Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa (HPN) Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam menghujahkan HPN sebagai genre novel dan sebagai fiksyen Melayu pertama berbentuk novela realistik.
Fiksyen ialah karya yang bersifat imaginatif yang biasanya dalam bentuk prosa seperti novela, novel dan cerpen. Karya fiksyen tidak merangkumi karya puisi dan drama walaupun kedua-duanya bersifat cereka dan imaginasi.
Sasterawan Negeri Sarawak YBrs. Dr. Abang Petdeli Abang Muhi dengan tajuk “Hikayat Penglima Nikosa: Persoalan Genra dan Struktur” mengklasifikasikan Hikayat Panglima Nikosa (HPN) sebagai karya sastera berbentuk novel, malah sebagai novela atau novel pendek Melayu pertama di dunia.
Dr. Abang Petdeli juga membicarakan struktur HPN dengan memanfaatkan pendekatan strukturalisme memandangkan struktur itu cukup penting dalam penghasilan sesebuah karya sastera berbentuk novel.

“Sebagai subgenre novel, HPN ialah novela atau novel pendek yang mengetengahkan watak dan perwatakan, plot, latar, peristiwa, dan sudut pandangan secara tersusun, untuk memaparkan pertikaian, ketegangan dan konflik yang dileraikan pada akhir cerita,” ujarnya.
Dr. Abang Petdeli berkata, HPN sebagai sebuah karya sastera atau teks sastera yang tergolong sebagai cereka yang sarat dengan unsur atau nuansa realisme.
Unsur realisme yang terdapat dalam novela itu merangkumi pemilihan latar yang menggambarkan dunia nyata secara tepat oleh pengarangnya, watak yang kompleks dan tipikal, plot dan alur cerita yang menceritakan peristiwa sehari-hari yang realistik dan tidak berlebih-lebihan.
“Tambahan pula pada sekitar tahun 1870-an, genre novel dan subgenre novela atau novel pendek belum lagi tumbuh, dan mungkin sahaja tidak dikenali oleh masyarakat pada zaman itu yang rata-ratanya masih lagi buta huruf.
“Justeru, novela HPN harus ditanggapi sesuai dengan zaman kelahirannya, sekali gus menjadi teks sastera moden yang sangat signifikan dalam sejarah dan perkembangan Melayu yang general novel, khususnya novela pertama di negara ini,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Encik Mohd Shazani Masri dalam pemalakalah beliau, “Hikayat Panglima Nikosa dan Ilmu Politik Sakral” berkata, HPN bukan sekadar novel Melayu terawal di Sarawak, tetapi teks yang memelihara aspirasi sosiopolitik Melayu Sarawak untuk membina masyarakat yang aman, adil dan berasaskan ilmu di bawah pandangan alam tauhid dalam era kolonial yang sedang berubah.

“Sarawak sering diletakkan di pinggir sejarah intelektual dunia Melayu walaupun memiliki tradisi cetak dan wacana yang kaya pada zaman Brooke.
“HPN ialah satu daripada teks terawal yang lahir dalam ekosistem percetakan dan pentadbiran kolonial di Kuching yang bergerak antara dunia pentadbiran dengan dunia penulisan,” katanya.
Oleh hal yang demikian, jelas beliau, pemakalah mengesahkan apabila hikayat ternyata memuatkan aspirasi keselamatan keadilan dan masyarakat berilmu yang terikat dengan pandangan alam tauhid di tengah-tengah dunia kolonial.
Gabungan sejarah yang terjalin dan epistemologi tauhid membolehkan HPN dibaca sebagai ilmu politik sakral yang menyumbang pada wacana dekolonisasi ilmu dan keadilan epistemologi.
Menurut YBrs. Dr. Sharifah Sophia Wan Ahmad dari UNIMAS dengan tajuk “Membuka Negeri di dalam Hikayat Panglima Nikosa” pula menjelaskan HPN menceritakan kisah pembukaan kampung Jalanan Baharu yang disebut sebagai kampung.
Kampung tersebut dibuka setelah Nikosa dilantik menjadi Panglima Besar semasa berusia 30 tahun.

“Tujuan membuka kampung baharu boleh ditafsiri melalui amanat Nikosa, ‘janganlah pula senang itu lupa masing-masing akan pekerjaan diri kamu sebab tiada bekerja tiada akal yang cerdik dan lurus’.
“Nikosa memanggil kaum keluarga dan anak buahnya bagi mengajak mereka untuk berpindah dan membuka kampung baharu, ‘membuat rumah-rumah tetap serta kayu-kayu teras supaya orang senang berjalan dan berkebun dekat rumahnya’.
“Setelah mendapat persetujuan mereka, maka Nikosa dan rakyatnya membuka hutan bagi membina perkampungan. Lama kelamaan ia menjadi makmur, dengan bertambah penduduk dan menjadi tarikan pedagang dari luar,” ujarnya.
Oleh itu, jelas beliau HPN dilihat dari sisi penyataan budaya politik dan konsep negeri. Novel ini rasional dari segi penceritaan, namun sarat dengan nilai sosial konservatif.
Konsep negeri melambangkan masyarakat yang bergantung dengan sumber alam sehingga rupa bentuk sosial yang menyerupai masyarakat pertanian, iaitu organisasi sosial yang berbentuk kekerabatan, sistem kepimpinan berdasarkan karisma dan etos agraria seperti harmonis, seimbang dan kesederhanaan.
Persidangan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman; dan Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said.
Hikayat Panglima Nikosa boleh dibeli di sini.