Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Diskusi Manuskrip Melayu DBP Siri 2/2025 bertajuk “Siri Warisan Sastera Klasik: Syair Duka Nestapa” mengupas karya klasik Syair Duka Nestapa, sebuah naskhah sarat emosi dan nilai kemanusiaan yang mencerminkan keindahan bahasa serta ketajaman pemikiran penulis Melayu silam.
Menurut Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs, Dr. Hamzah Alezender, Syair Duka Nestapa bukan sekadar karya yang meluahkan penderitaan, tetapi juga menggambarkan kekuatan rohani dan kehalusan jiwa Melayu dalam menghadapi ujian hidup.
“Karya ini membuktikan bahawa sastera Melayu bukan sahaja indah dari segi bahasa, malah sarat dengan falsafah dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam siaran langsung melalui media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi semalam.
Syair Duka Nestapa merupakan karangan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22, yang ditulis sekitar tahun 1821 sewaktu baginda dalam buangan di Melaka selepas serangan Siam ke atas Kedah.
Syair ini mengandungi lebih daripada 450 rangkap yang mengungkap pengalaman peribadi baginda, iaitu kesedihan kehilangan takhta, kerinduan terhadap negeri asal, serta ketabahan menghadapi penderitaan dalam pengasingan.
Gaya bahasanya yang penuh simbol dan perasaan menjadikan karya ini bukan sahaja catatan sejarah, tetapi juga lambang kekuatan jiwa dan daya fikir bangsawan Melayu.
Naskhah setebal 61 halaman ini telah diterbitkan semula oleh DBP pada tahun 2021 di bawah Siri Warisan Sastera Klasik, hasil transliterasi dan pengenalan oleh Wan Roshazli Wan Razali.
Penerbitan semula karya ini bertujuan memperkenalkan teks klasik Melayu kepada khalayak pembaca masa kini, di samping memelihara nilai estetika dan keaslian bahasa asalnya.
Pembaca yang berminat untuk mengikuti diskusi penuh boleh tonton rakamannya melalui pautan ini.