Diterbitkan pada 12 Jun 2025, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman memetik pengaruh pemilihan kata antara guru dengan murid, penyair Rosli K. Matari dengan Rahimidin.

Membaca sajak-sajak Rahimidin dalam Matahari Berdoa segera mengingatkan saya akan ajaran-ajaran Rosli K. Matari tentang penulisan sajak.

Kita mula mengetahui hubungan guru-murid antara Rosli K. Matari dengan Rahimidin Zahari sejak terbitnya buku Rahimidin yang paling disebut-sebut, Sekepal Tanah (DBP, 1997) yang memenangi Hadiah Utama Anugerah Sastera Darul Iman III pada tahun 1995. Dalam pengantar buku tersebut, penyair Kemala yang merupakan salah seorang panel penilai ada mencatatkan:

Seawal 1985 saya mula mengenal sebuah nama penulis muda Rahimidin Zahari yang diperkenalkan kepada saya oleh penyair Rosli K. Matari. ‘Bang, ini anak didik saya, dia sedang meningkat,’ kata Rosli. Waktu itu, anak muda ini belum pun mencapai usia 20 tahun, masih malu-malu, tersenyum di sisi Rosli, tanpa banyak omelan. Tetapi, tampannya berkumis nipis dan bermata tajam, seperti anak muda yang ingin cepat belajar dan mempersiap diri menjadi calon penyair. Seolah-olah seperti burung yang ingin mengembang sayap membumbung ke langit tinggi. Kelantan dikenal dengan julukan serambi Makkah dan juga negeri Melayu yang megah dengan khazanah seni dan budayanya dan kini memberi kemungkinan kepada keislaman. Hubungan guru-murid antara Rosli dan Rahimidin, sebelumnya telah juga dimanfaatkan oleh Moechtar Awang dengan Abdul Aziz H.M.

Setelah kembali membaca semula buku sajak Rahimidin, Matahari Berdoa menemukan saya dengan beberapa frasa atau stanza yang “menyerupai” sajak-sajak gurunya, Rosli K. Matari. Frasa-frasa itulah yang menjelaskan kepada kita hubungan akrab guru-murid antara kedua-dua penyair Kelantan ini, yang mana seorang telah arwah dan seorang lagi masih aktif berkarya. Hubungan guru-murid antara kedua-dua penyair ini kemudian dapat kita teroka secara lebih jelas dalam buku khusus yang ditulis oleh Rosli yang berbicara seputar diri dan kepenyairan Rahimidin bertajuk Rahimidin, Penyair sebagai Teman (ITBM, 2016).

Rahimidin Zahari

Membaca sajak-sajak Rahimidin dalam Matahari Berdoa segera mengingatkan saya akan ajaran-ajaran Rosli K. Matari tentang penulisan sajak. Sajak “Piatu Kembara” (hlm. 17) mengingatkan kita perihal “titik getar” dalam sajak yang selalu disyarahkan oleh Rosli dalam bengkel-bengkel yang sering dipimpinnya. “Titik getar” itu bagi saya ada pada baris ini yang terletak di rangkap empat: “musuhku, celaka nafsu”.

Kalimah ‘celaka’ yang kita semua maklum tidaklah boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana perkataan tersebut berupa kata seranah yang keji, namun dimuatkan dalam sajak ini dengan cara yang paling indah hinggakan “titik getar” atau kemuncak dalam sajak ini menurut saya terletak pada perkataan ‘celaka’ itu. Untuk memahamkan kita perihal “titik getar” tersebut, perlu diperturunkan sajak berkenaan sepenuhnya:

…………tegakkan pohon kalbu
…………pada tanah semesta
…………sementara ini

…………aku piatu kembara
…………tersedu di hamparan rumput bumi
…………penuh duri dan api berbara

…………kebalkan aku memeluk-Mu
…………seperti Bilal bin Rabah
…………seperti Ammar bin Yasir
…………seperti Khabab bin Al-Araf

…………musuhku, celaka nafsu
…………dan berhala kuasa
…………bertugu di dalam diri

…………aku piatu kembara
…………di hamparan tanah semesta
…………kucintai kekasih-Mu
…………Muhammad Al-Amin
…………piatu pembawa cahaya
…………mencerah semesta.

Dalam sajak “Mawar Sukma” yang dimuatkan dalam karya besarnya, Sekepal Tanah, pada halaman 24, juga turut digunakan perkataan ‘celaka’. Namun begitu, masih pada tempat yang sesuai serta menjadikan sajak itu indah kerana digunakan pada tempat yang wajar dan sepatutnya. Menurut saya “Mawar Sukma” merupakan salah satu sajak terbaik dalam Sekepal Tanah. Hayati keindahan sajak tersebut:

…………Kepada-Mu kukirimkan mawar sukma
…………kupungut ia dari kelembutan kasih.
…………Aku membuka lembar-lembar pakaian
…………inilah susukku yang sebenar.
…………Subuh bermata letih menyentuh
…………keharuan angin dinihari
…………pada kasur kamar celaka ini, berikan
…………aku selembar sejadah untuk aku bercumbu
…………memberikan serigalaku sepuas nafsu
…………dan gonggong putih itu berikan
…………pada-Mu.

Saya menganggap bahawa kedua-dua sajak Rahimidin yang memiliki kata ‘celaka’ di atas, “titik getar”nya pada baris yang mengandungi kata ‘celaka’ itulah. Kata ‘celaka’ tersebutlah yang menjadi salah satu penguat pada kedua-dua sajak tersebut.

Hal itu menjadikan sajak tersebut punya kelainan tersendiri dan terasa agak menarik dengan adanya perkataan yang belum pernah digunakan oleh mana-mana penyair sebelum ini.

Meneliti sajak “Ismail Pontianak” pada halaman 20, di perenggan akhir penyair menggunakan perkataan ‘melebutkan’. ‘Lebut’ merupakan satu kata dialek Kelantan yang maksudnya “lusuh, pudar dan hampir-hampir rosak akibat terlalu kerap digunakan”. Perhatikan perenggan yang dimaksudkan: “Kakiku telah melebutkan jalan/dari lorong Hotel Islam/ke jalan pelabuhan.”

Sementara itu, dalam Sekepal Tanah juga ada memuatkan perkataan dialek Kelantan

Rosli K. Matari

seperti sajak di atas. Sajak berjudul “Selembar Daun Gelita” pada halaman lapan, penyair menggunakan kata ‘sawo’ dalam rangkap akhir sajak. Saya diberitahu oleh Rosli K. Matari sendiri bahawa kalimah tersebut adalah daripada saranannya kepada arwah anak muridnya itu. Pohon “ciku” dalam loghat Kelantan kami panggil “sawo nila”. Jadi, untuk lebih menarik dan ada kelainan, Rosli menyarankan agar Rahimidin gunakan satu perkataan sahaja, iaitu perkataan yang mula-mula daripada dua kalimah tersebut – ‘sawo’, menjadikan sajak tersebut punya kelainan tersendiri dan terasa agak menarik dengan adanya perkataan yang belum pernah digunakan oleh mana-mana penyair sebelum ini.

Mencipta kelainan dan tarikan dalam sajak menggunakan kata daerah atau loghat negeri ini juga menjadi kegemaran Rosli sendiri seperti yang diajarkan kepada murid kesayangannya Rahimidin. Kita ambil saja satu contoh untuk diperhatikan. Lihat sajak Rosli “tangisan waktu subuh itu sayu” (hlm. 20) dalam bukunya Mengingat Matahari (KataPilar, 2023) yang memenangi Hadiah Utama, Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023:

…………Ilahi,
…………kurenung pelita
…………subuh ini.
…………nyala yang sementara

…………kuinsaf, semua isi
…………dari juzuk hidup ini,
…………pergi –
…………kecuali sepi

…………bahkan, bayangku
…………juga meninggalkanku

…………ampunilah diriku
…………dari celah-celah debu
…………hidup gelap, cerah ini,
…………wahai Ilahi

…………kuinsaf, nyawa pendek
…………bagai masyrik
…………ke maghrib, tiba detik
…………aku akan kelik

…………pada-Mu, aku sujud
…………wahai Allah, Maha Wujud

Perhatikan pada rangkap lima, ada perkatakan ‘kelik’ di situ. ‘Kelik’ ialah perkataan dialek Kelantan yang bermaksud “balik/kembali/pulang”. ‘Kelik’ dalam konteks sajak ini bermaksud “kembali atau pulang kepada Pencipta, iaitu mati”.

Jika Dr. Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) pun pernah menyebut nama Rosli K. Matari dalam sebuah artikelnya yang membicarakan hal calon Sasterawan Negara, tentunya saya yang lebih agak dekat dengan Rosli pastinya mahu menyebut juga, bahawa bagi Rosli, nampaknya “lorong sastera yang dilaluinya menuju Sasterawan Negara akan lebih mudah” kerana saya yang bocah dalam sastera ini tidak pernah jemu-jemu menjulang nama dan mengangkat karya-karyanya – dan biar saja saya akhiri esei ini dengan tawa kemalaikatan “hihihi”, tetapi bukan dengan hilai kesyaitanan “hahaha”.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi