panjang ini, Roslan Jomel akan belanja saya Nasi Kandar Hameediyah, Bukit Bintang.
_________________________
Nimoiz T.Y atau Nik Mohd Iznan bin Tuan Yaakub bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh sejak tahun 2012. Dalam bidang penulisan kreatif, beliau telah menghasilkan lebih seribu penulisan yang tersiar dan diterbitkan dalam pelbagai akhbar, majalah, buku, serta media digital. Antara genre yang diceburi termasuklah penulisan esei, berita, biografi, puisi, cerpen, dan pantun. Beliau turut menghasilkan kumpulan puisi Sang Pelakon dan Masuk ke Dalam Hutan.