Diterbitkan pada 18 Julai 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Rakyat Malaysia berpeluang meluahkan rasa cinta kepada tanah air dengan mendeklamasikan sajak kemerdekaan dalam Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam (SPKSA) 2025 anjuran Jabatan Pembangunan Komuniti, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan, iaitu kategori sekolah rendah (tujuh hingga 12 tahun), kategori sekolah menengah (13 hingga 17 tahun) dan kategori dewasa (18 tahun ke atas).

Penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia dan murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara percuma.

Walau bagaimanapun, sayembara ini tidak termasuk dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di bawah KPM.

SPKSA 2025 akan dijalankan dalam dua peringkat, iaitu peringkat saringan secara rakaman video dan peringkat akhir secara bersemuka.

Semasa peringkat saringan, para peserta kategori sekolah rendah dikehendaki mendeklamasikan sebarang puisi bertemakan semangat patriotik.

Para peserta kategori sekolah menengah dan kategori dewasa pula perlu mendeklamasikan puisi daripada buku Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Semua video yang dirakam mestilah baharu dan asli, tidak melebihi lima minit dan dirakam secara sekali rakaman dengan audio yang jelas tanpa suntingan dan iringan muzik latar.

Para peserta boleh memuat naik video rakaman di media sosial masing-masing bermula sekarang hingga 10 Ogos 2025 sebelum jam 12.00 tengah malam.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran boleh diakses melalui pautan ini.

Hanya lapan orang peserta bagi setiap kategori akan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir secara bersemuka yang akan diadakan pada 23 Ogos 2025.

Senarai peserta peringkat akhir akan diumumkan melalui Facebook rasmi Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA.

Hadiah yang bakal diterima oleh para pemenang adalah seperti berikut:

Kategori Dewasa

Johan RM800.00
Naib johan RM500.00
Tempat ketiga RM300.00
Sagu hati (lima orang) RM150.00

Kategori Sekolah Menengah

Johan RM600.00
Naib johan RM400.00
Tempat ketiga RM250.00
Sagu hati (lima orang) RM100.00

Kategori Sekolah Rendah

Johan RM500.00
Naib johan RM300.00
Tempat ketiga RM200.00
Sagu hati (lima orang) RM100.00

Hadiah Pakaian Tercantik Peserta Peringkat Akhir

Pakaian tercantik (lelaki) RM150.00
Pakaian tercantik (wanita) RM150.00

Kredit Foto: Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi