Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Diiktiraf sebagai antara anugerah penulisan paling berprestij di dunia, Hadiah Cerpen Komanwel 2026 kembali mencari karya fiksyen terbaik daripada penulis Komanwel, dengan penyertaan dibuka mulai 1 September hingga 1 November 2025.
Pengiktirafan itu meraikan karya fiksyen yang belum diterbitkan dan dikendalikan oleh Commonwealth Writers, iaitu inisiatif kebudayaan di bawah Yayasan Komanwel (Commonwealth Foundation).
Yayasan Komanwel dalam siaran medianya menyebut bahawa pertandingan itu membabitkan lima rantau utama Komanwel, iaitu Afrika, Asia, Kanada dan Eropah, Caribbean, serta Pasifik, dan terbuka kepada warganegara Komanwel atau individu tanpa kewarganegaraan yang menetap di negara anggota.
“Sebanyak lima pemenang rantau akan dipilih, dengan seorang daripada mereka bakal dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan.
“Pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, manakala empat pemenang rantau lain akan menerima RM15,000 setiap seorang.
“Sekiranya karya yang menang merupakan hasil terjemahan, penterjemah juga akan menerima hadiah wang tambahan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut, semua cerpen yang dihantar mestilah belum pernah diterbitkan dalam mana-mana bahasa sehingga 1 Mei 2026, dan setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu cerpen dengan panjang antara 2,000 hingga 5,000 patah perkataan.
Cerpen boleh ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain yang diiktiraf, termasuk bahasa Melayu, dengan syarat belum diterjemahkan.
Sebarang pertanyaan mengenai penyertaan boleh dihantar kepada [email protected].
Untuk rekod, rantau Asia merangkumi negara seperti Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, India, Sri Lanka, Bangladesh, Maldives, dan Pakistan, manakala rantau lain membabitkan negara di Afrika, Eropah, Caribbean, dan Pasifik.