Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Melaka – Citra wanita Melayu yang sering digambarkan sebagai latar eksotik, disenyapkan suaranya atau hanya dipandang melalui lensa kolonial menjadi tumpuan utama dalam pembentangan kertas kerja Profesor Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim pada Sesi 1 Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara di Hotel Nobel, Melaka, hari ini.
Menerusi kertas kerja bertajuk “Citra Wanita Melayu dalam Sastera Melayu dan Inggeris: Satu Perbandingan”, Ruzy meneliti karya penulis kolonial Maugham dan Swettenham yang menurutnya tidak terlepas daripada pandangan kuasa penjajah.
Dalam kedua-dua penulis ini, wanita Melayu digambarkan sebagai latar eksotik, sama ada dipadamkan suaranya seperti wanita tempatan dalam karya Maugham, atau digunakan untuk meraih simpati secara selektif seperti Che Dewi dan Ungku Long dalam karya Swettenham,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa meskipun ada simpati tersirat, naratif sedemikian tetap mengukuhkan hierarki kuasa Barat-Timur, meletakkan wanita Melayu sekadar pelengkap konflik lelaki sama ada penjajah mahupun bangsawan.
“Wanita Melayu dalam naratif kolonial bukan hanya disenyapkan, tetapi diciptakan semula untuk mengukuhkan naratif dominan, sama ada sebagai simbol kesetiaan yang sentimental atau sebagai amaran terhadap impian pembebasan,” tambahnya.
Ruzy menyeru agar karya kolonial dibaca semula dengan kesedaran pascakolonial, supaya suara wanita yang dipadam dapat dituntut kembali dan memberikan pemahaman baharu tentang bagaimana naratif tersebut membentuk persepsi budaya tempatan.
Selain itu, beliau turut memperlihatkan kepelbagaian citra wanita Melayu dalam sastera tempatan, bermula dengan Tengku Tengah dalam Tuhfat al-Nafis yang berperanan dalam strategi politik dan pewarisan keluarga, sehinggalah kepada tokoh kontemporari dalam karya NF Abdul Manaf dan Dina Zaman yang menggambarkan keberanian, kebijaksanaan serta keupayaan wanita Melayu-Muslim moden menyoal makna agama dan peranan sosial dalam dunia urban.
Keseluruhannya, menurut beliau, citra wanita Melayu dalam sastera bukanlah sesuatu yang tunggal tetapi berlapis dan sentiasa berubah mengikut konteks zaman.
“Daripada teks klasik ke kontemporari, wanita Melayu digambarkan sebagai individu yang berani, reflektif dan berstrategi, sekali gus menjadikan tubuh, suara dan sejarah mereka sebagai pusat wacana dan bukan sekadar pinggiran.”