Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – “Saya berikhtiar untuk membawa semula menora, kesenian rakyat yang berusia kira-kira 800 tahun ini kepada masyarakat. Menora merupakan warisan budaya yang sangat berharga.”
Demikian ucapan tokoh sastera dan budaya negara, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin dalam acara Gobok Seni: Menora yang berlangsung di Gobok Seni Kelab Serindit Mati Tersepit, Kuantan pada 4 Jun lalu.

Menerusi acara tersebut, beliau yang juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2000 berusaha memperkenalkan semula seni tradisi menora daripada etnik Siam Kelantan kepada khalayak dengan mempersembahkan gerak tari menora.
Usaha ini disambut baik oleh Pengarah Kraftangan Pahang, YBrs. Encik Juhari Azmi dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKNN) Pahang, YBrs. Encik Mohd Rizal Ismail dengan melancarkan buku kumpulan puisi beliau berjudul Gemulai, terbitan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Noor Azman Norawi atau lebih dikenali sebagai Man Kayan, bersama-sama Abdul Rahman Janai (Kelompen Koe) menyerikan lagi acara malam itu dengan menyampaikan lagu puisi loghat Pahang bertajuk Pesan Datuk Nenek.
Man Kayan dalam ucapannya berkata, “Gabungan antara lagu puisi loghat Pahang dengan persembahan menora menjadikan majlis ini satu silang budaya yang epik, menghidupkan semula nostalgia lama dalam era baharu kesusasteraan.”
Beliau turut berkongsi harapan agar kegiatan seni yang sering diadakan di laman seni di hadapan rumahnya dapat dipindahkan ke ruang yang lebih luas dan selesa di bawah naungan Persatuan Anak Kayan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung hadir, sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai salah satu tarikan pelancong di Pahang.
Sementara itu, YBrs. Encik Ahmad Fadli Yusuh atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut dianugerahkan sebagai Tokoh Puisi Kelab Serindit Mati Tersepit.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Kraftangan Pahang, YBrs. Encik Juhari Azmi sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang puisi.