Diterbitkan pada 27 Julai 2025, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan buku Deru Angin dan Ombak: Sajak-sajak Kembara Hikayat Hang Tuah sebagai usaha memperkukuh peranan bahasa kebangsaan dalam seni dan budaya.

Pelancaran ini turut disertai pembukaan pameran seni Kembara Hikayat Hang Tuah di Galeri Puteh, Kuala Lumpur Eco City yang berlangsung dari 26 Julai 2025 hingga 16 Ogos 2025.

Menurut Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Encik Ja’afar Hamdan yang mewakili Ketua Pengarah DBP, dimensi daripada Kembara Hikayat Hang Tuah bukan sahaja direntasi oleh para seniman, bahkan diulik dan digauli sehingga menjadi gema mistik yang bergetar ke seluruh pelosok bagi menyatukan karya yang menyentuh jiwa.

Antara tetamu yang hadir di pameran seni Kembara Hikayat Hang Tuah bermula dari 26 Julai hingga 16 Ogos 2025.

“Karya-karya yang dipamerkan, termasuk lebih 15 hasil seni cata dan arca, bukan sahaja menggambarkan susuk Tuah, tetapi mencerminkan semangat dan nilai dalam konteks masyarakat hari ini,” katanya.

Encik Ja’afar menjelaskan, pameran ini mengetengahkan karya daripada seniman ternama seperti Ahmad Fuad Osman, Ariff Fauzan, Bayu Utomo Radjikin, Haslin Ismail, Hisyamuddin Abdullah, Husin Othman, Jailani Abu Hassan, Kow Leong Kiang dan Dato’ M. Nasir.

Menurutnya lagi, naskhah puisi karya Sasterawan Negara YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menjadi inspirasi kepada para seniman dalam menafsir legenda Hang Tuah menerusi lensa sosiobudaya, politik dan psikologi.

Beliau turut menyeru agar ruang seperti ini terus dimanfaatkan, bukan sahaja untuk memartabatkan seni tempatan, malah sebagai jambatan merentas generasi, budaya dan pemikiran.

Deru Angin dan Ombak: Sajak- sajak Kembara  Hikayat Hang Tuah sebuah karya Sasterawan Negara  Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Turut bersama-sama meraikan majlis ini ialah Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Kurator Pameran, Dr. Jailani Abu Hassan dan Pengarah Galeri Puteh, YBrs. Encik Nizam Rahmat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi