Diterbitkan pada 4 November 2025, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berkongsi pengamatan tentang memasyarakatkan sastera di desa jauh terpencil, di daerah perkebunan getah.

Hidup ini bukanlah hanya untuk menoreh getah sahaja …

Saya turut menemui Jamly Bahruldin, yang mesra dengan nama pendek “Jay”, juga pada saya merupakan pertemuan kembali. Berasal dari Kelantan, beliau pulang cuti. Beliau akrab dengan Pak Kassim dan sudah beberapa tahun mengajar di Perlis.

Baru beberapa bulan lepas, kami bertemu di sana, ketika PERADABAN memenuhi program dengan Persatuan Penulis Perlis (3P). Beliau hadir, walau bukan ahli 3P, ketika Dato’ A. Aziz Deraman menyampaikan syarahan dan saya berceramah di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Dendangan puisi oleh AnBakri (kiri), ditemani oleh Jamly Bahruldin.

“Saya sahabat dan anak murid Rahimidin Zahari (Allahyarham). Sudah lama ingin bertemu dengan Abang. Dia sebut sokmo nama Abang pada saya,” ujarnya. Tercengang saya. Sedekat-dekat di Kelantan, namun sejauh-jauh di Perlis, itulah kami dapat bertemu pertama kali. Memang, jalan takdir oleh Allah SWT, tiada siapa yang dapat menduga.

Dalam perkampungan santai sastera itu, Jay juga sudah tiga hari berada di situ. Ikut tungkus-lumus membantu. Saya tersenyum dalam lamun, membayangkan Jay pun tentu seronok berpeluang membantu Datuk Dinsman, di samping memperoleh peluang besar menimba ilmu dan pengalaman teater bagi dirinya.

Seorang lagi yang ikut menyumbangkan tenaga dan bakti ialah Shariffah Khadijah Al-Jufri. Nama yang bagai hampir sama dengan isteri Pak Kassim. Beliau bekas penjawat awam di Perak, sebelum bersara untuk menguruskan perniagaan sendiri. Beliau aktif bergerak bersama-sama PAKSI. Beliau seorang yang berkemahiran dan berpengalaman luas dalam Pengucapan Awam.

Lewat kira-kira setengah jam, selepas Dahri dan saya, menyusul tiba penyair mapan Kelantan, Chu E Liang. Bergegas keluar dari keretanya. Berlari-lari dalam rintik hujan.

Kawe lewat, weh. Sesat!”

Saya dan Dahri tidak dapat menahan gelak mendengar keluh Chu E Liang. Beliau sudah sekian lama berdekad-dekad menetap di Tanah Merah. Sesat di kawasan sendiri? Itulah terasa lucu, namun dapat difahami. Tak mungkin beliau tahu seluruh ceruk Tanah Merah itu, antara jajahan daerah yang besar di Kelantan, dengan simpang-rimpang jalan di pelosok desanya.

Program perkampungan sastera santai ini, pada hakikat sebenarnya, bukanlah santai. Pak Kassim menganjurkan program ini melalui kerjasama PAKSI, yang ternyata cukup berupaya mendinamikkannya dengan begitu menarik dan berkesan.

Saya mendapati, sepanjang tiga hari dan dua malam berlangsungnya program ini, dilengkapi penuh dengan pelbagai pengisian yang berikut.

  1. Memperkenalkan sastera dari segi pemahaman dan penghayatan.
  2. Memperkenalkan teater dari segi pemahaman dan penjiwaan.
  3. Pengajaran penulisan skrip teater peringkat pengenalan.
  4. Latihan teater.
  5. Teater monolog.
  6. Deklamasi puisi.
  7. Aktiviti dikir barat bagi kanak-kanak.

Pada hari terakhir, petang 16 September (yang kami hadiri) merupakan hari kemuncak bagi program perkampungan sastera santai ini. Berduyun-duyun masyarakat di desa terpencil datang untuk turut melibatkan diri, menyaksikan kemuncak persembahan.

Dalam persembahan ini, lakon dialog antara Pak Kassim dengan Jamly Bahruldin adalah antara yang paling menarik. Pak Kassim berwatak sebagai Pak Sastro, yang segak berpakaian lelaki Melayu tradisional bagai hulubalang, menjawab segala pertanyaan yang diajukan oleh Jamly tentang sastera.

Pemerhatian saya, semua soal jawab itu berguna, berkesan dan mudah difahami oleh masyarakat desa yang hadir ke arah mengetahui dan memahami tentang sastera.

“Sastera itu apa, Pak Sastro?”

“Sastera adalah pemikiran dan pengucapan yang dijelmakan, dilahirkan dalam bentuk puisi, hikayat, cerita, dan sebagainya. Dituturkan atau ditulis dengan indah, menarik, cukup berkesan pada renungan, kesedaran, pemikiran dan teladan. Memberikan kebijaksanaan pada kita.”

Ditanyakan satu pers atu oleh Jamly tentang puisi, hikayat dan cerita. Dijawab dengan jelas berserta penerangan dan contohnya, serta huraiannya oleh Pak Sastro.

“Sejak bila lagi adanya sastera ini, Pak Sastro?”

“Sastera sudah ada sejak zaman nenek moyang kita lagi. Bukankah kita tahu bahawa nenek moyang kita pandai dan bijak berpantun, bersyair, berseloka, bergurindam, dan berhikayat? Itu semua adalah sastera. Kita mewarisi dan harus menjaganya dengan sebaik-baiknya daripada hilang lenyap begitu sahaja.”

“Bolehkah Pak Sastro berikan satu contoh? Jika misalnya daripada pantun.”

“Oh, tentulah boleh. Dengar, ya. Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi baik dikenang juga.

“Wah, saya tahu dan biasa dengar pantun itu, Pak Sastro!”

“Semua orang tua di kampung ini pun, saya fikir, tentu sudah lama, sudah biasa tahu, pantun itu. Cuma, mungkin, orang-orang tua kita tidak tahu, tidak pernah mendengar sebutan kata sastera.”

Pak Sastro menyambung penjelasannya lagi, “Pantun itu tadi pun sebahagian daripada sastera juga. Tetapi mungkin kini, pantun itu sudah tidak diucapkan kepada anak-anak. Dunia sudah semakin sibuk. Hidup sudah semakin sibuk. Maka, itulah sebab, menjadikan anak-anak tidak meminati pantun atau mengenal sastera.”

“Apa guna pantun itu, Pak Sastro?”

Pak Kassim dan isteri tercinta ketika berlatih dalam kebun getah.

“Sudah saya sebutkan tadi, sastera dan termasuklah pantun itu amat besar faedahnya kepada kita. Bukan segala-galanya dalam hidup ini harus mementingkan wang dan harta. Sebutan kata – budi yang baik dikenang juga – dalam pantun itu tadi, membawa kita merenung tentang budi. Kebaikan budi. Berakhlak dengan budi baik. Akhlak dan kebaikan budi pun, termasuk nilai kebaikan juga dalam Islam.”

“Hidup ini bukanlah hanya untuk menoreh getah sahaja,” gumam Pak Sastro. Disambut dengan ilai tawa khalayak desa di serambi. Tentu kerana sebahagian mereka penoreh getah. Maka, kelakar oleh Pak Sastro itu bagai terkena pada “batang hidung” mereka sendiri. Namun hal ini diterima untuk difahamkan dalam cara jenaka.

Memasyarakatkan sastera penting. Harus disedari, pada masa kini, betapa terpencil jauh pun, masyarakat desa pun sudah mulai semakin terhakis daripada signifikan kesusasteraan. Salah satu faktornya, lantaran kuatnya pengaruh serta kesan ledakan dan arus modenisasi, khususnya segala isi dalam peranti komunikasi moden yang semakin popular, lebih mengisi harian hidup.

Oleh hal yang demikian, watak dan peranan seperti Pak Sastro amat diperlukan dalam pengisian inisiatif memasyarakatkan sastera, bagi mendekatkan dan memahamkan masyarakat tentang kepentingan peranan dan nilai sastera. Apatah lagi, di pelosok ceruk desa.

Shariffah Khadijah Al-Jufri pula pada redup petang itu tampil melakonkan teater monolog. Dengan kemahiran dan pengalaman Pengucapan Awam yang dikuasainya, tentulah beliau berkemampuan berteater monolog dengan cukup menarik, dinamik dan berkesan. Beliau menyampaikan isi perselisihan faham antara dua wanita. Suatu pencerahan jiwa tentang keutamaan sifat dan nilai kejernihan hati.

Menurut saya, teater monolog ini mengagetkan khalayak orang desa yang hadir. Sudah tentulah mereka belum pernah berhadapan dengan persembahan sebegitu. Maka, mereka begitu asyik memerhati. Cara tutur dialog, ragam nada suara dan mimik emosinya berjaya mengagumkan audiens. Tambahan pula, cuaca redup petang itu bersesuaian dengan cara Shariffah melakonkan adegan dengan penuh emosi sedih dan sayu.

Namun demikian, jika pada deklamasi puisi, sebagaimana pada teater monolog itu juga; golongan orang tua-tua desa sudah tentulah belum pernah mengetahui, mendengarnya. Juga, pemanfatannya pada cakupan generasi muda.

AnBakri menyusul dengan lagu puisi dan tiupan harmonika. Persembahan deklamasi dan lagu puisi ini melengkapkan lagi pengetahuan dan pengalaman baharu di desa jauh terpencil itu.

Ketika terdengar lirik dendang, “Cek, cek, cek, itulah bunyi cicak” oleh sekumpulan kanak-kanak yang bersila dan berkumpul di beranda, tidak hanya saya, semua yang hadir juga serentak tertawa.

Cek, cek, cek, maka jawab ibu cicak. Bunyi cok cek, cok cek, puak cicak galak.

Kumpulan kanak-kanak ini, seragam dengan pakaian Melayu berwarna kundang, bersongkok, girang sekali melantunkan lagu dikir barat Cicak yang dipopularkan oleh Allahyarham Cikgu Naim (Darulnaim Mamat).

Lagu dikir barat memang amat popular dalam kalangan masyarakat Kelantan. Apatah lagi lagu Cicak itu, mampu memikat hati kanak-kanak, walau sejauh ceruk desa mana pun. Jelas, pengaruh dan ledakan komunikasi peranti amat besar dan luas. Malah, lagu ini pernah tular sehingga jauh ke Denmark.

Kita mempunyai sekian banyak puisi kanak-kanak. Namun begitu, tiada satu pun pernah dinyanyikan dalam dikir barat. Dalam menung saya, alangkah bagusnya jika boleh diambil inisiatif ini, terutamanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur untuk bekerjasama dengan para pendikir untuk mempopularkan puisi kanak-kanak melalui dikir barat. Suatu usaha yang bukanlah sukar dan mustahil untuk boleh dilakukan.

Mengapa dan bagaimana agaknya beliau boleh terdorong mengarangnya sebagai berlatarkan ladang getah?

Hujan tetap merintik. Dari celah-celahnya, pada celah-celah pohon getah, saya terkenang novel Interlok (DBP, 1971) yang pernah dikarang oleh Allahyarham Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Rintik-rintik hujan itu, bagai air matanya, dalam menung dan renung saya.

“Saya karang untuk anak bangsa, masyarakat berbilang bangsa di negara kita, untuk sedar pada penting hidup muhibah, sayang kasih pada negara,” ujar beliau. Wartawan melaporkan, beliau mengesat-ngesat air mata, genang dan linang, apabila mengetahui novel yang dikarangnya sejak sekian lama, zaman lalu itu, ditangguhkan oleh kerajaan daripada dijadikan teks bagi pelajar sekolah menengah.

“Sayang,” suaranya sepatah. Terharu, sayat hati. Sepatah itu, bagai terhimpun seribu kata-kata dan perasaan yang tidak mampu diungkapkan, dikeluhkannya dengan lebih panjang lagi.

Ladang getah menjadi latar penting dalam pemikiran beliau, pada menuju motif kemuhibahan, dalam gerak plot pada salah satu bahagian utama bab penceritaannya. Seorang pemuda India, Maniam daripada kasta rendah dibawa ke Tanah Melayu sebagai buruh ladang getah. Bekerja di situ yang ketika itu, getah merupakan antara sektor utama ekonomi kolonial British. Realiti sejarah berdasarkan migrasi buruh India ke negara ini, sejak akhir abad ke-19.

Novel ini mencernakan perubahan hidup Maniam, sebagai bertuah, di tanah air makmur ini yang mampu hidup dalam lingkungan kemuhibahan bangsa. Maniam ialah simbol pengorbanan dan ketabahan watak dalam kecekalan iltizam membina kehidupan baharu.

Namun begitu, novel besar dan hebat ini ditangguhkan oleh kerajaan, bimbang dan takut, kerana ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati tentang penggunaan perkataan dan penerangan adat tertentu.

Abdullah Hussain tentu tidak berpengalaman dan berkemahiran sepenuhnya tentang budaya hidup masyarakat India. Hal demikian, ditulis berdasarkan pengetahuan daripada pengalaman bergaul akrab dengan kalangan individu dan segelintir masyarakat India, di sekeliling diri.

Sedikit sebanyak kesilapan atau kelemahan ini, sebenarnya, boleh pun untuk diperbaiki oleh pengarang.

Bahkan, jika tidak perbaiki sekalipun, guru tetap boleh berperanan menerangkan kelemahan novel. Saya lebih suka dan berpendapat, novel ini sama sekali tidak perlu dibaiki apa-apa. Kekalkan asli. Sebab apa? Itulah antara cara penting mempelajari kesusasteraan kerana harus bagi boleh belajar mengkaji, mempelajari aspek kelemahan karya juga, jika ada hal demikian.

Ternyata, janji tangguh itu tetap tinggal tangguh sebagai janji politik, sampai kini. Yang tidak dapat ditangguhkan ialah usia Sasterawan Negara itu. Beliau sudah pun berpulang ke rahmatullah. Moga-moga roh Allahyarham dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah. Amin.

Selain Interlok yang terkemuka itu, terdapat juga beberapa cerpen menarik berkisar ladang atau estet getah oleh beberapa orang pengarang terkenal. Seingat saya, antaranya, “Ahmad Mutawakkil” oleh Zainal Rashid Ahmad dan “Membalik Buku Halaman” oleh Khadijah Hashim.

Seingat saya juga, namun tiada cerap lagi pada judul tepatnya, seorang cerpenis Kelantan juga pernah memusatkan latar sebuah cerpennya pada ladang getah. Cerpen itu pada judul “Cinta di Ladang Getah”, atau mungkin “Daun-daun Getah Berguguran”. Pernah termuat dalam antologi cerpen Jejak Langkah yang merupakan teks Sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1970-an.

Penulis cerpen itu sebenarnya antara cerpenis terkemuka Kelantan. Namanya Zaid Ahmad. Namun tentu tidak dikenali atau diketahui oleh generasi kontemporari sastera Kelantan. Saya sendiri pun tiada sempat bertemu wajah dengan beliau. Sudah lama berpulang ke rahmatullah, ketika saya masih amat muda dan cuba menulis sastera. Beliau juga mengarang sebuah novel berjudul Lambak, diterbitkan oleh DBP, saya baca pada usia 13, atau 14.

Terkenang cerpen Allahyarham, semasa berada di “Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim” ini, baru saya terfikir, mengapa dan bagaimana agaknya beliau boleh terdorong mengarangnya sebagai berlatarkan ladang getah? Beliau Pegawai Perikanan, bertugas di Jajahan Machang. Mengapa, cerpen “getah”’?

Merenung, baru saya perasan, Machang ke Tanah Merah, di Kelantan, adalah antara daerah yang dipenuhi kebun dan ladang getah. Tidak hairanlah, beliau terdorong demikian.

Dahri dan saya bersolat asar di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim. Hujan reda. Selesai sempurna program santai memasyarakatkan sastera. “Sedang molek” jika pada kata orang Kelantan, yang menunjukkan maksud sesuatu itu bersesuaian atau bertepatan. Justeru, majlis selesai, hujan juga selesai. Moga-moga Allah SWT melimpahi kebahagiaan dan kasih sayang-Nya pada Pak Kassim dan isteri tercintanya. Amin.

“Masih ada makanan, jemput makan dulu, makan sekali lagi sebelum pulang,” suara Pak Kassim mempelawa hadirin kerana masih banyak baki makanan. Baik hati benar mereka suami isteri dengan makanan sebanyak itu. Namun sebahagian mereka lorak-lorak bergegas pulang. Agaknya, mungkin mereka yang tinggal di lokasi agak jauh sedikit, untuk mengejar solat asar. Walau tentu boleh sahaja bersolat di kediaman itu.

“Senyum apa?” tukas Dahri, ketika saya tersenyum.

Namun, saya tidak berkongsi jawapan, kecuali tetap sejenak dengan lebar senyum. Sebenarnya, saya membayangkan, jika Ketua Pengarah DBP diundang hadir. Sudah tentulah turut bangga pada program itu. Seronok, mendapati sambutan masyarakat desa pada signifikan sastera. Gelak mendengar, “Cek, cek, cek, maka jawab ibu cicak. Bunyi cok cek, cok cek, puak cicak galak.” Bahagia mendapat pengalaman di ceruk desa kebun getah. Tenang, nyaman, segar.

Boleh sahaja menginap di sini pada rumah Pak Kassim yang sebuah lagi itu.

Paling saya senyum dan rasa ingin gelak, membayangkan; jika pada jauh sepi tengah malam, kami mengusik-usik, mengetuk-getuk dinding – tentu tersangka hantu. Dijenguk, tiada sesiapa. Dap, dup, dap, dup! Entah apalah degup-degap hati Ketua Pengarah DBP. Tambah pula, jika hujan renyai. Hantu kebun getah!

Namun juga, paling saya fikirkan ialah alangkah baiknya, jika pada masa akan datang, DBP atau DBP Wilayah Timur dapat membantu meneruskan lagi program ini, di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim. Namun begitu, DBP Wilayah Timur tentu lebih wajar pada komitmen dan wawasan ini. Tanpa meninggalkan PAKSI, justeru pertubuhan ini merintis sokongan moral dan membantu jaya sempurnanya.

Sebahagian khalayak dan penggiat terlibat program.

Apatah lagi, tidak mudah menemukan kesanggupan dan keikhlasan, sebagaimana pengorbanan budi dan kesedaran tinggi awam oleh sepasang suami isteri ini pada bukti wawasan kepentingan memasyarakatkan sastera. Lebih-lebih lagi, di desa jauh, juring sebegitu terpencil.

Dahri dan saya bertolak pulang sebelum maghrib, singgah bersolat di Masjid Besar Tanah Merah. Rintik hujan lagi. Mengingat lagi pada program sastera di celah-celah kebun getah itu, saya yakin, jika dianjurkan lagi, masyarakat desa tetap akan datang. Malah, tentu lebih ramai, berduyun-duyun. Bahkan, tidak mustahil, penuh oleh seisi desa dan desa-desa berdekatan, jika terpenuhkan dengan serba macam program sastera, termasuk beberapa seni budaya.

Hasrat Dahri ingin membelanjai saya makan di sebuah kedai yang terkenal dengan mi rebus lazat dalam bandar itu, tidak kesampaian. “Waze ini kata, buka,” rungut Dahri, menggeleng.

Kami melupakan mi dan Waze. Ke restoran nasi lemak.

“Akan datang, Abang berhasrat dapat bermalam, menginap di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim,” getus saya, meski tiada pasti program itu akan ada lagi atau tidak.

“Saya pun!” cepat Dahri membalas kata.

Kami tetap terkenang keindahan, ketenangan dan penikmatan sastera di celah-celah kebun getah itu.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri, Dahri Zakaria, Jamly Bahruldin, dan Pak Kassim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi