Diterbitkan pada 4 September 2025, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta Organisasi Alumni Program Penulisan MASTERA (OPERA) membentuk barisan baharu kepimpinan OPERA Serantau bagi sesi 2025 – 2030 melalui pertemuan yang diadakan di Panggung W. S. Rendra, Badan Bahasa, Jakarta baru-baru ini.

Barisan baharu ini secara rasminya akan diterajui oleh YBrs. Sdr. Tia Setiadi (OPERA Indonesia) selaku Presiden, Sdr. Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie Pengiran Hidup (OPERA Brunei Darussalam) selaku Timbalan Presiden dan Sdr. Lutfi Ishak (OPERA Malaysia) selaku Setiausaha.

Menurut Ketua MASTERA Indonesia, YBrs. Encik Hafidz Muksin, pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuh hala tuju organisasi dan memastikan kesinambungan program di seluruh rantau bagi merealisasikan segala perancangan aktiviti, baik pada peringkat negara mahupun serantau.

“Pelantikan ini bukan sekadar upacara, melainkan sebuah komitmen bersama untuk mempererat lagi silaturahim dan kerjasama para alumni MASTERA, khususnya di Indonesia, Malaysia dan Brunei,” ujar beliau semasa memberikan ucapan perasmian pelantikan.

Dalam pertemuan ini juga, wakil OPERA bagi setiap negara telah membentangkan laporan aktiviti tahunan yang telah dilaksanakan bagi tahun 2025.

OPERA Malaysia berjaya melaporkan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun dan memberikan gambaran jelas tentang usaha yang telah dilakukan pada peringkat kebangsaan.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah Bicara MASTERA: Kenali MASTERA dan Mesrai OPERA bersempena dengan Sambutan Hari MASTERA pada 12 Ogos 2025 dan Festival Mini Sastera OPERA pada 23 Ogos 2025.

Dalam acara yang sama, perbincangan turut memberikan tumpuan pada cadangan aktiviti baharu, sama ada pada peringkat negara mahupun serantau bagi memperkaya jaringan kerjasama serta memperkukuh peranan alumni dalam memajukan bidang kesusasteraan serantau.

Kredit Foto: Hafirda Afiela
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi