1 September 2022, 13:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sekali lagi Nur Sharina Cik Ibrahim menjadi wakil Selangor ke peringkat kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 bagi tahun 2022. Untuk catatan, beliau pernah mewakili Selangor pada tahun 2017. Kali ini, puisi Jangan Gendang Bertingkah Lagi, karya Ab. Rani Embi menjadi karya bertuah buat Nur Sharina apabila beliau dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan tersebut.

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan yang ke-36 peringkat negeri Selangor, seperti tahun-tahun sebelumnya, dianjurkan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dengan sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah. Majlis berlangsung di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2022.

Aksi Nur Sharina Cik Ibrahim ketika mendeklamasikan sajak Jangan Gendang Bertingkah Lagi.

Barisan juri yang dibarisi oleh Dr. Ibrahim Ghaffar, Puan Siti Raihani Mohamed Saaid dan Haji Ismail Supandi telah sebulat suara memilih Nur Sharina sebagai johan sayembara. Gelaran naib johan disandang oleh seorang mahasiswa, Muhammad Haziq Hallmi yang membawakan sajak Citra Jiwa Merdeka, karya Abdul Karim Ghulam. Manakala Nur Dini Safiya merangkul tempat ketiga dengan membawakan sajak berjudul Di Relung Akrab Bangsa, karya Akmal Aizat.

Menurut ketua juri, persembahan peserta pada tahun ini tampak lebih mantap berbanding tahun sebelumnya. Bilangan peserta pada tahun ini juga lebih banyak berbanding bilangan perserta yang direkodkan pada tahun lalu. Menyentuh tentang aspek penilaian, beliau berkata bahawa persembahan peserta dinilai daripada aspek intonasi dan artikulasi, kelancaran sebutan, gaya dan penampilan.

Seramai 27 orang peserta telah menyertai peringkat saringan dan hanya 10 orang peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang turut diadakan pada hari yang sama. Kesemua peserta berentap dengan membawakan sajak bertemakan kemerdekaan yang dimuatkan dalam Antologi Jangan Gendang Bertingkah Lagi terbitan GAPENIAGA.

Sayembara kali ini dapat dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan. Sayembara ini juga menyaksikan kolaborasi pertama antara KEMUDI dengan pihak kerajaan negeri Selangor.

Majlis dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa puisi menjadi wadah penyebaran ilmu, wahana pemikiran dan pengembangan budaya serta sastera. Oleh itu, seni mendeklamasikan puisi seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Beliau berkata bahawa deklamasi puisi perlu diteruskan dalam pelbagai acara dan tidak terhad kepada acara berunsur kemerdekaan semata-mata.

Nur Sharina membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000. Naib juara, Muhammad Haziq pula membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM700, manakala Nur Dini Safiya membawa pulang wang tunai bernilai RM500. Tiga lagi pemenang sagu hati, iaitu Ros Aniza Mohamad Rosli, Wan Zainuddin Ali Aspar dan Muhammad Afiq Aminuddin membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200. Kesemua pemenang juga menerima trofi, sijil dan hadiah iringan.

Barisan pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Selangor ke-36 2022.

Majlis diserikan dengan persembahan syair daripada Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang muncul mendeklamasikan sajak berjudul Mat Kilau oleh Khairil Amir. Selain itu, turut dipersembahkan dendangan Syair Malaysia Merdeka daripada Nur Amelyana dan persembahan nyanyian daripada kumpulan Mahligai and Friends. Turut hadir memeriahkan acara ialah Haji Hassan Alias, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan pelajar-pelajar Kolej Vokasional Gombak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.