Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNurimas SN menulis sebuah novel kanak-kanak, dan rupa-rupanya hal itu bukanlah semudah yang disangka. Ikuti pengalamannya menghadapi perih dan nikmat menulis sebuah novel kanak-kanak.
Apabila menyedari sambutan dan kualiti karya dewasa dan remaja saya didapati belum setanding atau berjaya menyaingi karya-karya besar sedia ada, maka rasa ingin menulis novel kanak-kanak pun berputik …
Mulanya, saya juga mempunyai pandangan yang agak sinikal tentang tajuk ini. Andaian bahawa menulis novel kanak-kanak adalah kurang “class” atau berada pada tahap bawah daripada genre lain, menjadi pegangan. Sebab itu, novel pertama dan kedua saya merupakan novel remaja, Bidadari Mimpi dan separa dewasa, Jurai-jurai Cinta, kedua-duanya terbitan Berita Publishing sekitar akhir tahun 1990-an dahulu.
Namun begitu, apabila menyedari sambutan dan kualiti karya dewasa dan remaja saya didapati belum setanding atau berjaya menyaingi karya-karya besar yang juga daripada pena penulis besar ketika itu seperti S.M Zakir, Husna Nazri dan Azmah Nordin, apatah lagi Sasterawan Negara (SN) sedia ada, maka rasa ingin menulis novel kanak-kanak pun berputik. Ternyata, andaian bahawa menulis genre ini lebih mudah, tahap rendah dan seumpamanya, meleset sama sekali!
Pada peringkat awal penulisan abstrak atau rangka sahaja sudah menimbulkan banyak masalah. Macam mana mahu memuncakkan minat kanak-kanak terus membaca, hidup ke dalam watak kanak-kanak ini, di mana klimaks ceritanya, malah macam-macam soal yang muncul, mengganggu kelancaran perjalanan awal perancangan penulisan. Paling sukar, mahu menurunkan ufuk pemikiran dewasa kepada kanak-kanak.
Sangkaan jangka masa yang lebih singkat untuk menyelesaikan karya ini juga salah. Liku-liku serta rencah perjalanan penulisan buku cerita atau novel kanak-kanak itu akan saya kongsikan dalam tulisan ini untuk kita adili bersama; adakah novel kanak-kanak ini harus diletakkan sama taraf atau lebih rendah tahapnya daripada genre yang lebih dewasa. Kerana apa? Kerana selalu nilai hadiah untuk kategori ini dalam mana-mana sayembara, jumlahnya lebih kecil. Adilkah?
Mari kita mulakan diskusi dengan memperkenalkan buku yang akan saya bincangkan dan bagaimana pengalaman menulis novel ini boleh dijadikan kayu ukur nilai dan kualiti karya kanak-kanak.
Novel kanak-kanak Sahabat Sejati.com (yang sepatutnya Sahabatsejati.com) ditulis pada masa kemuncak kedatangan gejolak internet dan dunia digital mula melanda negara, iaitu sekitar tahun 2016 – 2017. Namun begitu, masa selama kira-kira tiga tahun untuk diterbitkan menjadikannya agak terlewat berada pada jeda masa puncaknya. Jom, saya kenalkan dahulu buku ini.
| Judul | : Sahabat Sejati.com |
| Karya | : Nurimas SN |
| Tahun Ditulis | : 2017 |
| Tahun Terbitan | : 2022 |
| Terbitan | : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) |
| Bil. Halaman | : 137 |
| Genre | : Novel kanak-kanak |
| Anugerah | : Hadiah Utama Novel Kanak-kanak dan Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) VI 2023 |
Sahabat Sejati.com mengambil iktibar dan inspirasi daripada tragedi kemalangan sebuah keluarga yang pernah tular sekitar tahun 2015 di Kemaman, Terengganu. Kemalangan yang melibatkan kematian kedua-dua ayah dan ibu lalu meninggalkan anak-anak yatim piatu. Novel ini mengisahkan seorang murid bermula tahun tiga bernama Icha yang kehilangan tempat bergantung dan terpaksa tinggal bersama-sama neneknya. Icha yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dalam kemalangan tersebut terpaksa mengikut keluarga neneknya berpindah ke Kelantan.
Di sana, walaupun kehidupan bersama-sama nenek dan datuknya terurus secara fizikal, namun tidak emosinya. Ingatan kepada ibu bapa, tempat kelahiran dan rakan-rakan sekolah sering menghantuinya. Sehubungan itu, urusan harta pusaka dan perniagaan gemulah ayah dan ibunya menyebabkan nenek dan datuknya sering ke Kemaman. Akhirnya, mereka mengambil keputusan berpindah pula ke Kemaman.
Icha kembali ceria dan dapat meneruskan balik perhubungan dengan rakan baiknya, Nurin dan Ricky. Icha menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang bersama-sama dua rakannya itu. Mereka menjadi pasukan yang sangat rapat, setia dan kekal bersahabat hingga tahun enam dan remaja. Sikap persahabatan yang tulen itulah yang melahirkan laman sesawang Sahabatsejati.com, menjadi medan hubungan mereka hingga akhir kisah.
Betapa pun ada masalah, cabaran dan pelbagai rencah kehidupan, mereka hadapi bersama berkat toleransi, kerjasama, saling memahami, dan selalu ingat akan ukhuwah sebagai tonggak persahabatan. Pertautan yang kuat ini menjadi ibrah, walaupun berlainan bangsa dan agama, namun persahabatan yang sejati dapat dibina.
Untuk mengetahui lebih lanjut, bolelah dapatkan buku ini di mana-mana stokis DBP atau kedai-kedai buku ternama.
Proses Pengkaryaan
Saya memanfaatkan kaedah RIKE dalam menulis cerpen iaitu; R-realiti, I-imaginasi, K-kreativiti, dan E-estetika …
Menelusuri sinopsis dan gambaran plot novel ini, kelihatan seakan tidaklah berat dan sukar mana pun untuk menukilkannya. Namun begitu, mari saya kongsikan bagaimana proses dan pengalaman menlunasi pembikinannya.
Seperti pendahuluan pada awal tulisan ini, saya beranggapan tidak begitu sukar untuk menggarap sebuah novel kanak-kanak. Sementelah lagi, saya mempunyai latar belakang sebagai guru sekolah rendah yang memang menjadi “mainan rutin” di sekolah. Saya juga telah menghasilkan dua buah novel sebelum ini. Namun begitu, apabila membaca dan melihat-lihat bahan bacaan sedia ada, nyata agak “klise” (dalam loghat Terengganu disebut sebagai “ketulaan”) isu atau cerita yang dipaparkan. Lalu saya mengambil sedikit masa untuk membuat kajian minat dan jenis cerita apa yang mahu ditulis.
Sekira-kira dua tiga bulan juga saya membuat pemerhatian dan kembali ke alam guru sekolah. Subjek paling mudah kita temui ialah anak atau cucu-cucu yang sekarang bersekolah rendah. Lihat kurikulumnya, aktiviti dan kandungan silibus yang semakin rencam. Rakan guru dan staf di sekolah juga saya jadikan bahan rujukan. Nyata banyak perubahan daripada pelbagai sisi. Hal ini bermakna, saya telah ambil sedikit masa untuk memulakan kerja penulisan.
Memang pada usia sedemikian, kanak-kanak harus diberi pengisian nilai murni, sikap positif, jati diri, dan penyerapan ilmu yang sesuai dengan usia. Kebetulan terbaca berita kemalangan ngeri yang melibatkan kematian kedua-dua ibu bapa kepada anak-anak seramai lima orang. Lalu, hal ini mencetuskan idea dan imaginasi apakah akan jadi dengan anak-anaknya? Lantas, terus menjadi inspirasi untuk menulis.
Saya memanfaatkan kaedah RIKE dalam menulis cerpen iaitu; R-realiti, I-imaginasi, K-kreativiti, dan E-estetika. Justeru, semua saya adun sebagai bahan atau idea untuk menulis. Pokoknya, semua kisah dan karya sastera harus logik dan ada realitinya, namun harus ditambah nilai dengan aspek lain, iaitu imaginatif, kreatif dan ada estetikanya. Itu pegangan saya.
Apabila dapat sahaja idea utama/inspirasi untuk menulis, langkah seterusnya adalah untuk membuat perancangan. Banyak juga kaedah yang saya gunakan, antaranya termasuk memulakan dengan pembahagian tajuk bab untuk melihat aliran plotnya. Juga mencatat rangka dalam bentuk peta minda dan sinopsis cerita. Namun saya memilih untuk membuat Perancangan Plot (PP), kerana kelihatan lebih kemas dan mudah lentur.

Proses ini juga bukan mudah dan muktamad. Dengan perancangan plot, kita boleh menambah atau mengubah suai perjalanan cerita untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau idea yang muncul secara tiba-tiba, pada bila-bila masa. Oleh sebab PP yang dibentuk mempunyai ruang khas, maka mudah untuk kita melakukan inovasi. Pada saya, peringkat ini amat penting kerana di samping kita dapat melihat alur cerita sama ada menarik atau tidak, kita juga boleh melakukan nilai tambah dari semasa ke semasa.
Saya memerlukan beberapa jeda waktu yang agak panjang untuk menyediakan PP yang baik. Malah, selepas kita menulis atau menghuraikan catatan dalam PP ini pun masih lagi ada perubahan yang dilakukan dengan mudah. Walau bagaimanapun, kerja-kerja awal menulis untuk bab pertama atau yang awal misalnya telah boleh kita mulakan untuk menjimatkan masa. Seeloknya, sediakan juga jadual masa kerja dari mula kita membuat persiapan pramenulis hingga dijangka tamat proses pemurnian bahan.
Setelah berpuas hati dengan PP yang disediakan, barulah saya memulakan menulis untuk bab pertama dan yang awal dalam bentuk TAS, iaitu Tulis Apa Sahaja. Inilah fasa kita menulis cakar ayam – tanpa menggunakan struktur ayat atau tatabahasa yang betul. Tujuannya supaya idea penting tidak lari daripada PP asal. Walau bagaimanapun, perubahan dan tambah baik boleh sahaja berlaku pada bab-bab PP yang akan datang. Ada ketikanya idea baharu atau dapatan baharu muncul di mana-mana dan bila-bila masa. Tidak ada masalah kerana PP kita bersifat mudah ubah. Semua perubahan tersebut dicatat dalam PP induk.
Penulisan manuskrip juga berlaku secara berkala. Ada masanya saya kehilangan atau tersangkut (stuck) pada mana-mana bahagian. Justeru, proses menulis Sahabat Sejati.com menjadi agak terganggu kerana kelewatan tersebut. Pemilihan waktu perdana untuk menulis juga penting. Namun bagi saya ada dua tiga pertimbangan untuk masa menulis:
Dari segi masa menulis manuskrip awal ini, memang agak lama juga kerana gangguan tugas hakiki (sebagai kaunselor ketika itu) dan juga halangan lain. Namun begitu, proses penulisan “draf 1 manuskrip” dapat juga saya siapkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan. “Draf 1” ini hanyalah cerita kasar yang belum ditambah atau dimasukkan unsur estetika, gaya bahasa dan aksesori lain.
Saya melakukan kerja suntingan dan semakan menggunakan senarai semak yang saya namakan Analisis Item (AI). Secara kronologi, setelah siap “Draf 1”, saya akan lakukan kerja mengedit secara pembacaan berfokus menggunakan kaedah 3R, iaitu Read, Review dan Rewrite. Semakan kesilapan elemen utama sesebuah novel seperti tema, watak, plot, latar, teknik, dan sudut pandang menjadi fokus utama. Hal ini lebih terarah pada konsep R, I dan K – Realiti, Imaginasi dan Kreativiti.
Sepanjang suntingan, senarai semak AI saya gunakan di mana setiap kesalahan atau kekurangan saya catat untuk tindakan lanjut. Hal ini akan menjamin kekurangan dan nilai tambah yang dilakukan pada draf kedua nanti. Usai proses suntingan draf pertama, saya akan rewrite draf yang telah diedit itu menjadi “Draf 2”. Bagi “Draf 2” dan seterusnya, penekanan pada aspek intrinsik novel seperti nilai, pengajaran, pemikiran, dan unsur tatabahasa diteliti.
Begitulah proses seterusnya hingga beberapa draf sebelum proses pemurnian. Pada fasa akhir draf dan pemurnian, fokus saya adalah kepada elemen E, iaitu estetika; dalam hal tambahan dari segi majaz, gaya bahasa yang lebih konotatif dan gramatis serta aksesori lain untuk mencantikkan karya, dan bebas kesalahan tatabahasa. Fasa pemurnian ini amat penting kerana inilah tahap akhir sebelum manuskrip dihantar kepada mana-mana rumah penerbitan. Selepas semuanya sempurna, pada tahun 2018, manuskrip ini tuntas sapenuhnya dan saya menghubungi editor DBP untuk penghantaran.
Novel Sahabat Sejati.com boleh dibeli di sini.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Nurimas SN ialah nama pena Samiron Rahmat. Beliau turut menggunakan nama pena Lara Pesona dan S Amir On. Kelahiran Pontian, Johor. Genre penulisan merangkumi novel, cerpen, puisi, skrip drama, dan rencana. Nurimas telah menghasilkan lima buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, tiga buah kumpulan puisi dan kumpulan drama radio. Nurimas merupakan penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015/2016, HSKU 2017/2018, Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) 2015/2016, 2017/2018, 2019/2020, dan 2021/2022, serta Anugerah Sastera Johor 2021/2022.Beliau salah seorang penerima hadiah Sayembara Menulis Puisi Islami 2024 anjuran GAPENA. Terkini, Nurimas memenangi Hadiah Utama (Cerpen) Hadiah Sastera Selangor 2023.