Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O memohon agar penulis, sasterawan dan ahli dalam persatuan penulis untuk membeli satu-satunya majalah sastera nasional yang masih ada dalam pasaran di Malaysia.
Kenyataan ini kedengaran seolah-olah tidak masuk akal atau berupa tuduhan yang melulu, namun hakikat yang tidak dinafikan, saban bulan keluarannya, majalah ini ternyata tidak habis dijual.
Apalah ertinya sastera jika tidak dibaca oleh sasterawannya sendiri? Soalan ini mungkin kedengaran remeh dan ganjil, tetapi sebenarnya menyentuh akar dan umbi persoalan yang semakin ketara dalam kalangan sasterawan, penulis dan persatuan penulis tanah air, iaitu sejauh manakah kesediaan mereka menyokong wadah sastera yang telah wujud sekian lama, seperti majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Secara umumnya, sebuah majalah sastera merujuk penerbitan berkala yang memuatkan karya kreatif, termasuk puisi, cerpen, drama, esei, dan ulasan karya sastera. Majalah ini bukan sekadar medan penerbitan karya, tetapi juga cermin perkembangan intelektual, cita rasa penulisan dan hala tuju pemikiran kesusasteraan negara.
Di Malaysia, Dewan Sastera—yang diterbitkan oleh DBP sejak tahun 1971—merupakan satu-satunya majalah sastera arus perdana yang masih bertahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi pasaran, langganan dan jumlah cetakan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa majalah ini tetap dan terus diterbitkan oleh pihak berkenaan semata-mata kerana rasa tanggungjawab sosialnya, bukan kerana perkiraan perniagaan untung dan rugi.
Ironinya, majalah yang satu-satunya menjadi wahana dan wadah penting bagi sasterawan di Malaysia ini tidak mendapat dukungan yang sewajarnya daripada golongan yang paling dekat dengannya: sasterawan dan para penulis.
Kenyataan ini kedengaran seolah-olah tidak masuk akal atau berupa tuduhan yang melulu, namun hakikat yang tidak dinafikan, saban bulan keluarannya, majalah ini ternyata tidak habis dijual. Akan tetapi, atas sensitiviti serta sebab-sebab tertentu, pihak yang bertanggungjawab mengendalikan penerbitan majalah sastera ini tidak dapat menghebahkan maklumat ini secara terbuka.
Mengapa terjadi tragedi sedemikian rupa? Sedangkan bilangan sasterawan dan penulis berbahasa Melayu (kerana majalah ini diterbitkan dalam bahasa Melayu) ramai jumlahnya. Berdasarkan senarai keahlian dalam persatuan penulis yang berdaftar di negara ini, jumlahnya melebihi jumlah cetakan majalah berkenaan.
Jawabnya tidak lain tidak bukan kerana tiadanya sokongan yang berterusan atau konsisten daripada kalangan sasterawan dan penulis sendiri.
Bukanlah suatu perkara yang menjadi rahsia dan amat menyedihkan bahawa ramai dalam kalangan penulis hanya membeli atau mencari majalah ini apabila karya mereka disiarkan di dalamnya. Apabila nama mereka tidak tersenarai, minat untuk mendapatkan dan membaca edisi berkenaan tiba-tiba menghilang. Sikap ini membayangkan suatu bentuk sokongan bersyarat yang tidak selari dengan semangat memperjuangkan kesusasteraan sebagai suatu warisan bersama.
Lebih parah lagi, sesetengah persatuan penulis tidak meletakkan pembacaan majalah ini sebagai satu agenda penting dalam aktiviti organisasi mereka. Jika ditanya, tidak ramai dalam kalangan ahli yang benar-benar mengikuti isi kandungan Dewan Sastera dari bulan ke bulan, apatah lagi membincangkannya dalam pertemuan, bengkel atau wacana.
Oleh itu, sebagai suatu tindakan yang praktikal dan simbolik, adalah sangat wajar jika setiap persatuan penulis di Malaysia mengambil inisiatif membeli dan mengedarkan majalah Dewan Sastera kepada ahli-ahli mereka secara tetap.
Tindakan ini bukan sahaja praktikal—kerana dapat meningkatkan jumlah langganan dan cetakan majalah tersebut—malah, simbolik sebagai tanda sokongan terhadap usaha DBP yang terus berjuang menerbitkan majalah sastera nasional ini dalam keadaan industri penerbitan yang semakin mencabar.
Sokongan dalam bentuk pembelian ini juga boleh dilihat sebagai satu galakan berdisiplin, atau jika mahu disebut dengan lebih jujur, satu bentuk “paksaan yang lembut” kepada ahli agar membaca dan mendalami kandungan majalah tersebut sebagai suatu budaya dan kemestian.
Hal ini kerana, sasterawan dan penulis yang sepatutnya menjadikan membaca karya sastera dan penerbitan bersifat keilmuan yang lain sebagai budaya serta amalan. Hal ini bukan sahaja lebih peka pada perkembangan semasa, tetapi juga dapat memperkaya gaya penulisan dan kefahaman mereka terhadap pelbagai aliran, tema dan wacana dalam dunia sastera.
Sekiranya semua persatuan penulis menjadikan majalah Dewan Sastera sebagai bacaan wajib dalam kalangan ahlinya, hal ini akan membawa kesan jangka panjang yang sangat positif. Karya-karya yang diterbitkan tidak lagi “terbiar” tanpa pembaca. Penulis-penulis baharu akan mempunyai ruang untuk menimba ilmu daripada karya-karya penulis senior. Dialog dan wacana sastera, selain melalui acara dan kegiatan sedia ada, juga dapat berkembang secara lebih aktif apabila pembacaan menjadi budaya bersama, bukan sekadar aktiviti individu.
Hal yang paling utama, langkah ini akan kembali menyuburkan semula semangat kolektif dalam dunia kesusasteraan Malaysia, bahawa kita bukan sahaja menulis bersama, tetapi juga membaca dan mempertingkatkan daya intelektual secara bersama.
Dalam kata lain, sasterawan dan penulis perlu sentiasa menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya hidup mereka. Pihak persatuan sastera dan penulis yang juga di peringkat atasannya perlu mengambil langkah yang lebih positif serta proaktif (membujuk secara paksaan) demi menyemarakkan amalan dan budaya membaca yang serius serta berkesan dalam kalangan ahli mereka.
Tumpuan terhadap kegiatan yang sudah sekian lama berulang-ulang dalam persatuan seperti (sekadar sebagai contoh) baca puisi, lawatan sambil belajar, perebutan jawatan dalam persatuan, wajar ditambah dengan usaha peningkatan daya intelektual ahli-ahlinya melalui penekanan membaca bahan yang bermutu dan membeli serta memiliki majalah Dewan Sastera sebagai suatu syarat dan kemestian.
Alasan yang mengatakan majalah Dewan Sastera sulit dan sukar dilihat serta diperoleh sudah tidak boleh diterima pakai lagi. Penulis berani menafikan hal ini kerana sejak kembali diterbitkan sebagai jualan, majalah ini dapat dibeli oleh penulis saban bulan tanpa gagal!
Hanya yang perlu ialah usaha, dengan mendapatkan bantuan rakan-rakan yang baik hati hendak menolong. Setahu penulis, setiap cawangan dan wilayah DBP mempunyai cawangan jualan buku atau ujana. Melalui bantuan petugas di sana, penulis dibantu saban bulan untuk membeli majalah Dewan Sastera di sana, dan ongkos posnya yang di bawah RM10 ditanggung sendiri oleh penulis. Hendak seribu daya!
Akhir kata, dalam dunia yang semakin didominasi oleh media sosial dan bacaan ringkas yang bersifat sepintas lalu, majalah bercetak seperti Dewan Sastera masih menjadi medan penting bagi penulisan yang mendalam, berwacana dan bermakna.
Oleh itu, sudah tiba masanya sasterawan, penulis dan persatuan penulis berhenti menjadi penonton pasif. Mereka perlu bertindak sebagai pendukung aktif pada penerbitan ini.
Kerana tanpa pembaca, tulisan akan mati dan tanpa sokongan daripada sasterawan, penulis dan persatuan sendiri, majalah sastera akan lenyap satu demi satu. Maka, mari kita mulai dengan yang paling mudah tetapi bermakna: membeli, membaca dan mengedarkan majalah Dewan Sastera sebagai tanda cinta kita yang sebenar terhadap sastera Melayu Malaysia!
Nota Editor: Majalah Dewan Sastera boleh dibeli secara talian dalam versi bercetak di portal DBPNiaga atau Shopee. Boleh juga didapati dalam versi PDF di sini.
Langgan Majalah Dewan Sastera (versi bercetak) secara talian menerusi pautan yang berikut: https://dbpniaga.my/langganan/majalah
Tempoh 6 Bulan (15%) – RM64.95
Tempoh 1 Tahun (20%) – RM123.60
Tempoh 2 Tahun (25%) – RM234.60
Dewan Sastera versi bercetak setakat ini boleh didapati di Anjung DBP (Menara DBP Kuala Lumpur, 03-2147 9597/9598), Kedai Buku DBP di Hulu Kelang (Kuala Lumpur, 03-4101 0028), Kedai Buku DBP di Cawangan Sabah (Kota Kinabalu, 088-439 316), Cawangan Sarawak (Kuching, 082-227 070), dan Wilayah Timur (Kota Bahru, Kelantan, 09-741 4918).
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian.