Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adam Taufiq Suharto meneliti citra cahaya yang terikat penting dalam cerpen Asrul Sani, juga dua filem bikinannya.

Dalam soal cerita si watak utama dalam cerpen ini, kita dapati bahawa ‘bola lampu’ di sini menjadi simbol harapan.

Saya mengenali kerja-kerja Asrul Sani terlebih dahulu sebagai sutradara yang mengagumkan saya dengan magnum opusnya, Apa yang Kau Cari, Palupi? (1969). Kemudian, saya mula mengetahui sineas ini merupakan teman seangkatan dengan penyair ulung, Chairil Anwar. Kedua-duanya pengarang daripada Angkatan 45. Cakap soal “angkatan”, dalam dunia sinema Indonesia, Asrul Sani ialah sineas yang seangkatan dengan Usmar Ismail, bukan sahaja pada zamannya tetapi juga sama-sama seangkatan dalam Lembaga Seniman dan Budayawan Muslimin (Lesbumi) Nahdlatul Ulama.

Sebut pula soal Nahdlatul Ulama, di sinilah esei ini bergerak. Ceriteranya, pada satu ketika, saya membaca sebuah cerpen karangan Asrul Sani di laman web Nahdlatul Ulama. Dalam cerpen Asrul Sani berjudul “Bola Lampu, Asrul Sani menciptakan watak manusia yang takjub dan jatuh cinta kepada cahaya, lalu perlahan-lahan jatuh cinta kepada “bola lampu” atau mentol dalam bahasa kita.

Pernah sekali saya memperoleh penyakit cinta lampu dan cinta matahari.

Begitulah antara kalimat awal cerpennya. Kisah obsesi kepada cahaya dan lampu ini turut menyuguhkan persoalan kelas dan memang titik tolak kepada watak utama cerpen ini untuk memperoleh penyakit cinta lampu dan cinta matahari itu bertitik tolak pada latar belakang kelasnya.

Saya tinggal pada suatu keluarga orang baik-baik yang bercita-cita masuk surga dan yang suka menolong orang supaya mendapat balasan jasa.

Jalur ceritanya terus berjalan, penyakit cinta matahari kepada penyakit cinta lampu, kepada penyakit cinta bola lampu. Penyakit cinta bola lampu ini pula menjeratnya apabila dia mula berkenalan dengan seorang gadis kaya lalu jatuh cinta. Dan sudah tentu, sebagai orang kaya, memiliki bola lampu yang besar itu satu perkara biasa.

Saya katakan bahwa saya tidak mempunyai lampu sebesar punya mereka. Ayahnya berkata: ‘Datang-datanglah ke mari kalau begitu. Di sini lampu terang.’ Sesudah itu saya datang sekali seminggu.

Obsesinya terhadap bola lampu di rumah gadis itu membuatkan dia sering ke sana dan akhirnya mendatangkan bosan kepada gadis itu. Hal ini menyebabkan pada satu hari, dia menerima sebuah bungkusan besar daripada gadis itu, siap bersama-sama dengan sepucuk surat. Gadis itu menghantarkannya sebungkus “bola lampu” yang besar.

Sekarang dikirimkannya bola lampu, supaya saya jangan lagi ‘rindu lampu’.

Bola yang 60 lilin itu juga tidak saya pasang, karena jumlah watt untuk menghidupkannya tidak cukup.

Dalam soal cerita si watak utama dalam cerpen ini, kita dapati bahawa “bola lampu” di sini menjadi simbol harapan. Sesuatu yang ingin dicapai tapi tak tercapai. Tambah pula, watak utama cerpen ini ada menegaskan bahawa:

Demikianlah, karena tak ada lampu, saya beroleh penyakit cinta lampu. Lalu saya beroleh kiriman bola lampu. Karena kiriman ini saya kehilangan ‘bola lampu’ yang lain, yang menurut pikiran saya tidak akan kurang dari 200 lilin cahayanya.

Membaca cerpen ini membuatkan saya teringatkan dua buah filem arahan Asrul Sani, Para Perintis Kemerdekaan dan Apa yang Kau Cari, Palupi? Sepertimana watak dalam cerpen “Bola Lampu”, dua watak utama dalam Apa yang Kau Cari, Palupi? dan Para Perintis Kemerdekaan mencari-mencari “cahaya”; mencari harapan.

Menariknya, Apa yang Kau Cari, Palupi? berakhir dengan babak Palupi di balik pagar, sambil azan bergema dan Chalil, watak pengarah filem yang Palupi sempat jatuh cinta berjalan meninggalkannya, juga sebagai satu simbol bagaimana “cahaya” yang dicari-cari oleh Palupi itu masih menjadi “bayangan” (atau bayang-bayang) kepadanya. Naratif Apa yang Kau Cari, Palupi? bertitik tolak dengan pencarian Palupi, yang secara dasarnya bosan dengan suaminya sendiri dan rumah tangganya, kemudian mencari lelaki lain untuk akhirnya menyedari kebosanannya tidak pernah berhenti.

Menarik juga persoalan cahaya ini untuk dikaitkan dengan keinginan Palupi untuk menjadi bintang filem yang berkait juga dengan “cahaya” dan “kilauan” kemasyhuran sedangkan Chalil berkali-kali mengingatkan, semuanya penipuan dan buat-buat sahaja. Awalnya, dia jadi asyik dengan Chalil, sanga pengarah filem yang juga kawan kepada suaminya. Lalu kemudian, dikelabui oleh wang dan harta lalu jatuh cinta dengan seorang niagawan, Sugito.

Kata Palupi, “Chalil, aku mencintai kau, tapi dalam masa yang sama aku mencintai Sugito.” Sebab itulah Chalil bertanya, “Apa yang kau cari, Palupi?” Bermula dengan bosan terhadap suaminya, kemudian mulai ingin menjadi bintang filem dan kemudian terus terjerumus dalam cinta materi dan palsu orang kaya, sehingga dia sendiri tak tahu apa yang dicarinya atau dia tidak pernah mencari apa-apa melainkan hanya mencari-cari. Malah, dia akhirnya mencari-cari atau tidak tahu apa yang dicarinya kerana tidak memahami apa yang Chalil katakan, “Palupi, jangan kau cari di sana, di hatimu kau cari.” Mungkin Palupi akan menemui “cahaya” hidupnya sekiranya dia melihat cahaya di dalam diri bukan “cahaya” di luar, apatah lagi “cahaya” palsu.

Sebuah adegan dalam filem Apa yang Kau Cari, Palupi?

Halimah dalam Para Perintis Kemerdekaan mencari ‘cahaya’ supaya dia terlepas daripada cengkaman suami zalimnya …

Filem Para Perintis Kemerdekaan (1980) sedikit berbeza. Cahaya dalam filem ini secara figuratif dan literal bermain-main dalam filem ini, malah digunakan sebagai unsur spiritual. Halimah dalam Para Perintis Kemerdekaan mencari “cahaya” supaya dia terlepas daripada cengkaman suami zalimnya, yang dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman nusyuz terhadap dirinya atas perkenan seorang ulama yang direstui oleh penjajah, lalu berfikir untuk murtad dan meninggalkan Islam sebagai satu-satunya jalan supaya ikatan perkahwinannya dan suaminya akan terpisah. Namun begitu, pada saat dia ingin mengisytiharkan murtad, Halimah mengalami sebuah pengalaman spiritual. Dengan dahi berdarah (kerana dilempar batu oleh penduduk kampung) dan melafazkan kalimah yang hampir-hampir menidakkan Tuhan di hadapan jemaah di masjid, syot kemudian dialihkan pada close-up matanya; Halimah merenung kalimah Lailahaillallahlah Muhamamdurasullah: “Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Syot seterusnya diikuti dengan syot langit dengan awan mendung berarak dan kilat berdentum beberapa kali sebelum memasuki montaj sureal dan spiritual apabila cahaya merah kelihatan dalam sebuah “ruang” yang bukan di alam nyata. Untuk babak ini, Asrul menggunakan sedikit kesan khas (ala animasi?) dengan kehadiran cahaya kuning merah sambil suara latar bergema semirip soalan di alam barzakh, “Siapa Tuhan Kamu?” Halimah yang berada dalam “ruang” spirtual itu, disimbah dengan cahaya yang berkilau-kilauan, sebelum akhirnya, cahaya itu menyuram dan kelihatan kaligrafi Lailahaillallahlah di dinding tadi. Hal ini diikuti dengan mata Halimah yang berkaca, bergenang air mata, barangkali takjub. Lalu, dia kembali mengucapkan kalimah syahadah yang tadi diucapkan separuh. Hal ini kemudian diikuti dengan syot langit yang sudah tenang dan reda, kemudian diikuti dengan syot musyawarah para ulama watan yang mengambil keputusan bahawa Halimah tidak bersalah dan tidak patut dijatuhkan nusyuz.

Halimah sudah memperoleh “cahaya” di dalam dirinya. Dia kemudian menjadi orang yang telah menyerahkan segala-segalanya kepada Tuhan, sanggup hilang apa-apa pun demi Tuhannya. Itu juga yang diucapkannya pada satu ketika apabila dipanggil oleh pembesar kerana mengajak perempuan-perempuan watan menegakkan hak dan kebenaran mereka. Dan seusai itu, Halimah pun bersyahadah dan dia bersumpah bahawa sesungguhnya ibadatnya, hidupnya dan matinya hanyalah untuk Yang Esa, sehingga dia sanggup pula ikut serta melawan rejim kolonial Belanda, dan pada akhirnya dipenjarakan oleh Belanda.

Brosur iklan tayangan filem Para Perintis Kemerdekaan yang digandingkan bersama-sama filem adaptasi novel Hamka, Di Bawah Lindungan Kaabah.
Asrul Sani (Sumber: Sjamsuddin – Jassin, H.B.)

Babak dia dipenjarakan ialah babak yang menarik, kerana sepanjang filem, kita hanya melihat para lelaki yang ditangkap dan selain itu imej penjara yang tidak pernah pula muncul, hanya mula muncul pada babak akhir dan babak Halimah di bawa ke penjara. Namun begitu, babak Halimah diiring masuk ke penjara sengaja Asrul jadikan agar berlama-lama, dari satu pagar ke satu pagar, ke dalam dan ke dalam lagi, sampailah Halimah sampai ke bilik pemenjaraannya. Dan di sini, “cahaya kemerdekaan” tanah airnya itu masih menjadi satu “bayangan”, tetapi Halimah tidak pernah gentar dengan penjara zahir itu, kerana hakikatnya dalam dirinya, dia sudah memiliki “cahaya’”yang membebaskannya.

Cerpen “Bola Lampu”, filem Apa yang Kau Cari, Palupi? dan Para Perintis Kemerdekaan menyedarkan saya apakah yang Asrul Sani cari dalam sinemanya. Segala yang Asrul bayangkan ialah “cahaya”, yang memiliki tingkat-tingkatnya yang tersendiri, sampailah kepada tingkat kerohanian yang tertinggi. Hal ini mengingatkan kita akan sinema itu sendiri; cahaya yang terakam dalam 24 bingkai, dan sepancar cahaya dalam sebuah ruang gelita. Cahaya yang memancarkan cahaya …

_________________________

Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen. Kini, beliau berjinak-jinak dengan fotografi jalanan.

Kredit Foto: Jeremy Yap/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi