Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangStockholm – Penulis terkemuka Hungary, László Krasznahorkai, dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2025, dalam pengumuman yang dibuat oleh Akademi Sweden di Stockholm, sebentar tadi.
Krasznahorkai, yang dilahirkan di bandar Gyula, Hungary pada tahun 1954, mula dikenali pada peringkat antarabangsa menerusi novel sulungnya, Satantango (1985), yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem epik selama tujuh jam oleh pengarah terkenal Béla Tarr.
Antara karya penting beliau termasuk The Melancholy of Resistance, War and War dan Seiobo There Below, kesemuanya menggambarkan gaya penulisan panjang, berlapis dan penuh ketegangan emosi.
Sebelum pengumuman rasmi, nama Krasznahorkai sudah disebut-sebut sebagai calon utama, bersama-sama penulis eksperimental dari China, Can Xue.
Kemenangan ini menjadikan Krasznahorkai sebagai penulis Hungary kedua yang memenangi anugerah Nobel dalam bidang kesusasteraan, selepas Imre Kertész pada tahun 2002.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1901, anugerah berprestij ini sering dikritik kerana berat sebelah, majoriti pemenangnya ialah lelaki Barat, manakala penulis dari Asia, Timur Tengah dan Afrika terus terpinggir.
Malah, daripada lebih 120 penerima, hanya 18 ialah wanita dan tiada satu pun karya dalam bahasa Afrika pernah memenangi anugerah tersebut.
Skandal gangguan seksual yang melanda Akademi Sweden pada tahun 2018 pernah menggoncang integriti institusi itu, mengakibatkan keanggotaan akademi diganti secara besar-besaran.
Sejak itu, akademi berikrar untuk lebih inklusif dari segi bahasa dan latar geografi. Kesan perubahan itu dapat dilihat apabila penerima wanita kini muncul hampir setiap tahun.
Malah, pengiktirafan kepada pemuzik dan penulis lirik, Bob Dylan pada tahun 2016 menimbulkan kritikan, terutamanya dalam kalangan penggiat sastera kerana wujud sempadan antara sastera dengan muzik.
Namun begitu, selepas pengarang Korea Selatan, Han Kang menang tahun lalu, dalam usia 53 tahun yang umumnya dianggap sebagai “muda” menurut standard Akademi yang cenderung memilih penulis veteran, dianggap membuka harapan.
Walau bagaimanapun, Akademi Sweden sudah pun memutuskan pemenang, dan harapan-harapan yang ada dibawa ke tahun hadapan.
Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2025 membawa pulang wang tunai bernilai AS$1.2 juta (kira-kira RM5.7 juta), selain pengiktirafan antarabangsa yang mampu mengubah hala tuju kerjaya penulis.