Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tulisan ini diubah suai daripada teks ucapan penghargaan Roslan Jomel sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2024 pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Disember 2025.

Seperti yang pernah diingatkan oleh T. Alias Taib, hadiah-hadiah yang diterima bukan menunjukkan keberhasilan seseorang pengarang. Tiada sebab seseorang pengarang merasa bahawa dirinya besar, hebat dan minta disanjung.

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat pagi kepada semua yang hadir di Anjung DBP, pada sidang media pada hari ini, 1 Disember 2025, bersamaan 10 Jamadilakhir 1447 Hijrah, bersempena pengumuman SEA Write Award.

Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Ahli Jawatankuasa Panel Penilai SEA Write Award Malaysia tahun 2024 yang mengangkat kerja-kerja penulisan saya untuk dipilih sebagai penerima. Kepercayaan dan kredibiliti barisan panel untuk anugerah ini, insya-Allah akan dibalas dengan sentiasa mengutamakan kualiti pada setiap kerja penulisan. Anugerah ini sungguh besar maknanya buat melestarikan hayat kesusasteraan negara-negara di rantau Asia Tenggara. Barat dengan kerenah Baratnya, Asia dengan budaya Asianya. Tiada yang dimalukan, bahawa kerja penulisan kita di rantau ini juga sama tinggi sofistikatednya dengan penulisan di sempadan sana.

Dalam ranah kesusasteraan di pelbagai penjuru dunia, tiada istilah karya lama dan baharu. Karya yang baik akan tetap dibaca dan dikaji kerana keberkesanan penulisan dan wacana yang dijadikan teras sesebuah karya. Bagai permata yang terbenam di balik lumpur, tetap berharga kerana kepiawaian nilainya. Sebagai penulis kecil, saya berhutang kebijaksanaan barisan sasterawan besar tanah air yang komited menghasilkan karya-karya berkualiti. Misalnya, Hujan Pagi, Sajak-sajak Pendatang, Melati Sarawak, Naratif Ogonshoto dan lain-lain karya yang dinukilkan oleh para pengarang tempatan telah memberikan idea dan inspirasi buat golongan pengarang.

Dalam kata yang lain, karya-karya ini dijadikan rujukan oleh penulis generasi terkemudian dalam proses pengkaryaan. Dan sebagai pengarang, secara tidak langsung, dicabar untuk meneruskan kecemerlangan, atau kalau lebih baik, menulis dengan lebih bagus demi memartabatkan citra kesusasteraan negara. Setiap zaman, sudah tentu terdapat beberapa perubahan, gaya ekspresi, teknik penulisan dan idionsikrasi para pengarang. Apa yang sebelumnya disampaikan dengan gaya kabur, abstrak dan terselindung di sebalik metafora, dilanggar dengan suatu pengucapan yang lebih terus. Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Azman Hussin lewat cerpen-cerpennya dalam Dongeng Pascamerdeka yang menyelongkar psyche warga marhaen yang terhimpit mental dan fizikal di tengah-tengah ilusi bandar raya. Tiada tema-tema besar dan muluk, hanyalah tentang situasi nyata yang kelam dan menggelisahkan jiwa berhubungan dengan permasalahan orang-orang di pinggiran kemodenan.

Di Sarawak, misalnya, kerja penulisan Awangku Merali Pangiran Mohamed telah meninggalkan impak yang sungguh penting dalam menaikkan standard penulisan. Beliau telah menstrukturkan semula naratif dengan pengucapan konkrit seiring dengan kedalamannya menyoroti tema-tema bersifat semasa. Bakat luar biasa itu tidak sepatutnya dilupakan oleh generasi baharu. Sebagaimana diperingatkan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh tentang perlunya kita pelajari daripada masa sudah, kerana dengan mengetepikannya, kita juga menyingkirkan kejayaan beribu tahun oleh beratus generasi. Selain Awangku Merali, Sarawak juga memiliki barisan penulis seperti Abizai, Abang Median Abang Said, Jaya Ramba, Abang Patdeli Abang Muhi, dan beberapa orang pengarang generasi baharu yang sudah pun bersedia untuk melangkah lebih jauh ke depan, memajukan kualiti penulisan masing-masing.

Juga sebagai penulis yang tidaklah seberapa ini, ada ramai pengarang di luar sana, sama ada generasi baharu dan berpengalaman, telah mencipta satu jalur penulisan yang lebih luwes dan mencabar. Apabila merenung kembali tahap penulisan sendiri, masih terlalu banyak kelemahan dan kelompangan yang ketara. Seperti yang pernah diingatkan oleh T. Alias Taib, hadiah-hadiah yang diterima bukan menunjukkan keberhasilan seseorang pengarang. Tiada sebab seseorang pengarang merasa bahawa dirinya besar, hebat dan minta disanjung. Kerja penulisan saya, dulu dan sekarang, masih di tahap sederhana, belajar daripada karyawan besar yang terbukti keunggulannya, untuk saya mengasah mata pena agar lebih runcing untuk bercerita dari sudut yang lebih mikro, memindahkan persoalan-persoalan dalaman dari ruang bilik kecil tentang dunia nyata yang didiami.

Sebagai penutup, sekali lagi saya, Roslan Jomel, mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur, DBP serta Ahli Jawatankuasa Panel Penilai SEA Write Award atas pemilihan ini yang sesungguhnya tidak pernah dijangka sama sekali. Hal ini menjadi sebuah amanah kesusasteraan dan bukan untuk kebanggaan peribadi.

Disudahi dengan Syukur Alhamdulillah. Terima kasih.

_________________________

Roslan Jomel berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2024.

Kredit Foto: Mohd Hanafi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi