Diterbitkan pada 2 Ogos 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Melaka – “Semua Perempuan Aceh adalah Sasterawan!” Demikian tegas Syafwina SW1 dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk “Peranan Perempuan dalam Kesusasteraan Aceh” pada Sesi 1 Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara yang berlangsung di Hotel Nobel, Melaka, hari ini.

Beliau menjelaskan, meskipun nama penulis wanita hampir tidak ditemui dalam catatan sejarah kesusasteraan Aceh tradisional, peranan kaum hawa sebenarnya amat dominan melalui medium sastera lisan. 

“Perempuan menjadi penggerak utama penyebaran karya oleh kaum lelaki melalui kaedah mempelajari, menghafal dan menyampaikannya kembali dalam pelbagai situasi kehidupan seharian, daripada mengayun bayi, mendodoikan anak, mendidik remaja, hingga berkongsi kisah bersama-sama dengan keluarga dan kerabat,” ujarnya.

Sebagai contoh, beliau menyebut Hikayat Prang Sabi karya Tengku Chik Pante Kulu yang berisi seruan jihad melawan penjajah. Syair ini, katanya, didendangkan oleh para ibu untuk menidurkan anak, yang secara bawah sedar dapat menanamkan nilai keberanian agar generasi seterusnya bangkit mempertahankan bangsa dan agama.

“Tanpa perempuan sebagai penyalur utama, karya-karya tersebut tidak akan sampai kepada masyarakat. Dialah yang menjadi jambatan antara teks dengan jiwa rakyat,” ujar Syafwina.

Beliau turut menyorot masa keemasan kesusasteraan Melayu Aceh ketika pemerintahan Sultanah Safiatuddin (1641–1675), raja perempuan yang mendorong lahirnya kitab-kitab penting oleh ulama terkemuka seperti Nuruddin Arraniry, Abdurrauf as-Singkili dan Tun Sri Lanang. Sultanah Safiatuddin bukan sahaja memberikan ruang pendidikan kepada perempuan, malah turut menulis sajak dan mahir berbahasa asing.

Namun begitu, katanya, hanya selepas kemerdekaan Indonesia, khususnya pada penghujung tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an, barulah muncul kelompok penulis perempuan Aceh moden, seperti Rosni Idham, Nani HS, D. Kemalawati, Wina SW1, dan Rianda. Walaupun begitu, keterbatasan penerbitan buku pada waktu itu menjadi cabaran utama. 

“Perubahan besar berlaku selepas tsunami pada tahun 2004 apabila akses penerbitan cetakan semakin mudah dan memangkin penghasilan karya berupa puisi, novel, cerpen, dan esei oleh penulis perempuan Aceh,” jelasnya.

Kini, menurut Syafwina, dunia kesusasteraan Aceh menyaksikan dominasi generasi muda yang melihat peningkatan penyertaan kegiatan sastera adalah perempuan. Nama-nama seperti Siti Rahmah, Mahdalena, Cut Ika, Raisa, Mahmudiah dan Ida Fitri disebut sebagai wajah baharu penulisan Aceh. 

Menurutnya, teknologi digital turut memudahkan penulis wanita muda Aceh menulis dan menerbitkan karya secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perkembangan teknologi juga mengorbankan tradisi sastera lisan. “Sangat jarang kita mendengar perempuan mendodoikan anak dengan hikayat atau syair. Televisyen, telefon pintar dan komputer telah mengambil alih fungsi itu. Pergeseran ini mempengaruhi gaya berfikir serta pembentukan karakter masyarakat Aceh pada masa kini,” katanya.

Mengakhiri pembentangan, Syafwina menegaskan bahawa perempuan tetap menjadi tulang belakang perkembangan kesusasteraan Aceh sejak dahulu hingga kini, meskipun peranan mereka kini lebih nyata dalam bentuk tulisan cetak dan digital berbanding dengan sastera lisan.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi