Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O mengaku, sebagai seorang penulis, kita perlu mengakui kesilapan dan kelemahan diri kita sendiri.
Saya hadir dan berada di tengah sastera Melayu Malaysia ini tidak lain hanya kerana ingin terus menulis dan berkarya; menyatakan sesuatu yang ingin dinyatakan secara jujur menurut apa-apa yang saya yakini dan percaya.
Pada bulan Mei 1979, ketika berusia 22 tahun, sebuah sajak pendek saya berjudul “Harapan” disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Gembira hati bukan alang kepalang melihat karya sendiri turut terselit dalam sebuah majalah sastera yang meletakkan motonya, “peneroka sastera kreatif” ketika itu.
Jauh di sudut hati, walau sudah mulai bertatih menulis dan mengirim karya sejak tahun 1974, dengan penyiaran sajak pendek dalam majalah Dewan Sastera Mei 1979 itu, secara sah saya berasa sudah mulai diterima sebagai salah seorang warga sastera tanah air tercinta.
Rasa yakin dan kepercayaan itu semakin mengobarkan semangat diri untuk terus berkarya dan mengirimnya ke majalah
Namun ternyata, selepas penyiaran dua sajak dalam majalah Dewan Sastera 1979 itu, saya terpaksa atau dipaksa menunggu selama dua tahun untuk melihat karya sendiri kembali mendapat tempat atau disiarkan.
Sepanjang dua tahun tempoh penantian itu, pelbagai perasaan muncul dan menduga: sedih, kecewa, marah, dan sesal.
Malah, sering dalam mimpi, segala tekanan perasaan itu muncul dalam pelbagai bentuk. Tabiat saya waktu itu ialah saya terlalu sering ingin melihat jika karya yang dikirim akan tersiar. Saya akan membeli majalah lalu terus membeleknya pada setiap awal bulan atau membeli akhbar jika besoknya pagi minggu.
Setelah terjaga dan kembali ke alam nyata, segalanya itu tidak lain hanyalah mimpi. Meski berasa sedih dan kecewa, namun tidaklah sampai menjadikan diri patah dan tidak ingin terus menulis lagi.
Jauh di sudut hati, meski berterusan menempuh kegagalan demi kegagalan ketika itu, tidak pula muncul dalam perasaan saya untuk menyalahkan pihak pengendali ruang sastera, baik untuk akhbar atau majalah.
Andai sesekali muncul anggapan negatif dalam perasaan yang merasakan betapa mereka tidak berlaku adil, hanya memilih karya kawan dan kroni; perasaan itu segera dibuang jauh-jauh dan segera kembali melihat kelemahan diri dan kekurangan karya sendiri.
Saya nyatakan kepada diri sebagai peringatan. Saya datang dan hadir ke dunia sastera ini bukan kerana ajakan atau paksaan sesiapa. Demikian juga dengan menulis dan berkarya. Semuanya kerana pilihan dan kehendak diri saya sendiri.
Oleh itu, gagal atau berjaya, tergantung pada usaha saya sendiri. Saya tidak boleh hendak mengharapkan seseorang membantu saya menjadi penulis dan pengkarya yang berjaya. Pada waktu sama, saya sedar untuk berjaya, saya perlu bersikap jujur dan berani berterus terang dengan diri sendiri.
Jika gagal, saya mesti jujur dan berani mengakui di manakah silap dan kelemahan diri sendiri dan bukannya menyalahkan sesiapa pun.
Saya juga mesti berani dan jujur mengakui kesilapan dan kebodohan diri saya sendiri. Agar dengan cara demikian, saya tidak malu untuk belajar daripada sesiapa sahaja dan sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu dan pengetahuan sendiri melalui pelbagai cara dan bahan bacaan.
Atas kesedaran itu, menulis dan berkarya dilanjutkan terus tanpa jemu. Agar tidak berasa sedih dan kecewa, saya mengajar diri agar meneruskan tugas dan kerja menulis tanpa sebarang harap dan hasrat yang keterlaluan agar dipuji dan disanjung.
Hari ini, tahun 2025 ini, saya kembali mencongak. Setelah kurang lebih 46 tahun menulis dan berkarya, sudah di manakah pencapaian serta kedudukan saya?
Andai kata karya yang saya tulis menerima sesuatu hadiah, saya akan menerimanya dengan ucap syukur dan jika tidak, saya akan tetap teruskan hidup dan menulis serta berkarya seperti biasa.
Hari ini, tahun 2025 ini, saya kembali mencongak. Setelah kurang lebih 46 tahun menulis dan berkarya, sudah di manakah pencapaian serta kedudukan saya?
Dibandingkan dengan sejumlah rakan yang sama usia atau yang lebih muda, saya sedar dan tahu pencapaian dan kedudukan saya sekadar biasa-biasa sahaja.
Tentulah saya berbohong jika berkata saya tidak sedikit pun rasa tersentuh apabila oknum yang lebih muda dan kemudian hadir kini telah ramai meraih, misalnya SEA Write Award atau berkali-kali karyanya meraih anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Atau paling tidak pun, disebut dan diperkatakan berkali-kali karya dan pencapaian dirinya oleh pengkritik dan sarjana sastera Melayu Malaysia dalam pelbagai kajian atau seminar.
Tentu sahaja saya tetap sedikit terasa. Namun sekali lagi, kerana sejak mula lagi saya sudah peringatkan diri betapa saya datang dan hadir ke dunia sastera ini bukan kerana ajakan atau paksaan sesiapa dan menulis serta berkarya kerana pilihan dan kehendak diri saya sendiri, maka saya memilih untuk tidak ditakluki oleh perasaan sedih dan kecewa yang keterlaluan dan memilih terus untuk menulis serta berkarya seadanya, menurut kemampuan akal serta bakat yang dianugerahi Tuhan kepada saya selaku hamba-Nya.
Jika mahu, saya boleh saja menggunakan “helah bela diri” dengan cara menuduh betapa tidak adilnya dunia sastera Melayu Malaysia kerana “meminggirkan” seorang “Marsli N.O” yang begitu gigih dan rajin berkarya (kononnya).
Atau agar lebih terang dan jelas lagi, menamakan langsung pelbagai pihak. Misalnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), para pengkritik dan sarjana, Ahli Lembaga Pengelola DBP, majalah Dewan Sastera atau akhbar Berita Harian.
Akan tetapi, apakah hasil dan manfaatnya segala tindak dan perbuatan saya yang sedemikian itu?
Terus terang saya akui, jika demikianlah cara dan tindakan yang saya pilih, saya sesungguhnya telah membukakan keaiban dan kebodohan diri saya sendiri.
Sedar dan menginsafi inilah maka saya tidak memilih cara yang sedemikian rupa.
Benar. Selepas kurang lebih 46 tahun menulis dan berkarya, jauh di sudut hati saya memang berharap dilihat serta dibicarakan “karyanya”.
Akan tetapi, jika hal itu tidak terpenuhi, saya tidak ingin sama sekali menyimpan rasa sedih dan kecewa yang keterlaluan. Saya hadir dan berada di tengah sastera Melayu Malaysia ini tidak lain hanya kerana ingin terus menulis dan berkarya; menyatakan sesuatu yang ingin dinyatakan secara jujur menurut apa-apa yang saya yakini dan percaya.
Kerana tidak ingin menyalahkan sesiapa dan terlalu berharap sesuatu yang mungkin terlalu ramai ingin meraihnya, maka saya tetap menulis dan berkarya.
Tanpa mengharap belas dan simpati sesiapa. Biarlah tulisan dan karya saya, yang mungkin (seadanya sahaja itu), menjadi saksi dan bukti.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian.