Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Moderator, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin (tengah) bersama-sama barisan panel (dari kiri), YBrs. Encik Khairul Nizam Dato’ Abu Samah, YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari, YBrs. Encik Lutfi Ishak dan YBrs. Puan Nurul Ashidah Johari.

Kuala Lumpur – Umur bukan menjadi ukuran untuk dikaitkan seseorang penulis sebagai penulis muda atau baharu.

Sasterawan Negara ke-15 YBhg. Dato’ Rahman Shaari memberitahu, takrif penulis muda lebih tepat merujuk mereka yang baru mula melibatkan diri dalam bidang sastera dengan baru menghasilkan karya-karya awalnya.

“Penulis muda ialah penulis yang baru terlibat, atau baru memulakan pengkaryaannya dalam dunia sastera. Bukan bergantung pada umur,” jelasnya sebagai ahli panel Forum Komuniti Sastera Anak Muda: Ruang dan Peluang.

Forum yang dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin itu diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.

Selain Rahman Shaari, tiga ahli panel lain yang turut terlibat, iaitu Sasterawan Muda MASTERA 2023, YBrs. Encik Muhammad Lutfi Ishak; Presiden Belia Wilayah Persekutuan, YBrs. Encik Khairul Rizam Abu Samah; dan Ketua Biro Pendidikan dan Pembangunan Kursus Penulisan Kelab Penulis Muda Malaysia, YBrs. Puan Nurul Ashidah Johari.

Rahman berkata, walau apa pun persoalan mengenai penulis muda atau lama namun, semuanya tidak bebas daripada usaha untuk sentiasa belajar bagi memastikan proses kreativiti lebih matang dan bermakna dalam mengangkat seni budaya bangsa.

Istilah penulis muda sebelum ini pernah menjadi persoalan berikutan ada pihak yang mengaitkan takrif kategorinya dengan lingkungan umur 40 tahun ke bawah. Pada masa yang sama, ada pihak yang merujuk istilah tersebut kepada penulis baharu yang memulakan perjalanannya dalam dunia sastera dengan karya awal tanpa mengira batas umur.

Sementara itu, Muhammad Lutfi mencadangkan agar satu takrif yang bersifat mekanikal diwujudkan bagi mengkategorikan lapisan penulis, memandangkan hal demikian sangat penting untuk perancangan dan pembangunan sastera.

“Mungkin jika penulis muda kita boleh istilahkan sebagai berumur 40 tahun ke bawah, manakala sekiranya penulis itu baru menulis dalam umurnya 60 tahun, maka kita boleh istilahkan sebagai penulis baharu,” katanya.

Tambahnya, jika selepas 10 tahun seseorang penulis itu mampu menghasilkan karya yang bagus selain telah berjaya mengukuhkan dirinya dalam dunia kesusasteraan, maka penulis tersebut mungkin boleh dikategorikan sebagai penulis mapan.

“Jadi, kita sudah mula ada istilah mapan, baharu dan muda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul Ashidah menekankan kepentingan e-buku sebagai satu wadah baharu untuk menyemarakkan lagi budaya membaca, menulis dan menghasilkan karya sastera, terutamanya bagi kalangan penulis muda.

“Media sosial sekarang berperanan sebagai ruang untuk mengasah bakat kemahiran dalam perjuangan memartabatkan sastera,” katanya.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi