Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 3 November 2025, 20:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Hadiah Booker Kanak-kanak bakal menjadi satu lagi acara anugerah buku di bawah payung Yayasan Hadiah Booker, sekali gus menawarkan hadiah wang bernilai £50,000 (RM275,800) untuk juara dan £2,500 (RM13,800) kepada lapan pengarang yang disenarai pendek.

Hadiah Booker Kanak-kanak yang menjadi anugerah baharu besar dalam tempoh dua dekad itu, terbuka kepada karya sastera kanak-kanak untuk pembaca berusia lapan hingga 12 tahun.

Buku yang dinilai ialah naskhah yang ditulis atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom (UK) serta Ireland.

Paling unik, penilaian tidak hanya dilakukan oleh juri dewasa, bahkan tiga juri kanak-kanak, sekali gus memastikan pembabitan langsung golongan kanak-kanak dalam memilih pemenang.

Panel juri Hadiah Booker Kanak-kanak diketuai oleh Penerima Anugerah Karya Kanak-kanak, Frank Cottrell-Boyc.

Ketua Eksekutif Yayasan Hadiah Booker, Gaby Wood berkata, Hadiah Booker Kanak-kanak menjadi usaha paling besar yang dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun, sekali gus diharap kesannya akan bergema berterusan beberapa dekad akan datang.

“Anugerah itu bertujuan untuk menobatkan karya klasik masa depan yang ditulis untuk kanak-kanak, intervensi sosial bagi memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk membaca dan menyemai generasi pembaca sepanjang hayat.

“Dengan kata lain, Hadiah Booker Kanak-kanak bukan sekadar satu anugerah, tetapi sebahagian gerakan dan perjuangan yang boleh disertai oleh kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, guru, dan semua yang terbabit dalam dunia penceritaan,” katanya, seperti yang dipetik dalam laman web The Booker Prize.

Wood berkata, pihaknya mula berbincang mengenai anugerah ini sejak tiga tahun lalu dan teruja dengan pelbagai perbincangan yang membuahkan hasil bersama.

“Kami mempunyai rakan kerjasama kerana kami tidak mampu melakukannya sendirian. Kami sama sekali tidak dapat melancarkannya tanpa kemurahan hati rakan pengasas serta penaja utamanya, Yayasan AKO, yang amat kami berterima kasih.

“Kami juga amat gembira kerana Frank Cottrell-Boyce, maestro tukang cerita dan pendukung tekal sastera akan menjadi pengerusi pertama barisan panel juri.

“Kami tidak sabar mendengar pandangan hakim sebenar terhadap mutu karya fiksyen kanak-kanak, iaitu kanak-kanak sendiri,” katanya.

Sementara itu, Cottrell-Boyc berkata, setiap kanak-kanak berhak merasai kegembiraan yang datang daripada menyelami sebuah karya yang hebat.

“Hadiah Booker Kanak-kanak akan memudahkan mereka menemukan karya fiksyen terbaik dan buku yang ‘berbicara’ dengan jiwa mereka.

“Dengan menjemput mereka sendiri ke meja juri dan memberikan naskhah buku yang dicalonkan, anugerah ini akan membawa ribuan lagi kanak-kanak ke dalam dunia pembacaan yang menakjubkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif AKO, Philip Lawford berkata, pihaknya berbesar hati menyokong Yayasan Hadiah Booker dalam melancarkan Hadiah Booker Kanak-kanak.

“Di Yayasan AKO, kami sangat meyakini kepentingan memupuk minat membaca sejak usia muda. Bukti mengaitkan aktiviti membaca untuk keseronokan dengan peningkatan pencapaian pendidikan dan mobiliti sosial lebih tinggi amat jelas.

“Inisiatif ini selaras dengan keutamaan kami sebagai penaja. Kami berasa bangga dapat menyumbang pada projek yang akan menginspirasikan dan memperkasakan pembaca muda,” katanya.

Pencalonan dibuka bermula musim bunga 2026 dan senarai pendek akan diumumkan pada November tahun yang sama, manakala pemenang akan diisytiharkan pada Februari 2027.

Yayasan Hadiah Booker yang terkenal dengan penganugerahan Hadiah Booker, turut memperkenalkan Hadiah Booker Antarabangsa pada tahun 2005.

Kredit Foto: Anita Jankovic/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi