Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hubungan sastera antara Malaysia dengan Indonesia perlu didekatkan kembali seperti satu ketika dulu, justeru bagi novelis Indonesia, YBrs. Dr. Okky Puspa Madasari, pada setiap kesempatan beliau akan berkunjung ke Malaysia sebagai ikhtiar merapatkan kembali hubungan sastera kedua-dua negara.

Okky Madasari berkata, kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini adalah bagi menghantar buku yang ditulisnya, yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Mohaamad Saleeh Rahamad dan Okky Madasari.

“Walaupun sebelum ini, buku berkenaan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, namun sudah ramai pembaca dari Malaysia yang membacanya dalam bahasa asal, iaitu bahasa Indonesia,” katanya ketika ditemu bual oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad di Tulus Kata@PENA sempena Bual Bicara Temu Mesra PBAKL, semalam.

Okky Madasari berkata, justeru dalam hal ini, beliau merasakan ada hubungan yang sangat akrab antara Indonesia dengan Malaysia yang sebenarnya sudah terjalin sejak dahulu lagi.

Katanya, pada zaman dahulu, penulis dua negara ini sering membaca karya antara satu sama lain, namun sekarang hal itu seakan-akan renggang.

Malah, katanya, walaupun Indonesia dan Malaysia mempunyai hubungan sejarah yang panjang, namun hari ini orang Indonesia tidak lagi membaca karya-karya dari Malaysia.

Hal itu turut diakui oleh Mohamad Saleeh dalam pembukaan sesi itu yang menegaskan, ketika zaman pascakemerdekaan, masyarakat di Malaysia sudah lama menikmati bacaan sastera dari Indonesia, antaranya termasuk tulisan Marah Roesli dan Hamka.

Malah katanya, pada satu ketika, sewaktu Indonesia mengharamkan buku-buku tulisan Pramoedya Ananta Toer, pembaca di Malaysia bebas untuk memperolehnya.

Okky Madasri berkata, hari ini beliau sedikit gelisah kerana pelajar di Indonesia lebih mengenali penulis Korea Selatan berbanding penulis dari negara tetangga mereka, Malaysia.

Kredit Foto: Rahadiansyah/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi