Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Melaka – Perlukah diwujudkan Sekretariat Penulis Wanita Nusantara yang berpusat di GAPENA seperti mana resolusi Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara kelmarin?

Resolusi itu yang kelihatannya sudah disiapkan sebelum majlis lagi, ternyata bertentangan dengan kelantangan suara Ahli Jawatankuasa (AJK) GAPENA sendiri merangkap Presiden Persatuan Penulis Negeri Sembilan, YBrs. Puan Hajah Nisah Haron yang tampil sebagai panelis dalam forum sebelum itu.

Nisah dalam Forum I: Titik Temu dalam Dunia Penulisan Sastera Se-Nusantara yang berlangsung di Hotel Noble, Melaka, tampil lantang membicarakan isu stereotaip, diskriminasi halus dan pengkategorian yang membelenggu penulis wanita dalam dunia sastera.

Dalam pembentangan bertajuk “Perempuan Pemutus Lingkaran: Label, Sangkar dan Stereotaip Sastera terhadap Penulis (Wanita)”, Nisah menekankan pentingnya penulis wanita “memutuskan lingkaran” dominasi patriarki yang meletakkan wanita dalam ruang berlabel dan terbatas.

“Saya tidak setuju apabila wujud istilah ‘penulis wanita’. Mengapa tidak sekadar ‘penulis’?

“Kenapa perlu diletakkan penanda jantina seolah-olah hasil karya kami tidak setara?” soalnya.

Malah, beliau membuat analogi mudah menerusi perkongsian pengalamannya yang mencerminkan diskriminasi terhadap penulis wanita iaitu pertama, soalan berbaur seksis dalam sebuah majlis rasmi yang menyentuh soal imbangan antara menulis dan tanggungjawab keluarga; dan kedua, sewaktu menerima anugerah sastera, beliau hanya dipuji atas busana, bukannya karya yang dihasilkan.

Menurut Nisah, label seperti “Sasterawan Negara Wanita” dan kewujudan biro wanita dalam organisasi penulisan hanya memanjangkan lingkaran diskriminasi, walaupun kononnya memberi pengiktirafan.

Malah, beliau menyifatkan tindakan seperti itu meletakkan wanita dalam “sangkar selamat” yang sebenarnya membataskan potensi.

Beliau turut mengkritik kecenderungan mewujudkan persatuan atau gerakan khusus untuk penulis wanita yang disifatkan sebagai satu bentuk dikotomi yang tidak produktif.

Namun begitu, Nisah menyokong usaha pengumpulan penulis wanita bagi tujuan kajian akademik atau dokumentasi perkembangan sastera, seperti antologi penulis wanita kontemporari yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2021.

Forum ini turut disertai tokoh sastera serantau, termasuk Presiden GAPENA, YBrs. Datuk Zainal Abidin Borhan, dan menghimpunkan penulis dari seluruh Nusantara.

Kredit Foto: TV Gapena
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi