Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Perkampungan penulis secara besar-besaran melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu buat julung-julung kalinya akan diadakan melalui Perkampungan Penulis Wilayah Timur selama tiga hari dua malam, di Sudara Beach Resort pada 3–5 Julai depan.

Program ini merupakan inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) melalui kerjasama padu semua persatuan penulis dari kedua-dua buah negeri, di samping dijangka turut disertai oleh penulis dari Selatan Thailand.

Perkampungan ini akan bermula pada sebelah petang 3 Julai (Khamis) dengan Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Kelantan Dr. Fatimah Busu melalui panel pembicara yang terdiri daripada YBrs. Dr. Norhayati Ab Rahman, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dan YBrs. Dr. Maharam Mamat.

Pada malamnya selepas majlis Bacaan Yasin, akan berlangsung sesi program Belasungkawa Penulis Kelantan dan Terengganu sebagai mengenang dan menghargai jasa bakti sastera beberapa orang penulis, namun termasuk juga individu bukan penulis yang berbudi pada sastera, yang sudah berpulang ke rahmatullah.

Mereka yang dikenang termasuklah Allahyarham Darma Mohammad, Dzulkifli Mohd Zain, Wan Muhammad, Ali Jusoh, Mohd Azhar Su, dan Mazelan Manan, dengan enam pembicara belasungkawa yang terdiri daripada YBrs. Haji Wan A. Rafar, YBrs. Dr. Abham TR, Sasterawan Negeri Kelantan YBrs. Sdr. Rosli K. Matari, YBrs. Sdr. Marzuki Ali, YBrs. Sdr. Abdul Mubin Ismail, dan YBrs. Sdri. Siti Hawa Ibrahim.

Diikuti hari kedua, dipenuhi lebih banyak program, termasuk acara “Kuca Suro Kasih Saye” (membuat Bubur Asyura).

Pada Wacana Penulis Muda pula, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin menyampaikan ucap utama yang bertajuk “Menulis untuk Masa Depan: Kuasa Naratif Penulis Muda”, manakala pengisian bicara oleh YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, YBrs. Sdr. Khoo Phau Liang dan YBrs. Sdr. Hafiz Latiff.

Petang dimeriahkan dengan acara lawan pantun, Tewah Pantun Penulis Timur yang akan dikendalikan oleh Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), kemudian disusuli dengan perasmian oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Kemudian diikuti dengan Cakap-cakap Puisi yang akan diwarna-warnikan dengan deklamasi puisi, dekon dan sembang puisi yang akan dikendalikan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK).

Pada sebelah malam pula dihidangkan dengan program Diskusi Dinamika Penulis Wanita Pantai Timur yang bertemakan “Teluk Rasa Lembah Kata Penulis Wanita Timur”.

Diskusi ini akan dibincangkan bersama-sama oleh YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali, YBrs. Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan dan YBrs. Tuan Nurizan Raja Yunus.

Pada hari terakhir, diadakan Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Terengganu Hilmi Rindu yang membicarakan tentang “Keajaiban Sajak Hilmi Rindu”, yang disorot oleh YBrs. Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah, YBrs. Sdr. Aziz Ibrahim dan YBrs. Mej. (Dr.) Shafiq Said.

Sehubungan dengan perkampungan penulis ini, Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail berkata, “Inisiatif ini, selain pengisian beberapa program besar dan penting, turut diharapkan mampu mencambahkan pertukaran pendapat serta rangsangan berkreativiti dalam kalangan penulis, terutama generasi penulis muda.

“Para penulis dari Pantai Timur merupakan golongan penulis yang cukup aktif menyumbangkan kreativiti terhadap perkembangan sastera tanah air, sekurang-kurangnya sejak dekad 20-an lagi sehinggalah mutakhir.”

Tambahnya lagi, “Aspirasi ini bersesuaian dengan hasrat merangkumkan aspek, bidang dan sosial dalam pengukuhan masyarakat dan aspirasi negara MADANI.”

Selanjutnya, beliau memberitahu, penulis, peminat sastera dan orang awam boleh menyertai perkampungan terbuka ini tanpa dikenakan apa-apa yuran. Namun demikian, penginapan perlulah diuruskan sendiri oleh peserta.

Para penulis dan peserta awam yang berminat untuk menyertai perkampungan ini dan memerlukan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Puan Nor Hidayah Ilias, urus setia DBPWT melalui nombor telefon 09-7414900/905.

Sementara itu, turut difahamkan oleh Naib Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YBhg. Datuk Haji Kamarudin Md Nor berhasrat turut menghadiri perkampungan ini sebagai memberikan sokongan moral mewakili pihak Kerajaan Negeri Kelantan kepada DBPWT, para penulis dan peminat sastera.

Perkampungan ini mendapat kerjasama padu daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR), Kesatuan Aksara dan Seni Negeri Kelantan (KERSANI) dari Kelantan, seterusnya Persatuan Penulis Terengganu (PELITA) dan Kumpulan Penulis dan Rakan Seni (KAPRI) dari Terengganu.

Di samping turut memberikan kerjasama erat ialah Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).

Kredit Foto: Mohd Lazim Ath Thany Bin Mohd Lazim/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi