Diterbitkan pada 24 September 2025, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bagi Akmal Arsat, karya yang kritis lahir daripada kritikan yang jujur.

Adakah kritikan yang kononnya jujur dalam dunia kesusasteraan kita benar-benar jujur? Atau sebenarnya telah dilapisi berkali-kali dengan adab dan budi, sehingga kehilangan keberanian untuk menyentuh inti kebenaran?

Sememangnya, masyarakat Melayu terkenal dengan budi pekerti yang tinggi. Namun dalam dunia kritikan, adakah budi itu menjadi tembok atau jambatan yang membunuh dunia sastera negara?

Kritikan menghidupkan pemikiran kritis dan pemikiran kritis menghidupkan kualiti. Timbul sebuah pertanyaan besar apabila membicarakan budaya kritikan: Adakah budaya Melayu yang halus dan beradab secara diam-diam membunuh roh kesusasteraan negara dalam mewujudkan seni yang hidup dalam masyarakat? Adakah wajar untuk kita berlapik apabila memberikan kritikan untuk membentuk sebuah karya yang kritis dan berkualiti?

Soalan ini mengajak kita menilai bukan sahaja cara kita mengkritik, tetapi juga bagaimana kita membina budaya ilmu yang sihat apabila kebenaran dan ketajaman pemikiran diraikan, bukan disisih.

Hal ini juga menjadi suatu permasalahan yang menular dalam diam kerana amalan berlapik dan berhati-hati dalam memperkatakan kebenaran seolah-olah membunuh proses pembentukan sebuah kesusasteraan yang matang dan cemerlang (tanpa kita sedari).

Dalam sejarah sastera tempatan, kita telah menyaksikan karya berani seperti Salina oleh Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said dan Tivi oleh SN Shahnon Ahmad mengundang pelbagai reaksi. Keberanian ini tidak lahir dalam ruang yang sunyi, sebaliknya tumbuh dalam ekosistem wacana yang subur apabila suara kritis bukan sahaja dibenarkan, malah diraikan sebagai cermin masyarakat.

Dalam amalan budaya kritikan Barat, kritikan dianggap sebagai nadi kehidupan intelektual. Bagi mewujudkan karya yang intelektual, mereka percaya bahawa kritikan tajam dan jujur membentuk pemikiran kritis untuk sebuah karya yang kental. Bagi mereka, kebenaran ialah harga yang bernilai dalam usaha membentuk mutu karya. Nilai karya diukur bukan hanya pada estetika, tetapi juga pada keupayaannya menggerakkan fikiran dan menggugah perasaan.

Dalam hal ini, eloklah dibuat perbandingan. Kita tahu, budaya Melayu sangat indah dan begitu molek untuk dijaga dan disanjung dalam kehidupan harian, tetapi adakah kritikan yang kononnya jujur dalam dunia kesusasteraan kita benar-benar jujur? Atau sebenarnya telah dilapisi berkali-kali dengan adab dan budi, sehingga kehilangan keberanian untuk menyentuh inti kebenaran?

Kita membesar dengan ajaran adab agar menjaga perasaan orang lain. Kalau menegur, biarlah secara halus. Kalau tak setuju, biarlah berkias. Kalau tak suka, senyum dan diam lebih baik. Semua ini ialah sebahagian daripada sistem nilai yang luhur, yang memelihara keharmonian dalam masyarakat.

Namun begitu, apabila kita terlalu berlapik, kita sebenarnya sedang menumpulkan keberanian untuk berkata benar. Kritikan seni yang terlalu sopan selalunya gagal menggoncang. Karya yang tidak digoncang, selalunya kekal di takuk lama. Kalau mahukan karya seni kritis, berlapik yang keterlaluan boleh membunuh.

Bukan membunuh karya sahaja, membunuh pengkritik tempatan dan paling utama membunuh pertumbuhan minda kritis – pembaca dan penulis. Lebih malang lagi, jika hubungan antara penulis dengan pengkritik menjadi renggang. Seperti yang dinyatakan oleh SN Rahman Shaari dalam sebuah esei dalam Dewan Sastera, hubungan mesra antara pengarang dengan pengkritik yang wujud pada dekad 1970-an dan 1980-an semakin hilang. Kini, sikap saling mengasingkan diri kian menular, dan hal ini membantutkan pertumbuhan wacana kritikan yang sihat.

Persoalan utama bukan terletak pada budaya Melayu itu sendiri, tetapi cara kita mewujudkan kritikan yang jujur dan membina dalam acuan kita sendiri. Juga bagaimana amalan kritikan dalam kesusasteraan diubah agar tidak terwujud persoalan aneh, seperti mengapa budaya kritikan negara mundur atau mengapa kritikan tidak bersikap jujur. Pada realitinya, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Kita melihat, tetapi kita gemar “sugar-coating” kesalahan dengan penipuan.

Kita tidak perlu menjadi seperti Barat, tetapi untuk mewujudkan kesusasteraan yang hidup dan menghidupi, penulis dan pengkritik perlu berani menerima dan meraikan kritikan. Kritikan bukan serangan mahupun penghinaan, tetapi nadi dalam mewujudkan kesusasteraan yang berjiwa dan bernafas segar.

Bukalah wacana secara sihat dan intelektual, apabila perbezaan pandangan diraikan sebagai tanda dinamiknya pemikiran sastera.

Kritikan yang berasaskan teks kajian bermaksud penilaian yang dilakukan bersandarkan bukti, hujah dan analisis terhadap karya itu sendiri—baik dari segi struktur, tema, gaya bahasa, mahupun pendekatan ideologi.

Contohnya, kritikan berasaskan pendekatan struktural akan menganalisis keberkesanan plot atau binaan naratif. Pendekatan pascakolonial pula akan menyelongkar isu kuasa, identiti dan peminggiran dalam teks. Pendekatan ini menjadikan kritikan bukan sekadar komentar, tetapi sebuah wacana ilmu.

Paling utama, yang perlu diambil kira bagi pengkritik ialah kritikan yang dilakukan haruslah berpandukan teks dan kajian dan menghindar daripada menyentuh keperibadian penulis. Garis pemisah ini perlu disemat kukuh dalam minda. Kritikan yang terfokus pada karya ialah tanda kematangan dalam dunia kesusasteraan. Elakkan membawa unsur peribadi atau menyerang penulis. Walaupun setajam mana kritikan terhadap karya tersebut, janganlah melanggar batas sebagai pengkritik. Pendekatan ini penting kerana memisahkan penilaian intelektual daripada unsur emosi atau serangan peribadi, sekali gus menjamin objektiviti dan keilmuan.

Ujar T.S. Eliot, “Criticism, if it is to be effective, must be objective in intention and honest in execution.” Bagi membentuk suatu wacana kritikan yang berjaya, pemikiran yang jujur dan adil harus seiring agar sesuatu kritikan membawa kesan terhadap ekologi sastera.

Ketajaman pandangan pula merujuk keberanian dan kejelasan dalam menilai kualiti atau kelemahan karya secara terus terang dan tanpa berselindung. Ketajaman ini tidak harus dilihat sebagai suatu ancaman atau penghinaan, tetapi sebagai dorongan untuk mempertingkatkan mutu karya dan memperkaya wacana kesusasteraan. Malah, dalam dunia akademik dan sastera yang matang, pandangan tajam yang berasas ini diraikan kerana menandakan kewujudan pemikiran kritis yang sihat dan progresif.

Bukalah wacana secara sihat dan intelektual, apabila perbezaan pandangan diraikan sebagai tanda dinamiknya pemikiran sastera. Pandangan yang tajam bukanlah musuh, tetapi cermin yang memperlihatkan potensi atau kelompangan yang harus diakui dengan jiwa besar.

Penulis perlu seiring membuka hati untuk menerima kritikan dalam nada lembut dan tajam. Semestinya, penulis gemar mendengarkan pujian dan kritikan yang mengangkat karya yang ditulis, namun tidak semuanya manis, seperti lidah jika dicipta untuk merasa manis sahaja. Semestinya, kita tempang kerana kencing manis. Begitu juga dalam kritikan. Jika pujian yang didambakan setiap kali karya dikeluarkan, esok lusa percayalah, kualiti karya semakin merudum dan penulisan semakin tempang kerana kaki tidak berpijak di medan sastera.

Kesusasteraan bukan sekadar bahasa indah, tetapi medan pemikiran dan perjuangan. Maka, dalam ruang yang kritikal ini, berbudi pekerti dan kejujuran dalam mengkritik mesti berjalan seiring—bukan saling menumpulkan. Karya yang kritis lahir daripada kritikan yang jujur.

Sudah tiba masanya kita mengembalikan kemeriahan dan mewujudkan kembali budaya yang meraikan keberanian menulis dan keterbukaan menilai. Ini bukanlah seruan untuk menjadi kurang ajar atau menghina, tetapi seruan untuk menjadi jujur.

Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengungkapkan bahawa “Dalam masyarakat yang matang, perbezaan pendapat adalah tanda kemajuan; bukan permusuhan.” Maka, mengapa kita terlalu gusar apabila berdepan dengan kritikan? Bukankah lebih baik dibedah secara ilmiah dan jujur, daripada dipuja secara palsu?

Jika sastera lesu, adakah salah penulis atau pembaca? Atau mungkin salahnya pada ekosistem kesusasteraan negara yang terlalu takut menelan kepahitan, hingga degupan jantungnya sendiri tidak lagi mampu merangsang nadi sastera? Budi pekerti ialah kelebihan dalam kritikan, namun jangan bermuka dua kerana yang sedang sakit itu sastera.

Berpeganglah pada peribahasa “Tak mati dikeji, tak hidup dipuji”, kerana dalam menulis karya mahupun kritikan, kita sebenarnya sedang menghidupkan dan menghidupi jiwa masyarakat.

_________________________

Akmal Arsat penulis muda dari Gopeng, Perak dan meminati bidang kajian dan kritikan sastera.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi