Diterbitkan pada 12 September 2025, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul meneliti perbahasan tentang peranan penulis, pengkritik dan pembaca dalam menentukan makna teks.

Setiap produk sastera lahir daripada pengalaman, suara dan motivasi yang unik. Bancuhan nilai personal ini tidak boleh dihapuskan begitu sahaja oleh tanggapan pembaca dan pengkritik semata-mata …

Perbahasan tentang peranan penulis, pengkritik dan pembaca dalam menentukan makna teks merupakan salah satu debat epistemik paling genting dalam wacana sastera moden. Mari kita susuri simpang-siur sejarah yang menggagaskan pelbagai pertembungan idea dan epistemologi bersabit dengan persoalan ini.

Roland Barthes menjadi tokoh yang sering dikaitkan dengan dogma “penulis sudah mati” melalui eseinya yang terkenal, “La mort de l’auteur” (1967). Bagi Barthes, makna tidak pernah lahir daripada niat penulis. Sebaliknya makna hanya muncul dalam ruang bacaan, iaitu melalui interaksi pembaca dengan teks.

Barthes menolak autoriti penulis kerana menurutnya, penulis hanyalah mengolah dan mencipta tanda, sedangkan tafsiran naratif ialah hak mutlak pembaca. Barthes secara radikal menyingkirkan penulis daripada debat makna, lalu memberikan kuasa penuh kepada pembaca (termasuk pengkritik).

E. D. Hirsch pula mengemukakan hujah yang bertentangan dengan Barthes, melalui bukunya Validity in Interpretation (1967). Bagi Hirsch, penulis tidak pernah mati, kerana niat asal penulis merupakan kunci paling sahih dalam menentukan makna. Hirsch berpendapat bahawa jika teks ditafsir tanpa mempedulikan niat asal pengarang, tafsiran itu akan bercempera sebebas-bebasnya tanpa arah. Boleh jadi sehingga kiblat moralnya hilang. Oleh itu, bagi Hirsch, makna harus berpijak pada horizon hati nurani dan proses kreatif penulis.

Umberto Eco tampil dengan jalan tengah menerusi bukunya The Role of the Reader (1979). Eco cuba mendamaikan kedua-dua mazhab pandangan yang ekstrem tersebut, antara Bather (1967) dengan Hirsch (1967). Eco menegaskan bahawa meskipun tafsiran pembaca penting, teks itu sendiri mempunyai kuasa untuk membatasi kebebasan interpretasi.

Menurut Eco, teks memiliki struktur dalaman yang berhak membimbing dan mengawal sejauh mana makna boleh diperluas oleh pihak kedua (pembaca) dan ketiga (pengkritik). Ya betul, teks tidak boleh disandarkan semata-mata pada niat penulis. Pun demikian, teks juga tidak boleh dibaca secara liar tanpa menghiraukan isyarat tersirat dalam teks yang telah ditentukan sempadannya oleh penulis sendiri.

Michel Foucault melalui eseinya What is an Author? (1969) juga hampir senada dengan Eco, yang tidak sepenuhnya bersetuju dengan “kematian total” penulis. Bagi Foucault, penulis masih hidup, tetapi bukan sebagai sumber rujukan makna teks. Sebaliknya, penulis hanya memainkan “fungsi pengarang” yang berperanan mengawal, mengatur dan menstrukturkan wacana.

Dengan pandangan ini, Foucault tidak membangkitkan penulis sebagai autoriti mutlak dalam konteks makna. Tetapi cuma mengekalkan kewujudannya dalam dimensi yang lebih teknikal dan sosial, iaitu sebagai titik rujukan yang menentukan legitimasi dan sempadan makna bagi sesebuah teks. Maksudnya, pembaca masih bebas membuat tafsiran, tetapi penulis berhak menentukan sejauh mana kebebasan dan skop perluasan makna tersebut.

Pandangan Barthes yang radikal (penulis sudah mati) juga tidak diterima bulat-bulat oleh ramai sasterawan kreatif tersohor. Penyair Ireland dan pemenang Hadiah Nobel, Seamus Heaney, dalam The Redress of Poetry (1995), menegaskan bahawa puisi bukan sekadar kod rawak untuk ditafsirkan, tetapi juga ekspresi diri yang membawa suara sejati penyairnya.

Penerima berganda Booker Prize, Salman Rushdie juga, ketika berbicara tentang Midnight’s Children (1981), menolak keras idea pemisahan teks daripada penulis. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa buku-bukunya dilingkari sejarah dan idealisme peribadi. Menelaah bukunya tanpa mengambil kira niat pengarang samalah seperti membaca dengan “separuh buta”.

Sementara itu, Margaret Atwood (antara penulis paling berpengaruh pada abad ke-20 dan awal abad ke-21) dalam Negotiating with the Dead: A Writer on Writing (2002) menyindir sinis dogma Barthes. Atwood dengan lantang membidas: “the author is not dead, he is just in disguise.” Bagi Atwood, penulis tetap hadir, meskipun sekadar bayangan dalam setiap struktur naratif yang membina makna sesuatu teks.

Hujah-hujah daripada Heaney, Rushdie dan Atwood ini menunjukkan bahawa sasterawan sendiri menolak keras peminggiran peranan penulis dalam mentafsir makna teks. Mengapa? Kerana selaku karyawan, mereka sedar bahawa setiap produk sastera lahir daripada pengalaman, suara dan motivasi yang unik. Bancuhan nilai personal ini tidak boleh dihapuskan begitu sahaja oleh tanggapan pembaca dan pengkritik semata-mata.

Meskipun wacana dan polemik boleh membawa sumbangan signifikan dalam memartabatkan sastera, kedudukan penulis masih wajar ditegakkan sebagai autoriti sebenar teks.

Meneliti rentetan debat epistemik ini, jelas nampak bahawa Barthes ialah tokoh yang benar-benar “membunuh” penulis dengan menyerahkan makna sepenuhnya kepada pembaca. Namun begitu, Hirsch secara eksplisit “menghidupkan kembali” penulis sebagai sumber autoriti yang paling absah. Foucault dan Eco pula mencari jalan tengah dengan memberi kuasa tafsiran kepada pembaca, sambil mengekalkan fungsi penulis sebagai kunci penentu sejauh mana batas dan sempadan teks boleh ditafsirkan.

Sementara itu, suara-suara sasterawan (seperti Heaney, Rushdie dan Atwood) begitu konsisten menyokong prinsip penghujahan Hirsch. Komuniti penulis ini berpandangan bahawa menafikan niat pengarang bermaksud kita tidak menghormati roh asal yang telah melahirkan sesuatu teks. Mereka sealiran dengan golongan saintis dan teknologis, yang percaya bahawa semua inovasi mesti dipertahankan oleh penciptanya sendiri.

Pandangan Barthes agak istimewa kerana beliau membuka ruang demokrasi dalam tafsiran dan menekankan kepelbagaian perspektif. Akan tetapi, kelemahan pendekatan ini ialah risiko menghasilkan tilikan yang tidak terkawal. Barangkali juga sehingga terkeluar daripada sempadan moral yang diniatkan oleh penulis. Pandangan Hirsch pula lebih munasabah dari segi menegakkan asas yang asli pada makna teks. Akan tetapi, kelemahannya terletak pada kongkongan, yang menutup ruang imaginasi dan daya taakul peribadi para pembaca.

Foucault mengekalkan peranan penulis secara fungsional, tetapi konsep sebegini hanya sesuai untuk wacana pengetahuan daripada teks sastera yang bersifat estetik. Kelebihan Eco pula, kerana pendekatannya yang cuba mengimbangi kepentingan kedua-dua autoriti, iaitu penulis dan pembaca. Pun begitu, keseimbangan yang ideal begini barangkali hanya wujud dalam teori, namun agak sukar dicapai dalam realiti.

Walau bagaimanapun, pada hemat saya, pandangan para pengarang sendiri (Heaney, Rushdie dan Atwood) mempunyai pemberat yang paling besar. Mengapa? Hal ini demikian kerana hal ini datang daripada karyawan yang benar-benar bergelumang dengan proses kreatif. Segalanya terzahir berdasarkan pengalaman peribadi selaku pencipta teks-teks sastera yang dibaca dan ditekuni.

Meskipun wacana dan polemik boleh membawa sumbangan signifikan dalam memartabatkan sastera, kedudukan penulis masih wajar ditegakkan sebagai autoriti sebenar teks. Penulis merupakan arkitek yang membina rangkaian simbolik dan untaian makna semasa proses kreatif sesuatu karya. Tanpa penulis, teks seperti hilang sejarah dan identiti kelahirannya sendiri.

Namun begitu, tafsiran dan pembacaan daripada khalayak tetap boleh diterima sebagai satu proses memperkaya makna. Ya, para pembaca boleh membawa konteks baharu serta meluaskan ruang interpretasi teks. Maka itu, autoriti penulis tidak perlu dimatikan, tetapi harus digandingkan dengan tafsiran dinamik pembaca. Menerusi kacukan ini, makna asal yang dicipta oleh penulis tetap terpelihara tanpa merencat pertumbuhan tafsiran-tafsiran alternatif komuniti pembaca dan kaum kritikus.

Dengan kerangka sebegini, teks sastera bukan lagi dilihat sebagai mayat tanpa tuan, atau satu medan anarki liar yang bebas dengan segala sudut pemahaman. Sebaliknya, teks sastera menjadi ruang dialog yang menghubungkan niat pengarang dan perspektif pembaca dengan akrab. Dialog inilah yang akhirnya menjadikan teks lebih relevan untuk terus hidup merentas zaman dan menongkat peradaban.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017). 

Kredit Foto: Mert Kahveci/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi